ULANGAN 28:1-11
ULANGAN 28:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)
“Jika kamu taat kepada TUHAN, Allah kamu, dan setia melakukan segala perintah-Nya yang aku berikan kepada kamu hari ini, maka Dia akan menjadikan kamu bangsa yang paling masyhur di dunia. Taatilah TUHAN, Allah kamu, maka segala berkat ini akan diberikan kepada kamu: Diberkatilah kota dan ladang kamu. Diberkatilah kamu sehingga anak kamu banyak, hasil tanaman kamu berlimpah-limpah, dan lembu serta domba kamu banyak. Diberkatilah tuaian gandum kamu, dan makanan yang kamu buat daripadanya. Diberkatilah segala usaha kamu. TUHAN akan mengalahkan musuh apabila mereka menyerang kamu. Mereka akan melancarkan serangan dengan teratur, tetapi kemudian lari bertempiaran. TUHAN, Allah kamu akan memberkati usaha kamu dan memenuhi gudang-gudang kamu dengan gandum. Dia akan memberkati kamu di tanah yang diberikan-Nya kepada kamu. Jika kamu taat kepada TUHAN, Allah kamu dan melakukan segala perintah-Nya, Dia akan menjadikan kamu umat-Nya sendiri seperti yang sudah dijanjikan-Nya. Kemudian semua bangsa di dunia akan tahu bahawa TUHAN sudah memilih kamu menjadi umat-Nya sendiri, dan mereka akan takut terhadap kamu. TUHAN akan mengurniai kamu anak yang banyak. Ternakan kamu akan banyak, dan hasil tanaman kamu berlimpah-ruah di tanah yang telah dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu untuk diberikan kepada kamu.
ULANGAN 28:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Jika secara ikhlas engkau bersungguh-sungguh mematuhi TUHAN, Allahmu, dan melakukan dengan setia segala perintah-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini, maka TUHAN, Allahmu, akan meninggikan engkau mengatasi segala bangsa di bumi. Segala berkat ini akan datang ke atasmu dan sampai kepadamu, jika engkau mematuhi TUHAN, Allahmu: Diberkatilah engkau di kota dan diberkatilah engkau di ladang. Diberkatilah buah kandunganmu, hasil tanahmu, dan hasil ternakanmu, iaitu anak lembumu dan kawanan dombamu. Diberkatilah bakulmu dan tempat adunanmu. Diberkatilah engkau ketika engkau masuk dan diberkatilah engkau ketika engkau keluar. TUHAN akan menyebabkan musuhmu yang menyerang kamu tumpas di hadapanmu. Mereka akan datang melalui satu jalan untuk menggempur kamu, tetapi akan lari dari hadapanmu melalui tujuh jalan. TUHAN akan memerintahkan berkat-Nya turun ke atas bangsal-bangsal di ladangmu dan ke atas segala usaha kamu. Dia akan memberkati engkau di negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu. TUHAN akan meneguhkan kamu sebagai umat-Nya yang suci, seperti yang disumpah-Nya kepadamu, asalkan kamu mentaati segala perintah TUHAN, Allahmu, dan hidup menurut jalan-Nya. Segala bangsa di bumi akan melihat bahawa nama TUHAN disebut olehmu, dan mereka akan takut kepadamu. TUHAN akan membuat kamu berkelimpahan dalam kebaikan, dalam buah kandunganmu, hasil ternakanmu, dan hasil bumimu di tanah yang TUHAN sumpah untuk memberikan kepada nenek moyangmu.