PENGKHUTBAH 12:9-13
PENGKHUTBAH 12:9-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Tetapi Si Pemikir itu bijak; oleh itu baginda terus mengajar orang hal yang diketahuinya. Baginda mengkaji peribahasa dan menguji kebenarannya. Baginda berusaha untuk menggunakan perkataan yang menyenangkan. Walau bagaimana pun perkataan yang ditulisnya jujur. Ucapan orang bijak seperti tongkat tajam yang digunakan oleh gembala untuk menggiring domba, dan kumpulan peribahasa kukuh seperti paku yang terpasak dalam. Semua itu diberikan oleh Allah, satu-satunya Gembala kita. Hai anakku, ada lagi yang perlu engkau ketahui: kitab tidak habis-habis ditulis, dan terlalu banyak menelaah pelajaran akan meletihkan kamu. Inilah kesimpulan daripada semuanya: Hormatilah Allah, dan taatilah segala perintah-Nya, kerana bagi maksud itulah manusia diciptakan.
PENGKHUTBAH 12:9-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pengkhutbah itu bukan sahaja bijaksana tetapi dia juga mengajarkan ilmu pengetahuan kepada umat. Dia berhati-hati mencari, menaakul, dan menyusun banyak pepatah dan peribahasa. Pengkhutbah berusaha mendapat kata-kata yang menyenangkan dan secara jujur dia menulis kata-kata kebenaran. Itulah kata-kata orang bijaksana yang bak dorongan yang menusuk dan kata-kata para sarjana yang bagaikan paku yang tercacak teguh, pemberian Sang Gembala tunggal itu. Tambahan pula, wahai anakku, ingatlah! Tiada akhirnya seberapa banyak pun buku ditulis, dan banyak belajar sekadar memenatkan badan. Kesimpulannya, sentiasa takut kepada Allah dan patuhilah segala perintah-Nya kerana itu memang kewajipan setiap insan.