KISAH RASUL-RASUL 16:23-35

KISAH RASUL-RASUL 16:23-35 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah mereka dicambuk dengan teruk, mereka dimasukkan ke dalam penjara. Ketua penjara disuruh menjaga mereka dengan ketat. Setelah menerima perintah itu, ketua penjara itu menahan mereka di bilik penjara yang paling dalam, dan mengenakan pasung pada kaki mereka. Kira-kira tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan menyanyikan puji-pujian kepada Allah. Orang tahanan yang lain mendengar mereka. Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat sekali, sehingga asas penjara itu bergoncang. Semua pintu penjara terbuka dan rantai yang membelenggu semua orang tahanan pun terlepas. Ketua penjara itu terjaga, dan apabila dia nampak pintu-pintu penjara terbuka, dia menyangka semua orang tahanan sudah lari. Oleh itu dia menghunus pedang untuk membunuh diri. Tetapi Paulus berseru dengan kuat sekali, “Jangan bunuh diri! Kami semua masih di sini!” Ketua penjara itu meminta suluh lalu lari ke dalam, dan dengan gementar dia menjatuhkan diri pada kaki Paulus dan Silas. Kemudian ketua penjara itu membawa mereka keluar dan berkata, “Tuan-tuan, apakah yang harus saya lakukan supaya diselamatkan?” Paulus dan Silas menjawab, “Percayalah kepada Tuhan Yesus, lalu kamu akan diselamatkan - kamu dan keluargamu!” Lalu Paulus dan Silas menerangkan firman Tuhan kepada ketua penjara itu dan kepada semua orang di rumahnya. Pada malam itu juga, ketua penjara itu membawa mereka ke suatu tempat dan membasuh luka-luka mereka. Lalu dia dan keluarganya dibaptis. Kemudian dia membawa Paulus dan Silas ke rumahnya lalu memberi mereka makanan. Ketua penjara itu dan keluarganya bersukacita kerana mereka sekarang percaya kepada Allah. Keesokan paginya, pegawai-pegawai kerajaan Roma menyuruh pegawai-pegawai polis ke penjara untuk menyampaikan perintah supaya Paulus dan Silas dibebaskan.

KISAH RASUL-RASUL 16:23-35 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka sŭtlah sukah dipalunya bŭbrapa banyak akan marika itu, maka dimasokkannya kŭdalam pŭnjara, sŭrta disurohnya kapada pŭnunggu pŭnjara jaga akan marika itu baik baik. Adapun apabila iya sudah mŭnŭrima prentah yang dŭmkian, lalu dimasokkannyalah akan marika itu kŭdalam pŭnjara yang dalam skali, dan dipasongkannya kaki marika itu dŭngan tŭgohnya. ¶ Maka adalah sŭkira kira pada tŭngah malam, Paulus dan Silas pun mŭminta doa, sŭrta mŭnyanyi puji pujian bagie Allah; maka didŭngarlah ulih sagala orang yang tŭrbŭlunggu akan marika itu. Maka sŭkunyung kunyung datanglah gŭmpa yang bŭsar, sahingga bŭrgonchanglah sagala kaki tembok pŭnjara itu, maka dŭngan skutika itu juga tŭrbukalah sagala pintu, maka bŭlunggu sagala orang itu pun tŭrluchutlah. Maka apabila pŭnunggu pŭnjara itu sŭdar deripada tidornya, sŭrta dilihatnya sagala pintu pŭnjara itu tŭrbuka, maka dihunasnya pŭdangnya handak mŭmbunoh dirinya, kŭrna pada sangkanya sagala orang yang tŭrbŭlunggu itu tŭlah larilah bŭrlŭpas dirinya. Maka bŭrsrulah Paulus dŭngan nyaring swaranya, katanya, Janganlah angkau mŭmbinasakan dirimu, kŭrna kami skalian ada disini. Maka sŭtlah sudah dipinta ulih pŭnunggu pŭnjara itu mŭmbawa suloh, maka mŭlompatlah iya masok dŭngan gŭmŭntarnya, lalu iya jatoh dikaki Paulus dan Silas. Maka dibawanyalah marika itu kluar, sŭrta katanya, Hie tuan tuan, apakah yang patut kupŭrbuat, supaya aku bŭrulih slamat? Maka jawab marika itu, Pŭrchayalah angkau akan Isa Almasih Tuhan itu, maka angkau akan bŭrulih slamat sŭrta dŭngan orang isi rumahmu pun. Maka diajarlah ulih marika itu pŭrkataan Tuhan akan dia, dan pada sagala orang yang dalam rumahnya. Maka dibawanya akan marika itu pada skutika itu juga pada malam, sŭrta dibasohkannya bŭkas luka luka kŭna palu ditubohnya itu; maka sŭbŭntar itu juga iya dibaptisakan sŭrta dŭngan orang orangnya. Maka dibawanyalah akan marika itu kŭdalam rumahnya, lalu dihantarkannya makanan kahadapannya, sŭrta bŭrsuka sukaanlah iya dŭngan sagala isi rumahnya, sambil pŭrchaya akan Allah. Shahadan sŭtlah siang hari, maka disuroh ulih hakim hakim itu akan mata matanya, katanya, Lŭpaskanlah marika itu.

KISAH RASUL-RASUL 16:23-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah disebat beberapa kali, kedua-duanya dimasukkan ke dalam penjara; ketua penjara itu diberi arahan mengawal mereka dengan ketat. Oleh itu, ketua penjara memasukkan Paulus dan Silas ke bahagian penjara yang di dalam sekali serta membelenggu kaki mereka pada pasung. Namun demikian, pada waktu tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan memuji Allah. Sekalian yang terpenjara itu mendengar doa dan pujian mereka. Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang besar, sehingga bergoncang asas penjara itu. Serta-merta semua pintu penjara terbuka dan belenggu semua orang yang terpenjara itu terlucut. Apabila ketua penjara terjaga daripada tidur dan melihat semua pintu penjara itu terbuka, dia menghunus pedang hendak membunuh diri, kerana sangkanya semua orang yang terpenjara telah lepas lari. Akan tetapi Paulus berseru dengan lantang, “Jangan apa-apakan dirimu, kami semua ada di sini.” Ketua penjara meminta pelita lalu berlari masuk serta sujud dengan gementar di hadapan Paulus dan Silas. Kemudian dia membawa mereka keluar lalu berkata, “Tuan-tuan, apakah yang patut aku lakukan supaya diselamatkan?” Mereka menjawab, “Percayalah kepada Tuhan Yesus, dan kamu akan diselamatkan, kamu dan seisi rumahmu.” Mereka pun menyampaikan firman Tuhan kepadanya dan seisi rumahnya. Pada malam itu juga ketua penjara membasuhkan luka-luka Paulus dan Silas. Dia dan seisi rumahnya dibaptiskan. Selepas itu, dia membawa Paulus dan Silas naik ke rumahnya serta menghidangkan makanan untuk mereka dengan amat sukacita kerana dia sekeluarga telah percaya kepada Allah. Setelah hari siang, pegawai-pegawai kerajaan menghantar anggota penguasa untuk menyampaikan perintah membebaskan Paulus dan Silas.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami