Kisah Para Rasul 9:1-19

Kisah Para Rasul 9:1-19 AVB

Saul, yang terus-menerus mengancam hendak membunuh murid-murid Tuhan Yesus, pergi mendapatkan imam besar dan meminta surat untuk ditunjukkan kepada saumaah di Damsyik, supaya sekiranya dia menjumpai sesiapa yang mengikut Jalan Tuhan, baik lelaki mahupun perempuan, dia boleh memberkas dan membawa mereka ke Yerusalem. Dalam perjalanannya, apabila dia hampir sampai di Damsyik, tiba-tiba suatu cahaya dari langit bersinar mengelilinginya. Dia rebah ke bumi lalu mendengar suara berkata, “Saul, Saul, mengapa engkau menganiaya Aku?” Saul bertanya, “Siapakah Engkau, Tuan?” Jawab-Nya, “Akulah Yesus yang kauaniaya. Bangkitlah, masuklah ke kota. Di sana engkau akan diberitahu apa yang harus kaubuat.” Orang seperjalanan Saul terpegun kerana mendengar suara itu tanpa melihat sesiapa pun. Saul bangkit sambil membuka mata tetapi tidak dapat melihat suatu apa. Oleh yang demikian, mereka memegang tangannya dan memimpinnya masuk ke Damsyik. Selama tiga hari dia tidak dapat melihat dan tidak makan atau minum. Ada seorang murid Yesus yang bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam suatu penglihatan dia mendengar Tuhan berkata, “Ananias!” “Ya, Tuhan,” sahut Ananias. Tuhan berkata kepadanya, “Bersiaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Tanyakanlah seorang yang bernama Saul dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa, dan melihat seorang bernama Ananias meletakkan tangan di atasnya supaya dia dapat melihat semula.” Ananias menjawab, “Ya Tuhan, aku telah mendengar ramai orang mengatakan hal orang itu. Dia telah banyak menganiaya umat-Mu yang salih di Yerusalem. Sekarang dia datang ke Damsyik membawa kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyebut nama-Mu.” Namun demikian, Tuhan berkata, “Pergilah, kerana Aku telah memilihnya sebagai alat pilihan-Ku untuk mengkhabarkan nama-Ku kepada bangsa-bangsa asing, raja-raja, dan umat Israel. Aku akan menunjukkan kepadanya segala kesengsaraan yang akan ditanggungnya kerana nama-Ku.” Dengan demikian Ananias pun pergi lalu masuk ke rumah itu dan meletakkan tangannya ke atas Saul sambil berkata, “Saudaraku Saul, Tuhan Yesus yang telah menampakkan diri-Nya kepadamu dalam perjalanan ke sini telah mengutusku supaya engkau dapat melihat semula dan dipenuhi Roh Kudus.” Serta-merta sesuatu seperti sisik gugur daripada mata Saul dan dia dapat melihat semula. Dia pun bangun lalu dibaptiskan. Kemudian dia makan dan kekuatannya pun pulih.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Kisah Para Rasul 9:1-19