KISAH RASUL-RASUL 9:1-19

KISAH RASUL-RASUL 9:1-19 Alkitab Berita Baik (BM)

Sementara itu Saulus meneruskan ancamannya untuk membunuh pengikut-pengikut Tuhan. Saulus pergi kepada Imam Agung, dan meminta surat kuasa untuk ditunjukkan kepada pemimpin rumah-rumah ibadat orang Yahudi di Damsyik. Dengan demikian, jika di situ dia menjumpai pengikut-pengikut Yesus, dia boleh menangkap mereka, baik lelaki mahupun perempuan, dan membawa mereka ke Yerusalem. Dalam perjalanannya ke Damsyik, apabila dia sudah dekat kota itu, tiba-tiba cahaya dari langit memancar di sekeliling Saulus. Dia jatuh ke tanah lalu mendengar suara berkata kepadanya, “Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku?” Saulus bertanya, “Siapakah tuan?” Suara itu menjawab, “Aku Yesus, yang engkau aniaya. Bangunlah dan masuklah ke bandar. Di situ engkau akan diberitahu apa yang harus engkau lakukan.” Orang yang seperjalanan dengan Saulus berhenti dan terdiam. Mereka mendengar suara itu tetapi tidak melihat sesiapa pun. Saulus berdiri lalu membuka matanya, tetapi dia tidak dapat melihat apa-apa. Oleh itu mereka memegang tangannya dan memimpin dia masuk ke Damsyik. Tiga hari lamanya dia tidak dapat melihat, dan selama itu dia tidak makan atau minum. Seorang pengikut Yesus bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam penglihatan, dia melihat Tuhan berkata kepadanya, “Ananias!” “Ya Tuhan,” jawab Ananias. Tuhan berkata kepadanya, “Bersiap-siaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Bertanyalah tentang seorang bernama Saulus dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa, dan dalam penglihatan, dia melihat seorang lelaki bernama Ananias datang meletakkan tangan padanya supaya dia boleh melihat semula.” Ananias menjawab, “Ya Tuhan, banyak orang sudah memberitahu aku tentang orang ini. Dia sudah melakukan banyak perkara yang kejam terhadap umat-Mu di Yerusalem. Sekarang dia datang ke Damsyik dengan kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyembah Engkau.” Tetapi Tuhan berkata kepadanya, “Pergilah, kerana Aku sudah memilih dia untuk mengabdikan diri kepada-Ku, supaya dia memberitakan nama-Ku kepada bangsa-bangsa bukan Yahudi, raja-raja, dan umat Israel. Semua penderitaan yang harus dialaminya kerana Aku, akan Aku tunjukkan kepadanya.” Oleh itu Ananias pergi dan masuk ke rumah itu lalu meletakkan tangannya pada Saulus. “Saudara Saulus,” katanya, “Tuhan sudah mengutus saya - Yesus yang menampakkan diri kepada saudara dalam perjalanan ke mari, sudah mengutus saya ke sini supaya saudara boleh melihat semula dan dikuasai oleh Roh Allah.” Pada saat itu juga sesuatu seperti sisik ikan jatuh daripada mata Saulus dan dia dapat melihat semula. Lalu dia bangkit dan dibaptis. Setelah dia makan, pulihlah kekuatannya.

KISAH RASUL-RASUL 9:1-19 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka Saul pun lagi tŭngah mŭnyalakan gŭrtaknya, dan handak mŭmbunoh umat umat Tuhan, maka pŭrgilah iya kapada imam bŭsar. Maka dipintanya deripadanya surat prentah akan dibawanya kanŭgri Damsek kapada sagala kŭnisa, supaya jikalau iya mŭndapat orang dalam jalan ini, baik laki laki atau pŭrampuan, akan dibawanya marika itu dŭngan ikatnya kaJerusalem. Maka apabila iya bŭrjalan itu, hampirlah iya kanŭgri Damsek, tiba tiba mŭmancharlah deri langit suatu chaya yang gilang gumilang mŭnglilingi dia. Maka jatohlah Saul tŭrjŭrumus dibumi, lalu didŭngarnya suatu swara mŭngatakan padanya Saul, Saul, mŭngapa angkau mŭngannyayai aku? Maka jawabnya, Siapakah angkau, Tuhan? Maka bŭrkatalah Tuhan, Akulah Isa yang angkau annyayakan itu; maka sukarlah angkau mŭnŭndang kapada yang tajam. Maka bŭrkatalah iya dŭngan gŭmŭntar dan dahshatnya, Ya Tuhan, apakah angkau handak kupŭrbuat? Jawab Tuhan padanya, Bangunlah angkau, pŭrgi masok kŭdalam nŭgri, maka disanalah kŭlak akan dikatakan kapadamu apa yang patut angkau pŭrbuat. Adapun orang yang bŭrjalan sŭrtanya itu pun bŭrdirilah dŭngan kŭlunya, didŭngar akan swara itu, tŭtapi sa’orang pun tiada dilihatnya. Maka Saul pun bŭrbangkitlah deri bumi itu, sŭrta dibukanya matanya, maka tiadalah bulih klihatan sa’orang pun lagi; maka dipimpin oranglah tangannya, dibawanya masok kŭdalam nŭgri Damsek. Maka tiga hari lamanya iya tiada mŭlihat, dan tiada makan dan minum pun. ¶ Sŭbarmula maka adalah dinŭgri Damsek sa’orang murid Isa yang bŭrnama Ananias; maka bŭrkatalah Tuhan kapadanya dŭngan suatu pŭngŭlihatan, Ananias, maka jawabnya, Sahya Tuhan. Maka kata Tuhan kapadanya, Bangunlah angkau, pŭrgi mŭngikot lorong yang bŭrnama bŭtol, maka tanyalah angkau dirumah Yahuda akan sa’orang yang bŭrnama Saul, orang nŭgri Tarsus; kŭrna sŭsungguhnya adalah iya itu mŭminta doa. Dan adalah iya tŭlah mŭlihat dalam suatu pŭnglihatan akan sa’orang yang bŭrnama Ananias masok, sŭrta mŭlŭtakkan tangan ka’atasnya, supaya klihatan pula matanya. Maka mŭnyahutlah Ananias katanya, Bahwa aku tŭlah mŭnŭngar deripada banyak orang akan hal orang itu, bŭbrapa kŭjahatan yang tŭlah dipŭrbuatnya kapada sagala orang salihmu diJerusalem. Maka skarang pun iya tŭlah bŭrulih kwasa deripada kŭpala kŭpala imam akan mŭngikat sagala orang yang bŭrsru dŭngan namamu. Tŭtapi bŭrkatalah Tuhan padanya, Pŭrgilah juga angkau, kŭrna orang itulah kŭlak akan mŭnjadi suatu pŭgawi yang tŭrpileh padaku, akan mŭmashorkan namaku kapada orang orang sŭsat, dan raja raja, dan bŭni Israil. Kŭrna aku akan mŭnunjokkan padanya bŭbrapa kasukaran kŭlak akan ditanggongkan sŭbab namaku. Maka Ananias pun pŭrgilah, lalu masok kŭdalam rumah itu, sambil mŭlŭtakkan tangan ka’atasnya, sŭrta bŭrkata, Hie saudaraku Saul, bahwa Tuhan, iya itu Isa, yang tŭlah klihatan padamu dijalan yang angkau datang kŭmari, iyalah tŭlah mŭnyurohkan aku datang kapadamu, supaya matamu bulih klihatan pula, dan hatimu pun dipŭnohi dŭngan Roh Alkudus. Maka sŭkunyung kunyung gugorlah deripada mata Saul itu spŭrti rupa sisek, maka dŭngan skutika itu juga tampaklah matanya, sŭrta bangunlah iya, lalu dibaptisakanlah akan dia. Maka sŭtlah suda iya makan, kuatlah iya pula. Maka tinggallah iya sŭrta dŭngan sagala murid diDamsek bŭbrapa hari lamanya.

KISAH RASUL-RASUL 9:1-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Saul, yang terus-menerus mengancam hendak membunuh murid-murid Tuhan Yesus, pergi mendapatkan imam besar dan meminta surat untuk ditunjukkan kepada saumaah di Damsyik, supaya sekiranya dia menjumpai sesiapa yang mengikut Jalan Tuhan, baik lelaki mahupun perempuan, dia boleh memberkas dan membawa mereka ke Yerusalem. Dalam perjalanannya, apabila dia hampir sampai di Damsyik, tiba-tiba suatu cahaya dari langit bersinar mengelilinginya. Dia rebah ke bumi lalu mendengar suara berkata, “Saul, Saul, mengapa engkau menganiaya Aku?” Saul bertanya, “Siapakah Engkau, Tuan?” Jawab-Nya, “Akulah Yesus yang kauaniaya. Bangkitlah, masuklah ke kota. Di sana engkau akan diberitahu apa yang harus kaubuat.” Orang seperjalanan Saul terpegun kerana mendengar suara itu tanpa melihat sesiapa pun. Saul bangkit sambil membuka mata tetapi tidak dapat melihat suatu apa. Oleh yang demikian, mereka memegang tangannya dan memimpinnya masuk ke Damsyik. Selama tiga hari dia tidak dapat melihat dan tidak makan atau minum. Ada seorang murid Yesus yang bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam suatu penglihatan dia mendengar Tuhan berkata, “Ananias!” “Ya, Tuhan,” sahut Ananias. Tuhan berkata kepadanya, “Bersiaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Tanyakanlah seorang yang bernama Saul dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa, dan melihat seorang bernama Ananias meletakkan tangan di atasnya supaya dia dapat melihat semula.” Ananias menjawab, “Ya Tuhan, aku telah mendengar ramai orang mengatakan hal orang itu. Dia telah banyak menganiaya umat-Mu yang salih di Yerusalem. Sekarang dia datang ke Damsyik membawa kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyebut nama-Mu.” Namun demikian, Tuhan berkata, “Pergilah, kerana Aku telah memilihnya sebagai alat pilihan-Ku untuk mengkhabarkan nama-Ku kepada bangsa-bangsa asing, raja-raja, dan umat Israel. Aku akan menunjukkan kepadanya segala kesengsaraan yang akan ditanggungnya kerana nama-Ku.” Dengan demikian Ananias pun pergi lalu masuk ke rumah itu dan meletakkan tangannya ke atas Saul sambil berkata, “Saudaraku Saul, Tuhan Yesus yang telah menampakkan diri-Nya kepadamu dalam perjalanan ke sini telah mengutusku supaya engkau dapat melihat semula dan dipenuhi Roh Kudus.” Serta-merta sesuatu seperti sisik gugur daripada mata Saul dan dia dapat melihat semula. Dia pun bangun lalu dibaptiskan. Kemudian dia makan dan kekuatannya pun pulih.