Jawab Daniel kepada raja, “Rahsia yang ditanyakan Raja tidak dapat diberitahukan kepada Raja oleh orang bijak, ahli mantera, ahli ilmu ghaib, dan jurufaal. Akan tetapi, di syurga ada Allah yang sanggup menyingkapkan rahsia. Dia telah memberitahukan kepada Raja Nebukadnezar apa yang akan terjadi pada hari-hari yang akan datang. Inilah mimpi tuanku dan penglihatan yang didapati tuanku sewaktu tuanku berbaring di peraduan.
Ketika Tuanku Raja berbaring di peraduan, timbullah fikiran tuanku tentang apa yang akan terjadi pada hari-hari yang akan datang. Lalu Dia yang sanggup menyingkapkan rahsia memberitahukan kepada tuanku apa yang akan terjadi. Bagi hamba, rahsia itu telah diungkapkan kepada hamba bukan kerana hamba mempunyai kebijaksanaan lebih daripada semua orang yang hidup, melainkan demi Tuanku Rajalah tafsiran mimpi itu diberitahukan supaya tuanku dapat memahami fikiran dalam hati tuanku.
Tuanku Raja, dalam penglihatan tuanku kelihatan sebuah patung yang amat besar. Patung yang berkilau-kilau secara luar biasa itu tegak di hadapan tuanku, dan rupanya menakutkan. Kepala patung itu daripada emas mutu tinggi, dada dan lengannya daripada perak, perut dan pahanya daripada gangsa, betisnya daripada besi, kakinya separuh daripada besi dan separuh daripada tanah liat. Ketika tuanku melihatnya tiba-tiba ada sebuah batu terbelah, tetapi bukan oleh tangan manusia. Batu itu menimpa patung itu pada kedua-dua belah kakinya yang daripada besi dan tanah liat, lalu memecahkannya. Setelah itu, besi, tanah liat, gangsa, perak, dan emas itu pecah bersama-sama dan menjadi seperti sekam di tempat pembantingan pada musim kemarau. Angin menerbangkan kesemuanya sehingga tidak ditemukan lagi bekas apa-apa pun daripadanya. Tetapi batu yang menimpa patung itu menjadi gunung besar yang memenuhi seluruh bumi.
Inilah mimpi itu, dan sekarang kami hendak menyampaikan tafsirannya kepada Raja. Tuanku Raja sememangnya raja segala raja. Allah semesta langit telah mengurniakan kepada tuanku kerajaan, kekuasaan, kekuatan, dan kemuliaan. Anak-anak manusia, binatang-binatang liar, dan burung-burung di udara — di mana-mana pun mereka tinggal — telah diserahkan-Nya ke dalam tangan tuanku. Dia membuat tuanku berkuasa atas semuanya. Kepala daripada emas itu ialah tuanku. Setelah tuanku akan muncul suatu kerajaan lain yang lebih lemah daripada kerajaan tuanku, lalu kerajaan lain daripada gangsa, yakni yang ketiga, yang akan menguasai seluruh bumi. Kemudian akan ada kerajaan keempat yang kuat seperti besi, kerana besi memecahkan dan meremukkan segala sesuatu. Seperti besi yang menghancurkan segala sesuatu, kerajaan ini akan memecahkan dan menghancurkan semua yang lain. Sebagaimana tuanku lihat kaki dan jari-jarinya separuh daripada tanah liat tukang periuk dan separuh daripada besi, demikianlah kerajaan itu akan terbahagi. Tetapi kekuatan besi akan tetap ada di dalamnya, sebagaimana tuanku lihat besi itu bercampur dengan tanah liat. Sebagaimana jari-jari kaki itu separuh daripada besi dan separuh daripada tanah liat, demikianlah kerajaan itu sebahagiannya kuat dan sebahagiannya rapuh. Sebagaimana tuanku lihat besi itu bercampur dengan tanah liat, demikianlah mereka akan bercampur dalam perkahwinan, tetapi tetap tidak dapat padu antara satu dengan yang lain, seperti besi tidak dapat bercampur dengan tanah liat. Pada zaman raja-raja itulah Allah semesta langit akan mendirikan sebuah kerajaan yang tidak akan binasa untuk selama-lamanya, dan pemerintahannya tidak akan beralih kepada bangsa lain. Kerajaan itu akan memecahkan dan meniadakan semua kerajaan lainnya, tetapi kerajaan itu sendiri akan tegak untuk selama-lamanya. Sebagaimana tuanku lihat bahawa sebuah batu terbelah daripada gunung, tetapi bukan oleh tangan manusia, lalu memecahkan besi, gangsa, tanah liat, perak, dan emas itu, demikianlah Allah Yang Maha Besar telah memberitahukan kepada Raja apa yang akan terjadi pada kemudian hari. Mimpi itu benar dan tafsirannya pun dapat dipercayai.”