KISAH RASUL-RASUL 8:26-40

KISAH RASUL-RASUL 8:26-40 Alkitab Berita Baik (BM)

Malaikat Tuhan berkata kepada Filipus, “Bersiap-siaplah dan pergilah ke arah selatan, ke jalan yang menghubungkan Yerusalem dengan Gaza.” (Jalan itu tidak digunakan lagi.) Lalu Filipus pun berangkat. Seorang sida-sida dari Etiopia sedang dalam perjalanan pulang ke negerinya. Dia seorang pegawai tinggi yang bertanggungjawab atas kekayaan Kandake, ratu negeri Etiopia. Pegawai itu pergi ke Yerusalem untuk menyembah Allah dan sekarang dia dalam perjalanan pulang. Dia duduk di dalam kereta kudanya, sambil membaca kitab Nabi Yesaya. Roh Allah berkata kepada Filipus, “Pergi dekati kereta kuda itu.” Filipus segera pergi menghampiri kereta kuda itu, lalu mendengar pegawai tinggi itu sedang membaca kitab Nabi Yesaya. Filipus bertanya kepadanya, “Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?” Pegawai tinggi itu menjawab, “Bagaimana saya boleh faham jika tidak ada orang yang menerangkannya?” Lalu dia mengajak Filipus menaiki kereta kudanya dan duduk dengan dia. Inilah ayat-ayat yang dibacanya, “Dia seperti domba yang digiring untuk disembelih; seperti anak domba yang tidak mengembik ketika bulunya digunting; demikianlah Dia tidak berkata sepatah pun. Dia dihina dan diperlakukan dengan tidak adil. Nyawanya dicabut dari muka bumi, sehingga tiada seorang pun dapat menceritakan keturunannya.” Pegawai tinggi itu berkata kepada Filipus, “Tolong beritahu, siapakah yang dimaksudkan oleh nabi itu? Dirinya sendiri atau orang lain?” Lalu Filipus mula berkata-kata. Melalui ayat-ayat itu Filipus memberitahu dia Berita Baik tentang Yesus. Dalam perjalanan, mereka sampai ke suatu tempat yang berair. Pegawai itu berkata, “Lihatlah, di sini ada air. Adakah sebab yang menghalang saya dibaptis?” [ Filipus berkata, “Tuan boleh dibaptis, asal sahaja tuan percaya kepada Yesus dengan sepenuh hati.” Pegawai tinggi itu menjawab, “Saya percaya bahawa Yesus Kristus Anak Allah.”] Lalu pegawai itu memberikan perintah supaya kereta kudanya dihentikan. Kemudian Filipus dan pegawai itu turun ke dalam air dan Filipus membaptis dia. Apabila mereka keluar dari air, Roh Tuhan mengambil Filipus dari situ. Pegawai tinggi itu tidak nampak dia lagi, lalu meneruskan perjalanan dengan sukacita. Filipus mendapati dirinya di Asdod. Dia meneruskan perjalanan sambil mengkhabarkan Berita Baik tentang Yesus di semua bandar sehingga dia tiba di Kaisarea.

KISAH RASUL-RASUL 8:26-40 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Sŭbarmula maka bŭrkatalah sa’orang mŭliekat Tuhan pada Filipus, Bangunlah angkau bŭrjalan kasŭblah sŭlatan yang dijalan turon deri Jerusalem kanŭgri Gaza yang sunyi itu. Hata maka bangunlah iya lalu bŭrjalan; maka bahwa sŭsungguhnya adalah sa’orang Habshi, iya itu sida sida mantri bŭsar dibawah raja pŭrampuan orang Habshi yang bŭrnama Kandace, maka iyalah yang mŭmŭgang pŭrbandahrannya, iya itu tŭlah datang sŭmbahyang diJerusalem. Maka adalah iya pulang, dudok diatas kretanya, sambil mŭmbacha surat nabi Jasia. Maka bŭrkatalah Roh akan Filipus, Pŭrgilah angkau dŭkat, sŭrta rapatkanlah dirimu pada kreta itu. Maka bŭrlarilah Filipus dŭkat, lalu didŭngarnya dia mŭmbacha surat nabi Jasia; maka kata Filipus, Adakah angkau mŭngarti bachaanmu itu? Maka jawabnya, Mana bulih, jikalau tiada sa’orang mŭngŭrtikan padaku. Maka disurohnya Filipus naik dudok sŭrtanya. Adapun tŭmpat kitab yang dibachanya itu dŭmkian bunyinya; Iya itu tŭlah dibawa spŭrti sa’ekor domba akan disŭmbleh, dan spŭrti sa’ekor anak domba mŭmbisukan dirinya dihadapan orang yang mŭnggunting bulunya, maka dŭmkianlah adanya tiada iya mŭmbuka mulotnya. Dalam hal kŭrŭndahannya, maka diambil deripadanya bicharanya yang adil, maka siapakah dapat mŭngatakan derihal orang zamannya itu, kŭrna nyawanya itu tŭlah diputuskan deri atas bumi. Maka kata sida sida itu kapada Filipus, Bahwa aku bŭrtanya kapadamu, deri hal siapakah nabi itu bŭrkata, deri hal dirinyakah, atau deri hal orang lainkah? Maka Filipus pun mŭmbuka mulotnya, sŭrta dimulainya deripada pŭrkataan kitab itu juga dibrinya tahu padanya derihal Isa. Maka adalah sŭmŭntara marika itu bŭrjalan sŭpanjang jalan, maka sampielah iya kapada suatu tŭmpat ayer, lalu bŭrkatalah sida sida itu, Lihatlah, bahwa itutah ayer, apakah yang mŭlarangkan aku dibaptisakan? Maka jawab Filipus, Jikalau angkau pŭrchaya dŭngan bulat bulat hatimu, bulih. Maka sahutnya, Aku pŭrchaya akan Almasih itu anak Allah. Maka disurohnya kreta itu bŭrhŭnti, lalu turonlah Filipus sŭrta sida sida itu kaduanya mŭndapatkan ayer itu, lalu dibaptiskannyalah akan dia. Adapun sŭtlah marika itu naik deripada ayer itu, maka dibawanya Roh Tuhan akan Filipus pŭrgi, sampie tiadalah dilihat ulih sida sida itu akan dia lagi, lalu pulanglah sida sida itu dŭngan suka chitanya sŭpanjang jalan. Arkian maka Filipus itu didapati orang pula dinŭgri Azotus, maka sŭmŭntara iya mŭlalui tanah itu, dimashorkannya Injil dalam sagala nŭgri itu sahingga sampielah kanŭgri Kesaria.

KISAH RASUL-RASUL 8:26-40 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Malaikat Tuhan berkata kepada Filipus, “Bangkit dan pergilah ke arah selatan di jalan antara Yerusalem dengan Gaza. Sekarang tempat itu lengang.” Dia pun bangkit lalu pergi. Ada seorang Ethiopia, seorang sida-sida, yang besar pangkatnya di bawah perintah Kandake, ratu negeri Ethiopia, dan ditugaskan menjaga seluruh perbendaharaannya. Dia telah pergi ke Yerusalem untuk beribadat. Ketika dia sedang dalam perjalanan pulang dan sambil duduk di dalam rata kudanya, dia membaca kitab Nabi Yesaya. Roh Kudus berkata kepada Filipus, “Pergi dekati rata itu.” Filipus pun berlari mendapatkannya lalu mendengarnya membaca kitab Nabi Yesaya. Filipus berkata, “Fahamkah apa yang kamu baca itu?” Jawabnya, “Bagaimana aku dapat memahaminya, kecuali ada orang yang membimbingku?” Dia pun mengajak Filipus naik duduk di sisinya. Bahagian Kitab Suci yang dibacanya ialah: “Seperti domba yang dibawa untuk disembelih, seperti anak domba yang senyap di hadapan orang yang menggunting bulunya, maka Dia tidak membuka mulut-Nya. Dia dihina dan keadilan direntap daripada-Nya, maka siapa akan mengisahkan keturunan-Nya? Nyawa-Nya direnggut dari muka bumi.” Sida-sida itu berkata kepada Filipus, “Aku bertanya kepadamu, tentang siapakah nabi itu bercakap, tentang dirinya atau seseorang lain?” Filipus pun membuka mulutnya: bermula dari bahagian Kitab Suci itu, dia menyampaikan berita baik tentang Yesus kepada sida-sida itu. Sedang mereka meneruskan perjalanan, mereka sampai di suatu tempat yang berair. Sida-sida itu berkata, “Lihat, di sini ada air. Apa yang menghalang aku daripada dibaptiskan?” Filipus berkata, “Jika kamu percaya sepenuh hati, kamu boleh dibaptiskan.” Sida-sida itu menjawab, “Aku percaya bahawa Yesus Kristus itu Anak Allah.” Lalu dia mengarahkan rata itu dihentikan. Dia bersama Filipus turun ke dalam air, lalu Filipus membaptisnya. Setelah mereka keluar dari air, Roh Tuhan mengambil Filipus dari situ. Sida-sida itu tidak melihatnya lagi, lalu meneruskan perjalanan dengan sukacita. Filipus mendapati dirinya di Asdod. Dia meneruskan perjalanan sambil menyampaikan Injil di segala kota hingga sampai di Kaisarea.