Kisah Para Rasul 16:23-35

Kisah Para Rasul 16:23-35 AVB

Setelah disebat beberapa kali, kedua-duanya dimasukkan ke dalam penjara; ketua penjara itu diberi arahan mengawal mereka dengan ketat. Oleh itu, ketua penjara memasukkan Paulus dan Silas ke bahagian penjara yang di dalam sekali serta membelenggu kaki mereka pada pasung. Namun demikian, pada waktu tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan memuji Allah. Sekalian yang terpenjara itu mendengar doa dan pujian mereka. Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang besar, sehingga bergoncang asas penjara itu. Serta-merta semua pintu penjara terbuka dan belenggu semua orang yang terpenjara itu terlucut. Apabila ketua penjara terjaga daripada tidur dan melihat semua pintu penjara itu terbuka, dia menghunus pedang hendak membunuh diri, kerana sangkanya semua orang yang terpenjara telah lepas lari. Akan tetapi Paulus berseru dengan lantang, “Jangan apa-apakan dirimu, kami semua ada di sini.” Ketua penjara meminta pelita lalu berlari masuk serta sujud dengan gementar di hadapan Paulus dan Silas. Kemudian dia membawa mereka keluar lalu berkata, “Tuan-tuan, apakah yang patut aku lakukan supaya diselamatkan?” Mereka menjawab, “Percayalah kepada Tuhan Yesus, dan kamu akan diselamatkan, kamu dan seisi rumahmu.” Mereka pun menyampaikan firman Tuhan kepadanya dan seisi rumahnya. Pada malam itu juga ketua penjara membasuhkan luka-luka Paulus dan Silas. Dia dan seisi rumahnya dibaptiskan. Selepas itu, dia membawa Paulus dan Silas naik ke rumahnya serta menghidangkan makanan untuk mereka dengan amat sukacita kerana dia sekeluarga telah percaya kepada Allah. Setelah hari siang, pegawai-pegawai kerajaan menghantar anggota penguasa untuk menyampaikan perintah membebaskan Paulus dan Silas.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Kisah Para Rasul 16:23-35

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami