DANIEL 2:27-45

DANIEL 2:27-45 Alkitab Berita Baik (BM)

Daniel menjawab, “Tiada orang berilmu, ahli sihir, penilik atau ahli nujum yang dapat melakukan hal itu. Tetapi Allah penguasa di syurga, menyatakan segala rahsia; Dia telah memberitahu tuanku hal masa depan. Oleh itu perkenanlah hamba menceritakan mimpi tuanku, iaitu penglihatan yang tuanku nampak ketika tuanku beradu. Ketika tuanku beradu, tuanku bermimpi tentang perkara masa depan, dan Allah yang menyatakan segala rahsia telah memperlihatkan perkara yang akan berlaku itu kepada tuanku. Allah telah menjelaskan rahsia mimpi itu kepada hamba, bukan kerana hamba lebih bijak daripada sesiapa pun, tetapi supaya tuanku boleh memahami tafsiran mimpi itu dan mengerti akan isi hati tuanku. Dalam penglihatan itu tuanku nampak sebuah patung di hadapan tuanku. Patung itu sangat besar, berkilau-kilauan, dan sungguh menakutkan. Kepalanya dibuat daripada emas tulen; dada dan lengannya daripada perak; pinggang dan pinggulnya daripada gangsa; paha dan betisnya daripada besi, sedangkan kakinya sebahagian daripada besi dan sebahagian lagi daripada tanah liat. Ketika tuanku sedang memandangnya, sebuah batu besar jatuh dari tebing dengan sendirinya, dan menimpa kaki patung yang dibuat daripada besi dan tanah liat itu, lalu menghancurkannya. Dengan serta-merta patung itu roboh dan menjadi timbunan besi, tanah liat, gangsa, perak, dan emas yang hancur luluh seperti debu di tempat mengirik gandum pada musim panas. Lalu angin pula meniupnya tanpa meninggalkan sebarang kesan. Tetapi batu itu menjadi sebuah gunung yang memenuhi seluruh bumi. Itulah mimpi tuanku. Sekarang ini pula tafsirannya. Tuanku raja yang agung. Allah penguasa di syurga menjadikan tuanku seorang maharaja. Dia memberi tuanku kuasa, kekuatan, dan kehormatan. Dia menjadikan tuanku penguasa atas seluruh bahagian bumi yang berpenduduk, bahkan penguasa atas binatang dan burung sekalipun. Tuankulah kepala yang dibuat daripada emas itu. Selepas kerajaan tuanku berakhir, akan bangkit sebuah kerajaan yang tidak seagung kerajaan tuanku. Selepas itu akan muncul kerajaan ketiga, yang dilambangkan oleh gangsa, yang akan memerintah seluruh bumi. Kemudian sebuah kerajaan keempat yang sekuat besi akan meremukkan dan menghancurkan segala sesuatu. Sebagaimana besi menghancurkan segala sesuatu, demikian juga kerajaan itu akan meremukkan dan menghancurkan semua kerajaan yang lain itu. Tuanku nampak kaki dan jari kaki patung itu dibuat daripada besi dan tanah liat. Itu bermakna bahawa kerajaan itu akan terbahagi. Kerajaan itu juga mempunyai kekuatan seperti besi kerana tanah liat itu bercampur besi. Jari kakinya yang sebahagian daripada besi dan sebahagian daripada tanah liat bermakna bahawa sebahagian daripada kerajaan itu kuat dan sebahagian lagi lemah. Tuanku nampak juga besi yang bercampur tanah liat. Hal itu bermakna penguasa-penguasa kerajaan itu akan cuba menyatukan kerajaan mereka dengan mengadakan kahwin campuran, tetapi sebagaimana besi tidak dapat sebati dengan tanah liat, demikian juga mereka tidak akan berjaya. Pada masa pemerintahan penguasa-penguasa itu, Allah penguasa di syurga akan mendirikan sebuah kerajaan yang kekal dan yang tidak dapat dikalahkan. Sebaliknya kerajaan itu akan memusnahkan sama sekali semua kerajaan yang lain, lalu kerajaan itu akan memerintah selama-lamanya. Tuanku nampak batu itu jatuh dari tebing dengan sendirinya, serta menimpa patung yang dibuat daripada besi, gangsa, tanah liat, perak, dan emas itu. Allah yang besar sedang memberitahu tuanku hal masa depan. Itulah mimpi tuanku yang sebenarnya, dan tafsirannya dapat dipercayai.”

DANIEL 2:27-45 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Jawab Daniel kepada raja, “Rahsia yang ditanyakan Raja tidak dapat diberitahukan kepada Raja oleh orang bijak, ahli mantera, ahli ilmu ghaib, dan jurufaal. Akan tetapi, di syurga ada Allah yang sanggup menyingkapkan rahsia. Dia telah memberitahukan kepada Raja Nebukadnezar apa yang akan terjadi pada hari-hari yang akan datang. Inilah mimpi tuanku dan penglihatan yang didapati tuanku sewaktu tuanku berbaring di peraduan. Ketika Tuanku Raja berbaring di peraduan, timbullah fikiran tuanku tentang apa yang akan terjadi pada hari-hari yang akan datang. Lalu Dia yang sanggup menyingkapkan rahsia memberitahukan kepada tuanku apa yang akan terjadi. Bagi hamba, rahsia itu telah diungkapkan kepada hamba bukan kerana hamba mempunyai kebijaksanaan lebih daripada semua orang yang hidup, melainkan demi Tuanku Rajalah tafsiran mimpi itu diberitahukan supaya tuanku dapat memahami fikiran dalam hati tuanku. Tuanku Raja, dalam penglihatan tuanku kelihatan sebuah patung yang amat besar. Patung yang berkilau-kilau secara luar biasa itu tegak di hadapan tuanku, dan rupanya menakutkan. Kepala patung itu daripada emas mutu tinggi, dada dan lengannya daripada perak, perut dan pahanya daripada gangsa, betisnya daripada besi, kakinya separuh daripada besi dan separuh daripada tanah liat. Ketika tuanku melihatnya tiba-tiba ada sebuah batu terbelah, tetapi bukan oleh tangan manusia. Batu itu menimpa patung itu pada kedua-dua belah kakinya yang daripada besi dan tanah liat, lalu memecahkannya. Setelah itu, besi, tanah liat, gangsa, perak, dan emas itu pecah bersama-sama dan menjadi seperti sekam di tempat pembantingan pada musim kemarau. Angin menerbangkan kesemuanya sehingga tidak ditemukan lagi bekas apa-apa pun daripadanya. Tetapi batu yang menimpa patung itu menjadi gunung besar yang memenuhi seluruh bumi. Inilah mimpi itu, dan sekarang kami hendak menyampaikan tafsirannya kepada Raja. Tuanku Raja sememangnya raja segala raja. Allah semesta langit telah mengurniakan kepada tuanku kerajaan, kekuasaan, kekuatan, dan kemuliaan. Anak-anak manusia, binatang-binatang liar, dan burung-burung di udara — di mana-mana pun mereka tinggal — telah diserahkan-Nya ke dalam tangan tuanku. Dia membuat tuanku berkuasa atas semuanya. Kepala daripada emas itu ialah tuanku. Setelah tuanku akan muncul suatu kerajaan lain yang lebih lemah daripada kerajaan tuanku, lalu kerajaan lain daripada gangsa, yakni yang ketiga, yang akan menguasai seluruh bumi. Kemudian akan ada kerajaan keempat yang kuat seperti besi, kerana besi memecahkan dan meremukkan segala sesuatu. Seperti besi yang menghancurkan segala sesuatu, kerajaan ini akan memecahkan dan menghancurkan semua yang lain. Sebagaimana tuanku lihat kaki dan jari-jarinya separuh daripada tanah liat tukang periuk dan separuh daripada besi, demikianlah kerajaan itu akan terbahagi. Tetapi kekuatan besi akan tetap ada di dalamnya, sebagaimana tuanku lihat besi itu bercampur dengan tanah liat. Sebagaimana jari-jari kaki itu separuh daripada besi dan separuh daripada tanah liat, demikianlah kerajaan itu sebahagiannya kuat dan sebahagiannya rapuh. Sebagaimana tuanku lihat besi itu bercampur dengan tanah liat, demikianlah mereka akan bercampur dalam perkahwinan, tetapi tetap tidak dapat padu antara satu dengan yang lain, seperti besi tidak dapat bercampur dengan tanah liat. Pada zaman raja-raja itulah Allah semesta langit akan mendirikan sebuah kerajaan yang tidak akan binasa untuk selama-lamanya, dan pemerintahannya tidak akan beralih kepada bangsa lain. Kerajaan itu akan memecahkan dan meniadakan semua kerajaan lainnya, tetapi kerajaan itu sendiri akan tegak untuk selama-lamanya. Sebagaimana tuanku lihat bahawa sebuah batu terbelah daripada gunung, tetapi bukan oleh tangan manusia, lalu memecahkan besi, gangsa, tanah liat, perak, dan emas itu, demikianlah Allah Yang Maha Besar telah memberitahukan kepada Raja apa yang akan terjadi pada kemudian hari. Mimpi itu benar dan tafsirannya pun dapat dipercayai.”