KISAH RASUL-RASUL 22:1-21

KISAH RASUL-RASUL 22:1-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Paulus berkata, “Bapa-bapa dan saudara sekalian, dengarkanlah apa yang akan saya katakan untuk membela diri.” Apabila mereka mendengar Paulus berkata-kata dalam bahasa Ibrani, mereka lebih tenang lagi. Paulus melanjutkan kata-katanya, “Saya orang Yahudi; saya dilahirkan di Tarsus di negeri Kilikia, dan dibesarkan di Yerusalem sebagai murid Gamaliel. Saya diajar dengan teliti tentang Taurat nenek moyang kita, dan saya mengabdikan diri kepada Allah seperti saudara sekalian pada hari ini. Saya menganiaya pengikut ajaran baru itu sehingga mereka mati. Saya menangkap orang lelaki dan perempuan, lalu memasukkan mereka ke dalam penjara. Imam Agung dan semua anggota Majlis Agama dapat memberikan kesaksian bahawa saya tidak berdusta. Saya diberikan mereka surat-surat yang ditujukan kepada orang Yahudi di Damsyik. Dengan surat itu saya dibenarkan menangkap pengikut ajaran baru itu lalu membawa mereka ke Yerusalem untuk dihukum.” “Semasa saya dalam perjalanan dan hampir tiba di Damsyik, pada kira-kira tengah hari, tiba-tiba cahaya terang dari langit memancar di sekeliling saya. Saya rebah ke tanah lalu mendengar suara berkata kepada saya, ‘Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku?’ Lalu saya bertanya, ‘Siapakah tuan?’ ‘Aku Yesus orang Nasaret yang engkau aniaya,’ jawab-Nya. Semua orang yang bersama-sama saya nampak cahaya itu, tetapi mereka tidak mendengar suara yang berkata-kata kepada saya. Saya bertanya pula, ‘Apakah yang harus saya lakukan, tuan?’ Tuhan menjawab, ‘Bangunlah dan masuklah ke Damsyik. Di situ engkau akan diberitahu semuanya yang sudah ditetapkan oleh Allah yang harus engkau lakukan.’ Saya menjadi buta kerana cahaya terang itu. Oleh itu teman seperjalanan saya memegang tangan saya dan memimpin saya masuk ke Damsyik. Di situ ada seorang bernama Ananias. Dia seorang yang takut akan Allah dan mentaati Taurat kita. Dia sangat dihormati oleh semua orang Yahudi yang tinggal di Damsyik. Dia datang dan berdiri di sisi saya, lalu berkata, ‘Saudara Saulus, saudara dapat melihat lagi!’ Pada saat itu juga saya dapat melihat semula, lalu saya memandang dia. Dia berkata, ‘Allah yang disembah nenek moyang kita sudah memilih saudara supaya mengetahui kehendak Allah, dan melihat Yesus, Hamba Allah yang melakukan kehendak Allah, serta mendengar suara Yesus sendiri. Saudara akan menjadi saksi untuk mengkhabarkan apa yang sudah saudara lihat dan dengar kepada setiap orang. Sekarang janganlah tunggu lebih lama lagi. Bangunlah dan mintalah orang membaptis saudara. Berserulah kepada Tuhan supaya dosa saudara dihapuskan.’ ” “Saya kembali ke Yerusalem dan sementara saya berdoa di Rumah Tuhan, saya melihat suatu penglihatan. Dalam penglihatan itu saya melihat Tuhan berkata kepada saya, ‘Cepat tinggalkan Yerusalem, kerana orang di sini tidak mahu menerima kesaksianmu tentang Aku.’ Saya berkata, ‘Ya Tuhan, mereka tahu bahawa aku sudah masuk ke rumah ibadat untuk menangkap dan memukul orang yang percaya kepada-Mu. Apabila saksi-Mu Stefanus direjam, aku sendiri ada di situ dan menyetujui pembunuhan itu. Bahkan aku menjaga pakaian semua orang yang membunuh dia.’ Tetapi Tuhan berkata lagi, ‘Pergilah, kerana Aku akan menyuruh engkau ke tempat yang jauh, kepada orang bukan Yahudi.’ ”

KISAH RASUL-RASUL 22:1-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

HIE tuan tuan, saudara saudara, dan bapa bapa, dŭngarlah kiranya bicharaku skarang ini. Maka apabila didŭngar ulih marika itu iya bŭrtutor dŭngan bahsa Ibrani, makinlah lebih marika itu bŭrdiam dirinya, maka Paulus pun bŭrkatalah: Adapun aku ini pun sŭsungguhnya sa’orang orang Yahudi yang dipranakkan diTarsus, dibŭnua Celisia, tŭtapi dipliharakan aku dalam nŭgri ini dibawah kasut Gameliel, sŭrta diajarkannya mŭnurot hukum nenek moyang kami dŭngan kŭras, sŭrta pula rajin hatiku kŭrna Allah spŭrti kamu skalian skarang ini juga adanya. Dan lagi aku tŭlah mŭngannyayai akan orang yang tŭlah mŭnurot jalan ini sampie mati dibunoh, sambil mŭngikat, dan mŭmasokkan orang kŭdalam pŭnjara baik laki laki, baik pŭrampuan pŭrampuan. Maka imam yang bŭsar itu pun bulih mŭnjadi saksi bagieku, sŭrta dŭngan mŭjlis orang tua tua, maka deripada marika itulah aku tŭlah mŭngambil surat kiriman kapada sagala saudara itu, lalu pŭrgilah aku kaDamsek, sŭbab handak mŭmbawa sagala orang itu kaJerusalem yang tŭlah tŭrikat disana supaya diseksakannya. Tŭtapi skali pŭrstua tŭtkala aku bŭrjalan sudah dŭkat diDamsek itu, pada waktu tŭngah hari, maka tiba tiba mŭmancharlah suatu chahya deri langit yang amat gilang gumilang mŭnglilingi aku. Maka aku pun jatohlah tŭrjrumus kabumi, sŭrta kudŭngar suatu swara bŭrkata kapadaku, Hie Saul, Saul, mŭngapa angkau mŭngannyayai akan daku? Maka jawabku, Siapakah angkau, Tuhan? Maka bŭrkatalah iya, Akulah Isa orang Nazareth, yang angkau annyayakan itu. Maka sagala orang yang ada bŭrsama sama dŭngan aku itu pun mŭlihatlah akan chahya chahya itu sŭrta dŭngan kŭtakotannya, akan tŭtapinya tiada didŭngarnya akan swara yang bŭrkata kata dŭngan aku itu. Maka jawabku, Apakah patut kupŭrbuat ya Tuhan? Maka bŭrkatalah Tuhan padaku, Bangunlah angkau pŭrgi kaDamsek, maka disanalah akan dikatakan padamu sagala pŭrkara yang patut kamu pŭrbuat. Adapun apabila tiada bulih aku mŭlihat deri sŭbab kŭmuliaan chahya itu, maka dipimpinlah ulih orang yang bŭrsama sama dŭngan aku akan tanganku, lalu masoklah aku kaDamsek. Sŭbarmula maka adalah sa’orang yang bŭrnama Ananias, orang bŭrbakti mŭnurot tauret adanya, maka iya itu tŭlah tŭrpuji ulih orang Yahudi yang dudok disana: Maka datanglah iya sŭrta bŭrdiri disisiku, lalu bŭrkata padaku, Hie saudaraku Saul, chŭleklah matamu pula. Maka dŭngan skutika itu juga dapatlah aku mŭlihat dia. Maka bŭrkatalah iya, Bahwa Allah nenek moyang kami tŭlah mŭmileh dikau akan mŭngŭtahui kahandaknya, dan akan mŭlihat orang bŭnar itu, dan bulih mŭnŭngar pŭrkataan deripada mulotnya. Kŭrna angkau kŭlak akan mŭnjadi saksinya kapada sagala manusia derihal sagala sŭsuatu yang angkau tŭlah mŭlihat dan tŭlah dŭngar. Maka skarang pun mŭngapa angkau bŭrlambatan? bangunlah angkau, supaya angkau dibaptisakan, dan dibasohkan sagala dosa kamu, sŭrta bŭrsru akan nama Tuhan. Sŭbarmula maka apabila aku kŭmbali kaJerusalem, tŭtkala aku tŭngah mŭminta doa dalam ka’abah, maka pengsanlah aku. Maka kulihatlah akan dia, sŭrta katanya, Bangunlah, dan sŭgralah angkau kluar deri Jerusalem, kŭrna marika itu tiada akan mŭnŭrima saksimu derihal aku. Maka bŭrkatalah aku, Ya Tuhan, tŭlah dikŭtahui ulih marika itu, bahwa aku ini tŭlah mŭmpŭnjarakan, dan mŭmukol akan sagala orang dalam tiap tiap kŭnisa yang pŭrchaya akan dikau. Maka apabila tŭrtumpahlah darah shahidmu Istifanus itu, bahwa aku pun adalah halir bŭrdiri mŭmpŭrkŭnankan bunohnya itu, dŭngan mŭnunggui pakiean orang yang mŭmbunoh akan dia itu. Maka bŭrkatalah Tuhan padaku, Pŭrgilah angkau, kŭrna aku handak mŭnyurohkan dikau katŭmpat jauh skali pada orang sŭsat.

KISAH RASUL-RASUL 22:1-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Bapa-bapa dan saudara-saudara sekalian. Dengarlah peneranganku.” Setelah mereka mendengar Paulus bertutur dalam bahasa Ibrani, mereka terus senyap. Paulus berkata, “Aku ini orang Yahudi, dilahirkan di Tarsus di Tanah Kilikia, tetapi dibesarkan di kota ini, berguru kepada Gamaliel. Aku diajar hukum nenek moyang kita dengan betul, dan aku pula tekun beribadat kepada Allah, sama seperti saudara-saudara sekalian pada hari ini. Aku pernah menganiaya pengikut Jalan Tuhan malah membunuh mereka di samping mengikat dan memenjarakan mereka, baik lelaki mahupun perempuan. Imam besar dan seluruh anggota Majlis Agama boleh bersaksi akan perbuatanku itu. Aku telah mendapatkan beberapa surat daripada mereka lalu pergi ke Damsyik untuk menangkap dan mengikat para murid Yesus di sana dan membawa mereka ke Yerusalem ini untuk diseksa.” “Dalam perjalanan, ketika hampir sampai di Damsyik, sekitar tengah hari, tiba-tiba suatu cahaya yang besar dari langit bersinar mengelilingiku. Aku rebah ke tanah lalu mendengar suara berkata kepadaku, ‘Saul, Saul, mengapa engkau menganiaya Aku?’ Aku berkata, ‘Siapakah Engkau, Tuan?’ Jawab-Nya, ‘Akulah Yesus orang Nazaret yang kauaniayakan.’ Semua orang yang bersamaku turut melihat cahaya itu tetapi tidak mendengar suara yang berkata-kata denganku itu. Aku berkata, ‘Tuan, apakah yang harus kulakukan?’ Dia menjawab, ‘Bangunlah, pergi ke Damsyik. Di sana engkau akan diberitahu segala yang sudah ditetapkan untuk kaulakukan.’ Aku tidak dapat melihat langsung akibat cahaya yang terang itu. Teman seperjalananku memimpin tanganku masuk ke Damsyik. Ada seorang bernama Ananias yang kuat beribadat menurut hukum Taurat. Dia dipandang tinggi oleh orang Yahudi di Damsyik. Dia datang berdiri di sisiku lalu berkata, ‘Saudaraku Saul, kamu dapat melihat semula!’ Pada saat itu juga aku dapat melihat semula lalu memandangnya. Dia berkata, ‘Allah nenek moyang kita, telah menetapkan bahawa kamu akan mengetahui kehendak-Nya, dan melihat Yesus Yang Benar serta mendengar suara-Nya. Kamu akan menjadi saksi tentang-Nya kepada semua manusia, termasuk segala yang telah kamu lihat dan dengar itu. Sekarang mengapa kamu berlengah-lengah lagi? Bangunlah untuk dibaptiskan dan minta dihapuskan segala dosamu sambil menyeru nama-Nya.’ ” “Setelah aku pulang ke Yerusalem, sedang aku berdoa di Bait Suci, aku terlalai lalu melihat Dia dan mendengar kata-kata-Nya kepadaku, ‘Segeralah keluar dari Yerusalem, kerana mereka tidak akan menerima kesaksian daripadamu tentang-Ku.’ Aku berkata, ‘Ya Tuhan, mereka tahu bahawa aku pernah memenjarakan dan memukul orang yang mempercayai-Mu dalam semua saumaah; dan apabila darah Stefanus saksi-Mu itu ditumpahkan, aku turut berdiri berdekatan dan menyetujui pembunuhan itu, serta menjaga pakaian orang yang membunuhnya.’ Kata-Nya kepadaku, ‘Keluarlah dari sini, kerana Aku hendak mengutusmu jauh-jauh kepada orang bangsa asing.’ ”