KISAH RASUL-RASUL 4:1-22

KISAH RASUL-RASUL 4:1-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Petrus dan Yohanes masih berkata-kata kepada orang ramai, apabila imam-imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan beberapa orang Saduki datang. Mereka marah kerana Petrus dan Yohanes mengajar orang ramai bahawa Yesus sudah dibangkitkan daripada kematian. Hal itu membuktikan bahawa orang mati akan dibangkitkan. Oleh itu mereka menangkap kedua-dua orang rasul itu. Mereka ditahan di dalam penjara sehingga esok, kerana hari sudah petang. Tetapi banyak orang yang mendengar perkhabaran itu percaya kepada Yesus. Bilangan mereka bertambah sehingga kira-kira lima ribu orang. Pada hari berikutnya, para pemimpin bangsa Yahudi, pemimpin masyarakat Yahudi, dan guru Taurat berkumpul di Yerusalem. Mereka menjumpai Imam Agung Hanas dan Kayafas, Yohanes, Aleksander, dan semua orang lain yang tergolong dalam keluarga Imam Agung itu. Mereka menyuruh rasul-rasul itu berdiri di hadapan mereka, lalu bertanya, “Bagaimanakah kamu menyembuhkan orang lumpuh itu? Dengan kuasa apa atau dengan kuasa siapa kamu melakukan hal itu?” Petrus, yang dikuasai oleh Roh Allah, menjawab, “Tuan-tuan pemimpin bangsa Yahudi dan pemimpin masyarakat Yahudi! Agaknya hari ini kami disoal kerana kami telah berbuat baik kepada orang lumpuh itu dan kerana tuan-tuan mahu tahu bagaimana dia disembuhkan. Tuan-tuan dan semua orang Israel harus tahu bahawa orang ini yang berdiri di hadapan tuan-tuan sudah sembuh kerana kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu. Tuan-tuan sudah menyalibkan Dia, tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian. Yesuslah yang dimaksudkan oleh ayat ini di dalam Alkitab, ‘Batu yang kamu, pembina bangunan buang, ternyata menjadi batu yang paling utama.’ Hanya melalui Yesus orang diselamatkan, kerana di seluruh dunia tiada orang lain yang mendapat kekuasaan daripada Allah untuk menyelamatkan kita.” Anggota-anggota Majlis Agama hairan melihat keberanian Petrus dan Yohanes, apabila mereka tahu bahawa kedua-dua orang rasul itu orang biasa yang tidak berpendidikan. Lalu mereka sedar bahawa kedua-dua orang itu sahabat karib Yesus. Tetapi mereka tidak dapat berkata apa-apa, kerana mereka melihat orang yang disembuhkan itu, berdiri di situ bersama-sama Petrus dan Yohanes. Oleh itu mereka menyuruh kedua-dua orang rasul itu keluar dari bilik Majlis Agama, lalu mula berunding. Mereka bertanya, “Apa yang harus kita lakukan terhadap kedua-dua orang ini? Semua orang yang tinggal di Yerusalem tahu bahawa mukjizat yang luar biasa itu dilakukan oleh mereka. Kita tidak dapat menafikannya. Tetapi supaya perkara ini tidak tersebar lebih luas lagi di kalangan orang ramai, baiklah kita berikan amaran kepada mereka supaya jangan berkata-kata lagi kepada sesiapa pun dengan nama Yesus.” Lalu mereka memanggil kedua-dua orang rasul itu masuk kembali, dan melarang mereka menyebut nama Yesus atau mengajar dengan nama-Nya. Tetapi Petrus dan Yohanes menjawab, “Pertimbangkan sendiri mana yang benar di sisi Allah: Taat kepada tuan-tuan atau taat kepada Allah? Kami tidak dapat berhenti berkata-kata tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.” Anggota-anggota Majlis Agama memberikan amaran yang lebih keras lagi, lalu membebaskan kedua-duanya. Mereka tidak dapat mencari alasan untuk menghukum Petrus dan Yohanes, kerana semua orang memuji-muji Allah bagi peristiwa itu. Orang yang mengalami kesembuhan yang menghairankan itu berumur lebih daripada empat puluh tahun.

KISAH RASUL-RASUL 4:1-22 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka sŭmŭntara marika itu lagi bŭrkata kata kapada kaum itu, maka datanglah kapadanya sagala imam, dan pŭnghulu kŭnisa, dan Sadukia. Maka tŭrlalulah sakit hati marika itu, sŭbab orang orang ini mŭngajar kaum itu, dan mŭmashorkan derihal manusia akan dihidopkan pula deripada matinya, spŭrti tuladan Isa. Maka ditangkapnyalah akan marika itu, lalu dimasokkannya kŭdalam pŭnjara sampie esoknya, kŭrna hari sudah malam. Akan tŭtapi banyak orang yang akan mŭnŭngar pŭrkataan itu pŭrchayalah iya; adalah bilangan sagala orang yang pŭrchaya itu, kira kira lima ribu orang banyaknya. ¶ Bŭrmula sŭtlah ka’esokkan harinya, maka bŭrhimponlah ka‐Jerusalem sagala pŭnghulu, dan orang tua tua, dan khatib khatib: Dan Annas imam yang bŭsar itu, dan Kiefas, dan Yahya, dan Iskandar, dan bŭbrapa pula orang deripada kŭlorga imam yang bŭsar. Maka sŭtlah su lah dibawanya marika itu pada sama tŭngah mŭjŭlis itu, maka bŭrtanyalah orang orang itu padanya, katanya, Dŭngan kwasa siapakah, atau dŭngan nama siapakah kamu bŭrbuat itu? Maka pada tŭtkala itu adalah Petros itu pŭnohlah hatinya dŭngan Roh Alkudus, lalu dijawabnya pada marika itu, katanya, Hie sagala pŭnghulu kaum, dan orang tua tua deripada orang Israil: Jikalau kiranya kamu dida’wa skarang ini, sŭbab pŭrbuatan yang baik yang tŭlah diadakan pada orang lŭmpoh itu, dan bagimana halnya tŭlah disŭmbohkan itu. Barang ma’lom kiranya kamu skalian, dan sagala orang Israil itu; bahwa dŭngan nama Isa Almasih orang Nazareth yang tŭlah kamu salibkan itu; maka iya itu tŭlah dihidopkan Allah pula deripada matinya; maka dŭngan bŭrkatnyalah orang ini dapat bŭrdiri dihadapan kamu dŭngan sŭmbohnya. Maka iya itulah batu yang tŭlah dihinakan ulih kamu orang yang mŭmbangunkan rumah; maka iya itulah tŭlah mŭnjadi batu pŭnjuru yang diaatas skali. Maka tiadalah bulih datang slamat deripada orang lain, kŭrna tiada nama lain dibawah langit yang tŭlah dikurniakan Allah bagie manusia akan mŭndatangkan slamat kapada kami. ¶ Maka apabila marika itu mŭlihat brani hati Petros dan Yahya itu, sŭrta dikŭtahuinya; bahwa dua orang itu tiada bŭrilmu dan tiada pandie, maka hieranlah iya sŭrta dichamkannya akan marika itu sudah bŭrsama sama dŭngan Isa Almasih. Maka tŭtkala dirŭnongnya, orang yang disŭmbohkan itu pun ada bŭrdiri bŭrsama sama dŭngan marika itu, maka tiadalah dapat dibantahinya lagi. Maka sŭtlah sudahlah disurohnya marika itu kluar deri dalam mŭjŭlis itu; maka bŭrbicharalah dia orang sama sŭndirinya, Katanya, Apakah yang handak kami pŭrbuat akan orang orang ini? kŭrna marika itu tŭlah mŭngadakan suatu ajaib yang bŭsar, lagi nyata pada sagala orang yang diam diJerusalem, maka tiadalah dapat kami bŭrsangkal akan dia. Tŭtapi supaya jangan jadi makin lama makin mashorlah hal itu diantara kaum ini, biarlah kami gŭrtakkan dia, supaya jangan marika itu bŭrkata kata kapada sa’orang jua pun dŭngan nama Isa itu lagi. Maka dipanggilnya marika itu, lalu diamarkannya, katanya, Jangan skali kali kamu bŭrkata kata, atau mŭngajar dŭngan nama Isa itu. Tŭtapi jawab Petros dan Yahya, Handaklah kamu timbang baik baik, adakah patut pada pŭmandangan Allah kami mŭnurot akan pŭrkataan kamu tŭrlebih deripada mŭnurot pŭrkataan Allah? Kŭrna dapat tiada kami bŭrkata kata juga akan pŭrkara yang tŭlah kami lihat, dan dŭngar. Tŭtapi apabila sudah digŭrtakkan marika itu lagi, lalu dilŭpaskannya akan dia orang pŭrgi, deri sŭbab takotnya akan kaum itu, kŭrna suatu pun tiada didapatinya bagimana handak dihukumkannya akan dia orang, tŭgal sagala orang mŭmuliakan Allah, deri kŭrna pŭrkara ajaib itu yang tŭlah jadi. Adapun orang yang tŭlah disŭmbohkan dŭngan ajaib itu, adalah lebih deripada ampat puloh tahun umornya.

KISAH RASUL-RASUL 4:1-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sementara mereka bercakap kepada orang ramai, para imam dan ketua pengawal Bait Suci serta orang Saduki datang kepada mereka. Mereka sangat gelisah bahawa rasul itu mengajar orang ramai dan memberitakan kebangkitan daripada kematian melalui Yesus. Mereka menangkap Petrus dan Yohanes lalu memasukkan mereka ke dalam penjara sampai esok kerana hari sudah malam. Namun demikian, ramai orang yang telah mendengar apa yang diajarkan itu percaya, dan jumlah laki-laki telah bertambah kira-kira lima ribu. Pada esoknya, para pemimpin masyarakat Yahudi, tua-tua dan ahli-ahli Taurat berhimpun di Yerusalem, dan juga imam besar Hanas, Kayafas, Yohanes, Aleksander dan seluruh keluarga imam besar. Mereka membawa Petrus dan Yohanes untuk dihadapkan kepada mereka. Kemudian mereka pun bertanya, “Dengan kuasa apa dan dengan nama siapakah kamu telah melakukan perkara itu?” Petrus yang dipenuhi Roh Kudus berkata kepada mereka, “Para pemimpin masyarakat Israel! Sekiranya hari ini kami dihakimi atas perbuatan baik kepada seorang yang lumpuh, sehingga dia dipulihkan, maka ketahuilah kamu sekalian dan seluruh bangsa Israel, bahawa dengan nama Yesus Kristus dari Nazaret, yang telah kamu salib dan telah dibangkitkan Allah daripada kematian, dengan nama Dialah orang ini berdiri di sini di hadapanmu dalam keadaan sihat sempurna. Inilah ‘batu yang kamu buang sebagai pembina, kini telah menjadi batu penjuru.’ Tiadalah penyelamatan melalui sesiapa yang lain, kerana tiada nama lain di bawah langit ini diberikan dalam kalangan manusia, yang dapat menyelamatkan kita.” Apabila mereka melihat keberanian Petrus dan Yohanes sedangkan kedua-duanya ternyata orang yang tidak berpelajaran serta tidak terlatih, mereka pun hairan. Mereka sedar bahawa kedua-duanya telah bersama dengan Yesus. Apabila mereka melihat orang yang sudah disembuhkan itu berdiri di sisi kedua-duanya, mereka tidaklah dapat menyangkal lagi. Tetapi setelah mereka menyuruh kedua-duanya keluar dari majlis itu, mereka pun bermesyuarat sesama sendiri, “Apakah yang akan kita lakukan kepada mereka itu? Sesungguhnya, sudah nyata kepada semua orang Yerusalem bahawa satu mukjizat yang mengagumkan telah dilakukan melalui mereka, dan kita tidak dapat menafikannya. Tetapi supaya berita ini tidak tersebar lebih luas dalam kalangan bangsa kita, eloklah kita melarang mereka berkata-kata lagi kepada sesiapa pun dengan menggunakan nama itu.” Dengan demikian mereka pun memanggil kedua-duanya itu dan mengeluarkan perintah jangan sekali-kali bercakap atau mengajar dengan nama Yesus. Tetapi Petrus dan Yohanes menjawab, “Wajarkah pada pandangan Allah jika kami mendengar katamu lebih daripada mendengar kata Allah? Timbangkanlah, kerana kami mesti bercakap tentang segala yang telah kami lihat dan dengar itu.” Setelah membuat beberapa ugutan lagi, mereka melepaskan kedua-dua rasul itu kerana tidak tahu bagaimana hendak menghukum mereka, memandangkan seluruh masyarakat memuji Allah atas apa yang telah dilakukan itu; padahal orang yang disembuhkan melalui mukjizat itu sudah berumur lebih daripada empat puluh tahun.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami