PENGKHUTBAH 3:1-14
PENGKHUTBAH 3:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Segala sesuatu di dunia ini berlaku pada waktu yang ditentukan Allah. Dia menentukan waktu untuk melahirkan dan waktu untuk meninggal, waktu untuk menanam dan waktu untuk mencabut, waktu untuk membunuh dan waktu untuk menyembuhkan, waktu untuk merobohkan dan waktu untuk membina. Dia menentukan waktu untuk menangis dan waktu untuk tertawa, waktu untuk berkabung dan waktu untuk menari, waktu untuk berasmara dan waktu untuk menahan diri, waktu untuk memeluk dan waktu untuk mengawal diri. Dia menentukan waktu untuk mendapat dan waktu untuk kehilangan, waktu untuk menyimpan dan waktu untuk membuang, waktu untuk mengoyakkan dan waktu untuk menjahit, waktu untuk berdiam diri dan waktu untuk bertutur. Dia menentukan waktu untuk mengasihi dan waktu untuk membenci, waktu untuk berperang dan waktu untuk berdamai. Apakah hasil semua usaha kita? Aku tahu bahawa Allah telah memberikan beban yang berat kepada kita. Dia telah menentukan waktu yang tepat bagi tiap-tiap perkara. Dia telah memberi kita keinginan untuk mengetahui masa depan, tetapi tidak memberi kita pemahaman tentang segala perbuatan-Nya dari awal sampai akhir. Oleh itu, aku insaf bahawa sebaik-baiknya yang dapat kita lakukan adalah bersukacita dan berusaha sedaya upaya semasa kita masih hidup. Kita semua harus makan dan minum serta menikmati hasil usaha kita kerana semua itu pemberian Allah. Aku tahu bahawa semua yang dilakukan oleh Allah itu kekal. Manusia tidak dapat menambahnya, ataupun menguranginya. Allah bertindak demikian supaya kita menghormati Dia.
PENGKHUTBAH 3:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Bagi segala sesuatu ada musimnya, dan bagi sesuatu apa pun di bawah kolong langit ada waktunya. Ada waktu untuk dilahirkan, ada waktu untuk mati, ada waktu untuk menanam, ada waktu untuk mencabut apa yang ditanam; ada waktu untuk membunuh, ada waktu untuk menyembuhkan; ada waktu untuk merobohkan, ada waktu untuk membina; ada waktu untuk menangis, ada waktu untuk ketawa; ada waktu untuk meratap; ada waktu untuk menari; ada waktu untuk melempar batu, ada waktu untuk mengumpulkan batu; ada waktu untuk memeluk, ada waktu untuk menahan diri; ada waktu untuk mencari, ada waktu untuk membiarkan hilang; ada waktu untuk menyimpan, ada waktu untuk membuang; ada waktu untuk mengoyak, ada waktu untuk menjahit; ada waktu untuk berdiam diri, ada waktu untuk bercakap; ada waktu untuk mengasihi, ada waktu untuk membenci; ada waktu untuk berperang, ada waktu untuk berdamai. Apakah keuntungan yang diperoleh seorang pekerja daripada jerih payahnya? Aku telah melihat pekerjaan berat yang diberikan Allah kepada anak-anak manusia untuk diusahakan. Dia menjadikan segala sesuatu indah pada waktunya, malah Dia meletakkan keabadian dalam hati mereka. Namun begitu, manusia tidak dapat menyelami pekerjaan yang dilakukan Allah dari awal hingga akhir. Aku tahu bahawa tiada yang lebih baik bagi manusia daripada bersukacita dan berbuat baik dalam kehidupan mereka. Juga, hakikat bahawa setiap orang dapat makan, minum dan menikmati kesenangan dalam segala usahanya dengan berjerih payah. Itu pun pemberian Allah. Aku tahu bahawa segala-gala yang dilakukan Allah tetap ada buat selama-lamanya; tiada yang dapat ditambah ataupun dikurangkan; Allah berbuat demikian demi memastikan manusia takut kepada-Nya.