DANIEL 6:19-27

DANIEL 6:19-27 Alkitab Berita Baik (BM)

Selepas itu raja kembali ke istana, tetapi malam itu baginda tidak dapat beradu. Baginda tidak bersantap dan tidak mahu dihibur. Pada waktu subuh, raja bangun dan tergesa-gesa pergi ke gua singa itu. Setibanya di situ, baginda memanggil dengan cemas, “Daniel, hamba Allah yang hidup! Adakah Allah yang kamu layani dengan begitu setia itu dapat menyelamatkan kamu daripada singa-singa itu?” Daniel menjawab, “Daulat tuanku! Allah telah mengirim malaikat-Nya untuk menutup mulut singa-singa itu sehingga hamba tidak diapa-apakan. Dia berbuat demikian kerana Dia tahu hamba tidak bersalah, baik terhadap Dia mahupun terhadap tuanku.” Alangkah gembiranya raja! Baginda memberikan perintah agar Daniel dikeluarkan dari gua itu. Maka Daniel pun ditarik keluar, dan dia didapati tidak cedera sedikit pun, kerana dia percaya kepada Allah. Selepas itu raja memberikan perintah agar semua orang yang telah menuduh Daniel, dibuang ke dalam gua singa itu berserta anak isteri mereka. Sebelum mereka jatuh ke dasar gua itu, singa-singa itu sudah pun menerkam mereka dan mematah-matahkan tulang mereka. Kemudian Raja Darius menulis surat kepada orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa di dunia: “Salam sejahtera! Dengan ini beta memberikan perintah agar semua orang di seluruh kerajaan beta menghormati serta takut kepada Allah yang disembah Daniel. Dialah Allah yang hidup, Dia memerintah selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak sekali-kali akan binasa, dan kuasa-Nya tidak akan ada akhirnya.

DANIEL 6:19-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian raja bangun pada waktu fajar menyingsing dan pergi dengan segera ke gua singa. Setelah sampai dekat gua itu, berserulah dia kepada Daniel dengan suara yang penuh kesayuan. Kata raja kepada Daniel, “Daniel, hamba kepada Allah yang hidup, apakah Allahmu yang selalu kausembah itu sanggup melepaskan engkau daripada singa-singa itu?” Pada waktu itu Daniel berbicara kepada raja, “Semoga Raja hidup selama-lamanya! Allah yang hamba sembah telah mengutus malaikat-Nya untuk mengatupkan mulut singa-singa ini sehingga tidak dapat menghancurkan hamba, kerana hamba didapati tidak bersalah di hadapan-Nya. Di hadapan Tuanku Raja juga hamba tidak melakukan kejahatan.” Maka raja menjadi sangat gembira dan memberikan perintah supaya Daniel ditarik keluar dari gua itu. Lalu Daniel ditarik keluar dari gua, dan sesuatu luka pun tidak didapati padanya, kerana dia beriman kepada Allahnya. Kemudian raja memberikan perintah supaya lelaki-lelaki yang melontarkan tuduhan terhadap Daniel itu dicampakkan ke dalam gua singa berserta anak-anak dan isteri mereka. Sebelum mereka sampai ke dasar gua, singa-singa sudah menerkam dan meremukkan segala tulang mereka. Setelah itu, Raja Darius mengirim surat kepada semua orang daripada segala suku, bangsa, dan bahasa yang tinggal di seluruh bumi, “Semoga kesejahteraanmu berlipat ganda! Aku mengeluarkan titah supaya di seluruh wilayah kekuasaan kerajaanku orang harus gentar dan takut kepada Allah yang disembah Daniel, kerana Dialah Allah yang hidup dan yang tetap selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan binasa dan kekuasaan-Nya sampai selamanya. Dia melepaskan dan menyelamatkan, Dia mengadakan tanda-tanda dan pelbagai keajaiban baik di langit mahupun di bumi. Dialah yang melepaskan Daniel daripada cengkaman singa-singa itu.”