Ulangan 28:1-11

Ulangan 28:1-11 AVB

Jika secara ikhlas engkau bersungguh-sungguh mematuhi TUHAN, Allahmu, dan melakukan dengan setia segala perintah-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini, maka TUHAN, Allahmu, akan meninggikan engkau mengatasi segala bangsa di bumi. Segala berkat ini akan datang ke atasmu dan sampai kepadamu, jika engkau mematuhi TUHAN, Allahmu: Diberkatilah engkau di kota dan diberkatilah engkau di ladang. Diberkatilah buah kandunganmu, hasil tanahmu, dan hasil ternakanmu, iaitu anak lembumu dan kawanan dombamu. Diberkatilah bakulmu dan tempat adunanmu. Diberkatilah engkau ketika engkau masuk dan diberkatilah engkau ketika engkau keluar. TUHAN akan menyebabkan musuhmu yang menyerang kamu tumpas di hadapanmu. Mereka akan datang melalui satu jalan untuk menggempur kamu, tetapi akan lari dari hadapanmu melalui tujuh jalan. TUHAN akan memerintahkan berkat-Nya turun ke atas bangsal-bangsal di ladangmu dan ke atas segala usaha kamu. Dia akan memberkati engkau di negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu. TUHAN akan meneguhkan kamu sebagai umat-Nya yang suci, seperti yang disumpah-Nya kepadamu, asalkan kamu mentaati segala perintah TUHAN, Allahmu, dan hidup menurut jalan-Nya. Segala bangsa di bumi akan melihat bahawa nama TUHAN disebut olehmu, dan mereka akan takut kepadamu. TUHAN akan membuat kamu berkelimpahan dalam kebaikan, dalam buah kandunganmu, hasil ternakanmu, dan hasil bumimu di tanah yang TUHAN sumpah untuk memberikan kepada nenek moyangmu.