Pengkhutbah 9:1-18

Pengkhutbah 9:1-18 AVB

Kesemua hal ini kupertimbangkan dalam hatiku hingga dapat kunyatakan bahawa orang salih dan orang bijaksana dan segala perbuatan mereka ada dalam tangan Allah. Manusia juga tidak mengetahui baik kasih mahupun kebencian, malah apa-apa pun yang akan dihadapinya. Nasib yang sama menantikan semua manusia di bumi ini, baik yang salih mahupun yang fasiq, yang baik ataupun yang jahat, baik yang suci mahupun yang najis, baik yang mempersembahkan korban mahupun yang tidak mempersembahkan korban. Orang yang baik dan orang yang berdosa serta orang yang bersumpah dan juga orang yang takut bersumpah; semuanya menerima layanan yang sama. Malang sekali, dalam segala sesuatu yang terjadi di bawah matahari; nasib semua orang sama. Hati anak-anak manusia dipenuhi kejahatan dan kegilaan juga ada dalam hati mereka seumur hidup, dan kemudiannya mereka menuju dunia orang mati. Namun demikian, selagi dalam kalangan hidup, manusia masih ada harapan kerana anjing yang hidup lebih baik daripada singa yang mati. Mereka yang hidup tahu bahawa mereka akan mati, tetapi orang yang mati tidak mengetahui apa-apa lagi dan tiada upah bagi mereka, bahkan sudah lenyap kenangan terhadap mereka. Lenyap sudah segala perbuatan mereka baik kasih mereka mahupun kebencian dan iri hati. Mereka juga sudah tidak berperanan lagi dalam segala sesuatu yang berlaku di bawah matahari. Maka makanlah rotimu dan minumlah air anggurmu dengan riang kerana Allah sudah pun berkenan dengan perbuatanmu. Biarlah pakaianmu sentiasa kemas dan bersih serta sentiasa ada minyak di kepalamu. Nikmatilah hidup dengan isteri yang kamu kasihi sepanjang kesia-siaan hidupmu yang dianugerahkan Allah kepadamu di bawah matahari. Itulah bahagianmu dalam hidup dan dalam usaha jerih payahmu selama ini di bawah matahari. Usahakan dengan segala daya upaya apa-apa sahaja yang dikerjakan tanganmu kerana di alam kubur yang kamu tuju kelak tidak ada pekerjaan, perancangan, pengetahuan dan hikmah. Satu lagi yang kulihat di bawah matahari ialah perlumbaan tidak dimenangi baik oleh pelari yang pantas mahupun perjuangan diungguli mereka yang terkuat. Begitu jugalah tidak semestinya rezeki untuk yang bijaksana atau kekayaan untuk mereka yang bestari. Begitu juga kelebihan bukan khusus bagi kalangan yang mahir kerana masa dan nasib dialami mereka semua. Manusia tidak mengetahui bila waktunya tiba. Sebagaimana ikan yang terjebak di dalam jala dan seperti burung yang tertangkap di dalam jerat, demikian juga bencana menimpa anak-anak manusia secara tiba-tiba. Kulihat hal ini sebagai contoh hikmah di bawah matahari dan hal itu berkesan hebat terhadap aku. Sebuah kota kecil yang tidak ramai penduduknya diserang dan dikepung oleh tentera seorang raja yang agung. Lalu didirikan pelbagai kubu pengepungan yang besar di sekeliling kota itu. Seorang warga miskin yang bijaksana di kota itu menyelamatkan kota itu dengan hikmahnya namun tiada orang pun yang mengenang jasa si miskin itu. Kataku: “Hikmah tetap lebih baik daripada keperkasaan meskipun hikmah si miskin di kota itu diremehkan dan tidak dihiraukan orang.” Kata-kata orang bijaksana yang didengar dengan tenang, lebih baik daripada teriakan orang yang berkuasa dalam kalangan bodoh. Hikmah lebih baik daripada segala alat peperangan tetapi seorang pendosa memusnahkan banyak kebaikan.