KISAH RASUL-RASUL 16:1-15

KISAH RASUL-RASUL 16:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Paulus meneruskan perjalanan ke Derbe dan kemudian ke Listra. Seorang pengikut Yesus bernama Timotius tinggal di situ. Ibunya, orang Yahudi yang sudah percaya kepada Yesus; tetapi bapanya orang Yunani. Semua pengikut Yesus yang tinggal di Listra dan Ikonium memuji Timotius. Paulus hendak membawa Timotius dengannya. Oleh itu Paulus menyunat Timotius, kerana semua orang Yahudi di daerah itu tahu bahawa bapa Timotius orang Yunani. Di setiap kota yang dikunjungi, mereka menyampaikan peraturan yang sudah ditetapkan oleh para rasul dan pemimpin jemaah di Yerusalem. Jemaah dinasihati supaya menurut peraturan itu. Oleh itu iman jemaah semakin teguh dan setiap hari bilangan mereka semakin bertambah. Kerana Roh Allah tidak membenarkan mereka memberitakan firman Allah di wilayah Asia, mereka menjelajah daerah Frigia dan Galatia. Apabila mereka tiba di perbatasan Misia, mereka mencuba masuk ke wilayah Bitinia, tetapi Roh Yesus tidak membenarkan mereka. Oleh itu mereka terus pergi ke Troas melalui Misia. Pada malam itu dalam suatu penglihatan Paulus melihat seorang Makedonia berdiri di hadapannya dan memohon, “Marilah datang ke Makedonia dan tolonglah kami!” Setelah Paulus melihat penglihatan itu, kami bersependapat bahawa Allah telah menyuruh kami mengkhabarkan Berita Baik kepada orang di situ. Oleh itu kami segera bersiap-siap untuk berangkat ke Makedonia. Kami meninggalkan Troas lalu langsung belayar ke Samotrake, dan hari berikutnya ke Neapolis. Dari situ kami menuju ke Filipi, sebuah kota di daerah pertama negeri Makedonia. Filipi juga jajahan Empayar Roma. Di situ kami tinggal beberapa hari. Pada hari Sabat kami ke luar bandar dan pergi ke tepi sungai, kerana kami berfikir di situ terdapat tempat orang Yahudi berdoa. Kami duduk dan bercakap dengan wanita-wanita yang berkumpul di situ. Salah seorang pendengar kami bernama Lidia, pedagang kain ungu yang mahal. Dia berasal dari Tiatira dan dia mengasihi Allah. Oleh itu Tuhan membuka fikirannya sehingga dia menyambut ajaran Paulus. Lidia dan seisi rumahnya dibaptis. Setelah itu dia menjemput kami ke rumahnya. Dia berkata, “Jika saudara-saudara yakin bahawa saya benar-benar percaya kepada Tuhan, marilah menumpang di rumah saya.” Dia mendesak supaya kami pergi ke rumahnya.

KISAH RASUL-RASUL 16:1-15 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka sampielah marika itu kanŭgri Derbi dan Listra, maka bahwa sŭsungguhnya adalah disana sa’orang murid yang bŭrnama Timothius, iya itu anak sa’orang pŭrampuan Yahudi yang pŭrchaya, tŭtapi bapanya orang Grika. Iya itu mŭndapat nama yang baik deripada sagala saudara yang diListra dan Ikoniam adanya. Maka Paulus handak mŭmbawa Timothius itu bŭrsama sama dŭngan dia sŭrta disunatkan dia, ulih sŭbab sagala orang Yahudi yang ada pada tŭmpat tŭmpat itu, kŭrna sagala marika itu mŭngŭnal akan bapanya sa’orang Grika adanya. Maka sŭmŭntara marika itu mŭnjalani sagala nŭgri, maka disŭrahkannyalah kapada marika itu akan sagala hukum yang tŭlah ditŭntukan ulih sagala rasol, dan orang tua tua yang diJerusalem, sŭrta disurohnya turot akan dia itu. Arkian maka sagala sidang jŭmaah pun tŭtaplah dalam iman, makin bŭrtambah tambah banyak bilangannya pada tiap tiap hari. Adapun sŭtlah sudah marika itu mŭlalui bŭnua Frijia dan Galatia, maka ditŭgahkan ulih Roh Alkudos akan dia mŭmashorkan pŭrkataan Allah dibŭnua Asia. Shahadan apabila sampielah marika itu kabŭnua Misia, maka dichobainya pŭrgi kabŭnua Bithenia, tŭtapi tiada dipŭrkŭnankan ulih Roh akan dia. Maka dilaluinyalah bŭnua Misia, lalu sampielah iya kanŭgri Troas. Kŭlakian pada malam itu klihatanlah suatu pŭnglihatan kapada Paulus, iya itu spŭrti rupa sa’orang Makadonia bŭrdiri, sŭrta mŭminta katanya, Marilah angkau mŭnyŭbrang kaMakadonia mŭnulong kami. Adapun sŭtlah dilihat ulih Paulus akan pŭnglihatan itu, maka sŭbŭntar juga kami mŭnghandaki pŭrgi kaMakadonia, sŭbab tŭlah tŭntulah dalam fikiran kami, bahwa Tuhan tŭlah mŭmanggil kami akan mŭmashorkan Injil pada marika itu. Arkian maka kluarlah kami deri nŭgri Troas mŭnuju nŭgri Samothracia, maka kaesokkan harinya sampielah kanŭgri Neapolis. Maka deri sana sampielah kaFilipi, iya itu kŭpala nŭgri disŭblah kŭmari Makadonia, sa’buah nŭgri bahru adanya; maka diamlah kami dinŭgri itu bŭbrapa hari lamanya. Maka pada hari sabtu kluarlah kami nŭgri disŭblah sungie ditŭmpat orang biasa mŭminta doa, maka dudoklah kami sŭrta bŭrkata kata kapada sagala pŭrampuan yang tŭlah bŭrhimpon disitu. ¶ Sŭbarmula maka adalah sa’orang pŭrampuan yang bŭrnama Lydia, iya itu mŭnjual kain ungu warnanya, maka nŭgrinya Thiatira, iya itu sa’orang bŭrbakti kapada Allah; maka adalah iya mŭnŭngar pŭrkataan kami, maka dibukakan Tuhan akan hatinya, supaya iya ingat akan pŭrkataan yang dikatakan ulih Paulus. Maka sŭtlah sudah iya dibaptisakan sŭrta dŭngan orang isi rumahnya pun, maka mŭmintalah iya kapada kami, katanya, Jikalau kiranya kamu sangkakan bahwa aku ini sa’orang yang bŭriman akan Tuhan, marilah kamu karumahku, tinggallah disana. Maka diajaknyalah akan kami.

KISAH RASUL-RASUL 16:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Paulus meneruskan perjalanan ke Derbe dan dari situ ke Listra. Di situ ada seorang murid Yesus bernama Timotius, ibunya orang Yahudi yang percaya kepada Yesus tetapi bapanya orang Yunani. Timotius dipandang tinggi oleh para murid Yesus di Listra dan di Ikonium. Paulus hendak membawa Timotius bersamanya. Dia pun menyunatkan Timotius kerana semua orang Yahudi di daerah itu tahu bapanya orang Yunani. Di setiap kota yang dikunjungi, mereka menyampaikan peraturan yang telah ditetapkan oleh para rasul dan ketua-ketua di Yerusalem kepada jemaah di situ untuk dipatuhi. Dengan demikian setiap jemaah semakin teguh imannya dan setiap hari bilangan mereka meningkat. Mereka menjelajahi pula Frigia dan Galatia, kerana Roh Kudus melarang mereka menyampaikan firman di Asia. Setelah sampai di sempadan Misia, mereka mencuba masuk ke Bitinia, tetapi dilarang oleh Roh Yesus. Oleh itu, mereka terus ke Troas melalui Misia. Pada malam itu Paulus mendapat suatu penglihatan: seorang Makedonia berdiri di hadapannya sambil memohon, “Marilah ke Makedonia menolong kami.” Setelah Paulus melihat penglihatan itu, kami pun hendak segera bertolak ke Makedonia, kerana pada hemat kami Allah memerintahkan kami menyampaikan Injil kepada orang di situ. Oleh yang demikian, kami belayar dari Troas terus ke Samotrake dan esoknya ke Neapolis; dan dari situ ke Filipi, sebuah kota di Makedonia, yang termasuk jajahan kerajaan Roma; kami tinggal beberapa hari di situ. Pada hari Sabat kami pergi ke luar pintu gerbang kota ke tepi sungai, kerana di situ kami jangka ada tempat orang berdoa. Kami duduk bercakap dengan perempuan yang berhimpun di situ. Salah seorang yang mendengar kami bercakap ialah seorang perempuan bernama Lidia, yang berjual kain ungu dan berasal dari Tiatira. Dia penyembah Allah. Tuhan membukakan hatinya lalu dia menerima segala yang dikatakan oleh Paulus. Setelah dia dan seisi rumahnya dibaptiskan, dia berkata, “Jika pada hemat kamu, aku ini benar-benar percaya akan Tuhan, marilah tinggal di rumahku.” Demikian dia bersungguh-sungguh mengajak kami ke rumahnya.