KISAH RASUL-RASUL 25:1-12

KISAH RASUL-RASUL 25:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Tiga hari setelah Gabenor Festus tiba di daerah itu, dia pergi dari Kaisarea ke Yerusalem. Di situ ketua-ketua imam dan pemimpin orang Yahudi mengemukakan tuduhan mereka terhadap Paulus. Mereka memohon pertolongan Festus supaya menghantar Paulus ke Yerusalem, kerana mereka sudah berkomplot untuk membunuh dia di perjalanan. Tetapi Festus menjawab, “Paulus ditahan di Kaisarea dan saya sendiri pun akan segera kembali ke sana. Biarlah pemimpin-pemimpin kamu pergi dengan saya ke Kaisarea, lalu mendakwa dia jika dia memang bersalah.” Festus tinggal di Yerusalem kira-kira lapan atau sepuluh hari lagi, lalu dia kembali ke Kaisarea. Keesokan harinya dia duduk sebagai hakim di mahkamah dan memberikan perintah supaya Paulus dibawa menghadap. Apabila Paulus tiba, orang Yahudi yang datang dari Yerusalem berdiri di sekelilingnya dan mula mengemukakan tuduhan-tuduhan berat, yang tidak dapat dibuktikan oleh mereka. Tetapi Paulus membela diri dengan berkata, “Saya tidak bersalah terhadap Taurat Musa, atau terhadap Rumah Tuhan, ataupun terhadap Kaisar Roma.” Tetapi Festus hendak mengambil hati orang Yahudi. Oleh itu dia bertanya kepada Paulus, “Mahukah kamu pergi ke Yerusalem supaya saya boleh mengadili kamu di sana?” Paulus menjawab, “Saya berdiri di hadapan mahkamah Kaisar Roma, dan di sinilah saya harus diadili. Tuan sendiri tahu bahawa saya tidak bersalah terhadap orang Yahudi. Jika saya sudah melanggar hukum dan melakukan sesuatu yang patut dijatuhi hukuman mati, saya rela mati. Tetapi jika tuduhan mereka tidak benar, tidak seorang pun boleh menyerahkan saya kepada mereka. Saya minta diadili oleh Kaisar Roma!” Setelah berunding dengan para penasihatnya, Festus menjawab, “Kerana kamu minta diadili oleh Kaisar Roma, kamu harus pergi menghadap Kaisar.”

KISAH RASUL-RASUL 25:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

ADAPUN sŭtlah sudah Festus masok dalam jajahan itu, maka kumdian deripada tiga hari, naiklah iya deri Kesaria kaJerusalem. Maka datanglah imam bŭsar, dan orang yang mulia mulia deri antara orang Yahudi mŭngadap Festus, akan mŭlawan Paulus, sŭrta mŭminta kapadanya, Sambil mŭmohonkan anugrah, handak mŭlawan akan dia, supaya dipanggilnya mŭngadap kaJerusalem, tŭtkala diadangkan orang akan dia ditŭngah jalan handak mŭmbunoh dia. Maka disahut ulih Festus, Bahwa Paulus itu patut tŭrpŭnjara diKesaria, akan tŭtapi aku sŭndiri pun handak pŭrgi kŭsana. Sŭbab itu, katanya, Jikalau ada orang diantara kamu yang bulih pŭrgi, biarlah marika itu turon bŭrsama sama, bulih bŭrbichara mŭlawan dia, jikalau ada kiranya barang apa kŭjahatannya. Maka sŭtlah iya tinggal disana lebih sa’puloh hari lamanya, lalu turonlah iya kaKesaria. Hata maka pada kaesokkan harinya, dudoklah iya diatas tŭmpat bichara, maka disurohnya mŭmbawa Paulus kahadapannya. Shahadan sŭtlah datanglah iya, adapun orang Yahudi yang turon deri Jerusalem adalah mŭnglilingi akan dia dŭngan mŭmbawa tudohan banyak dan bŭrat akan Paulus, yang tiada dapat marika itu mŭmbri saksi derihal itu. Tŭtapi ulih Paulus dibrinyalah jawab dŭmkian katanya, Bahwa tiadalah aku bŭrdosa kapada tauret orang Yahudi, atau kapada ka’abah, atau kapada Kiesar. Akan tŭtapi Festus, sŭbab handak mŭnunjokkan kasihnya kapada orang Yahudi, maka disahutnya kapada Paulus sambil bŭrkata, Mahukah angkau naik kaJerusalem, supaya dibicharakan halmu itu dihadapanku disana? Maka jawab Paulus, Adalah hamba ini bŭrdiri dihadapan tŭmpat bichara Kiesar, iya itu tŭmpat yang patut aku dibicharakan, maka kapada orang Yahudi tiadalah aku mŭmbuat barang apa salah, tuan hamba pun ma’lomlah. Kŭrna jikalau ada aku mŭmbuat salah, atau mŭngŭrjakan barang apa hukum yang patut dibunoh, maka skali kali tiada aku ŭnggan; akan tŭtapi jikalau tiada bŭnar barang apa yang ditudohi ulih marika itu atasku, tiadalah sa’orang jua pun yang bulih mŭnyŭrahkan aku kapada marika itu. Aku mahu pŭrgi bichara kapada Kiesar. Sŭtlah itu maka Festus pun apabila sudah mufakat dŭngan sagala orang orang bichara itu, maka bŭrkatalah iya, Bahwa angkau handak pŭrgi bichara kapada Kiesar, handaklah angkau pŭrgi mŭngadap Kiesar.

KISAH RASUL-RASUL 25:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Tiga hari selepas Festus tiba di wilayah itu, dia berangkat dari Kaisarea ke Yerusalem. Ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi menuduh Paulus di hadapan Festus. Mereka memohon jasa baik Festus menghantar Paulus ke Yerusalem kerana mereka telah berpakat hendak membunuhnya di pertengahan jalan. Akan tetapi, Festus menjawab bahawa Paulus terpenjara di Kaisarea dan dia sendiri pun hendak segera ke sana. Dia berkata, “Oleh itu, hendaklah orang yang berkuasa antara kamu berangkat ke sana bersamaku dan mendakwa orang itu, jika dia telah melakukannya.” Setelah tinggal di Yerusalem kira-kira lapan atau sepuluh hari lagi, Festus pun berangkat ke Kaisarea. Pada esoknya dia duduk sebagai hakim di mahkamah lalu menyuruh orang membawa Paulus menghadapnya. Setelah Paulus masuk, semua orang Yahudi yang datang dari Yerusalem itu berdiri mengelilinginya serta menuduhnya atas beberapa kesalahan yang berat, yang tidak dapat dibuktikan oleh mereka. Kemudian Paulus membela dirinya sendiri dan berkata “Satu pun tiada kesalahanku, terhadap hukum orang Yahudi, atau terhadap Bait Suci, atau terhadap Kaisar.” Akan tetapi, Festus hendak mengambil hati orang Yahudi lalu bertanya kepada Paulus, “Mahukah kamu pergi ke Yerusalem supaya aku mengadili perkaramu ini di sana?” Paulus menjawab, “Aku sekarang berdiri di mahkamah Kaisar, dan di sinilah aku patut dibicarakan. Aku tidak pernah melakukan sesuatu yang buruk terhadap orang Yahudi, sebagaimana kamu terlebih maklum. Kalaulah aku bersalah, atau telah melakukan sesuatu yang patut aku dibunuh, aku tidaklah enggan mati; tetapi jika segala tuduhan mereka ke atas aku itu tidak benar, tiada seorang pun yang boleh menyerahkanku kepada mereka. Aku hendak mengadu kepada Kaisar.” Setelah berbincang dengan semua penasihatnya, Festus menjawab, “Kamu hendak mengadu kepada Kaisar; pergilah menghadap Kaisar!”