ULANGAN 1:26-31
ULANGAN 1:26-31 Alkitab Berita Baik (BM)
Tetapi kamu membantah perintah TUHAN, Allah kamu, dan tidak mahu pergi ke tanah itu. Kamu bersungut-sungut sesama sendiri sambil berkata, ‘TUHAN membenci kita. Dia membawa kita keluar dari Mesir semata-mata untuk menyerahkan kita kepada orang Amori, supaya mereka membunuh kita. Mengapa kita harus pergi ke sana? Kita takut. Pengintip-pengintip yang kita kirim itu memberitahu kita bahawa orang di sana lebih kuat dan lebih tinggi daripada kita. Orang di sana tinggal di kota-kota yang temboknya setinggi langit. Pengintip-pengintip itu nampak raksasa di sana!’ Tetapi aku berkata, ‘Jangan takut kepada orang di sana. TUHAN, Allah kamu akan memimpin kamu. Dia akan berperang untuk kamu, seperti yang sudah kamu nampak sendiri di Mesir dan di padang gurun. Kamu sudah melihat cara Dia memimpin kamu dengan selamat di sepanjang perjalanan ke tempat ini, seperti seorang bapa menggendong anaknya.’
ULANGAN 1:26-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Namun demikian, kamu tidak mahu pergi ke sana. Kamu menderhaka terhadap firman TUHAN, Allahmu. Di dalam khemahmu kamu bersungut-sungut dan berkata, ‘Kerana TUHAN membenci kita, maka Dia membawa kita keluar dari Mesir dan menyerahkan kita ke dalam tangan bani Amori supaya kita dibinasakan. Ke manakah kita akan pergi? Saudara-saudara kita telah membuat hati kita tawar dengan berkata, “Orang di sana lebih besar dan lebih tinggi daripada kita! Kota-kota mereka besar dan kubu-kubu mereka mencapai langit! Kami pun melihat bani Enak di sana.” ’ Lalu aku berkata kepadamu, ‘Jangan gentar dan jangan takut kepada mereka. TUHAN, Allahmu, yang memimpin kamu, Dialah yang akan berperang untukmu seperti yang telah dilakukan-Nya bagimu di Mesir, di hadapan matamu sendiri. Begitu juga di gurun. Di sana kamu telah melihat bagaimana TUHAN, Allahmu, mendukungmu di sepanjang jalan yang kamu tempuh seperti seseorang mendukung anaknya, sampai kamu tiba di tempat ini.’