DANIEL 6

6
Daniel Dimasukkan ke dalam Gua Singa
1Selepas Raja Belsyazar dibunuh, Raja Darius orang Media, yang ketika itu berusia enam puluh dua tahun, merebut takhta kerajaan Babilonia. 2Raja Darius membahagi kerajaannya kepada seratus dua puluh wilayah, yang setiapnya diperintah oleh seorang gabenor. 3Selain itu, baginda memilih Daniel dan dua orang lain untuk mengawasi para gabenor itu serta menjaga kepentingan raja. 4Lalu ternyatalah pekerjaan Daniel lebih baik daripada pengawas ataupun gabenor yang lain-lain itu. Kerana Daniel begitu cekap, raja ingin melantik dia menjadi penguasa seluruh kerajaan. 5Hal itu menyebabkan para pengawas dan gabenor yang lain berusaha untuk mencari kesalahan Daniel dalam tugas pemerintahan kerajaan itu, tetapi mereka tidak berjaya kerana Daniel setia, jujur, dan tidak lalai. 6Kemudian mereka berkata, “Kita tidak mungkin mencari kesalahan Daniel, kecuali dalam hal yang berkaitan dengan agamanya.”
7Oleh itu mereka menghadap raja dan berkata, “Daulat tuanku, Raja Darius! 8Kami semua yang mentadbir kerajaan tuanku - para pengawas, gabenor, pegawai tinggi, pegawai daerah, dan pegawai yang lain - telah bersetuju agar tuanku mengeluarkan satu perintah yang harus ditaati dengan sungguh-sungguh. Hendaknya tuanku perintahkan agar selama tiga puluh hari tidak seorang pun boleh meminta apa-apa daripada dewa atau manusia, kecuali daripada tuanku sendiri. Sesiapa yang melanggar perintah itu harus dibuang ke dalam gua singa. 9Oleh itu biarlah tuanku mengeluarkan perintah itu serta menandatanganinya. Biarlah perintah itu menjadi undang-undang Media dan Persia yang tidak boleh diubah lagi.” 10Demikianlah Raja Darius menandatangani perintah itu. 11Apabila Daniel mengetahui bahawa perintah itu sudah ditandatangani, dia pulang ke rumah. Di bilik pada tingkat atas rumahnya ada beberapa buah tingkap yang menghadap Yerusalem. Seperti biasanya, Daniel berlutut di hadapan tingkap-tingkap yang terbuka itu, lalu berdoa kepada Allah tiga kali sehari.
12Apabila musuh-musuh Daniel nampak dia berdoa kepada Allah, 13mereka semua menghadap raja untuk mengadu tentang Daniel. Mereka berkata, “Tuanku telah menandatangani satu perintah yang melarang sesiapa pun selama tiga puluh hari ini untuk meminta apa-apa daripada dewa atau manusia, kecuali daripada tuanku sendiri. Sesiapa yang melanggar perintah itu akan dibuang ke dalam gua singa.”
Raja bertitah, “Memang benar. Perintah itu menjadi undang-undang Media dan Persia yang tidak boleh diubah.”
14Lalu mereka berkata kepada raja, “Daniel, salah satu orang buangan dari Yehuda, tidak menghormati tuanku dan tidak mematuhi perintah tuanku. Dia tetap berdoa tiga kali sehari.”
15Apabila mendengar hal itu, raja dukacita dan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan Daniel. Raja terus berusaha sehingga petang. 16Kemudian orang yang berkomplot itu kembali dan berkata kepada raja, “Tuanku tahu bahawa menurut undang-undang Media dan Persia, perintah yang dikeluarkan oleh raja tidak boleh diubah.”
17Lalu raja pun memberikan perintah agar Daniel ditangkap dan dibuang ke dalam gua singa. Raja bertitah kepada Daniel, “Semoga Allah yang kamu sembah dengan setia itu menyelamatkan kamu.” 18Kemudian mulut gua ditutup dengan sebuah batu besar, dan raja memeteraikan batu itu dengan meterainya sendiri serta meterai para pembesarnya, supaya tidak seorang pun dapat menyelamatkan Daniel. 19Selepas itu raja kembali ke istana, tetapi malam itu baginda tidak dapat beradu. Baginda tidak bersantap dan tidak mahu dihibur.
20Pada waktu subuh, raja bangun dan tergesa-gesa pergi ke gua singa itu. 21Setibanya di situ, baginda memanggil dengan cemas, “Daniel, hamba Allah yang hidup! Adakah Allah yang kamu layani dengan begitu setia itu dapat menyelamatkan kamu daripada singa-singa itu?”
22Daniel menjawab, “Daulat tuanku! 23Allah telah mengirim malaikat-Nya untuk menutup mulut singa-singa itu sehingga hamba tidak diapa-apakan. Dia berbuat demikian kerana Dia tahu hamba tidak bersalah, baik terhadap Dia mahupun terhadap tuanku.”
24Alangkah gembiranya raja! Baginda memberikan perintah agar Daniel dikeluarkan dari gua itu. Maka Daniel pun ditarik keluar, dan dia didapati tidak cedera sedikit pun, kerana dia percaya kepada Allah. 25Selepas itu raja memberikan perintah agar semua orang yang telah menuduh Daniel, dibuang ke dalam gua singa itu berserta anak isteri mereka. Sebelum mereka jatuh ke dasar gua itu, singa-singa itu sudah pun menerkam mereka dan mematah-matahkan tulang mereka.
26Kemudian Raja Darius menulis surat kepada orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa di dunia:
“Salam sejahtera! 27Dengan ini beta memberikan perintah agar semua orang di seluruh kerajaan beta menghormati serta takut kepada Allah yang disembah Daniel.
Dialah Allah yang hidup,
Dia memerintah selama-lamanya.
Kerajaan-Nya tidak sekali-kali akan binasa,
dan kuasa-Nya tidak akan ada akhirnya.
28Dia menolong dan menyelamatkan;
melakukan mukjizat dan keajaiban,
baik di bumi mahupun di syurga.
Dia menyelamatkan Daniel daripada terkaman singa.”
29Demikianlah Daniel tetap berkedudukan tinggi pada masa pemerintahan Raja Darius dan Raja Kores, orang Persia itu.

Terpilih Sekarang Ini:

DANIEL 6: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami