KISAH RASUL-RASUL 15:22-41
KISAH RASUL-RASUL 15:22-41 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian para rasul dan pemimpin jemaah bersama-sama jemaah itu membuat keputusan untuk memilih beberapa orang di kalangan mereka dan mengutus mereka ke Antiokhia bersama-sama Paulus dan Barnabas. Lalu mereka memilih Silas dan Yudas yang juga disebut Barsabas. Kedua-dua orang itu sangat dihormati oleh pengikut Yesus di Yerusalem. Sepucuk surat yang berbunyi sebagai berikut dikirim melalui mereka, “Kepada semua saudara yang berasal daripada bangsa bukan Yahudi, yang tinggal di Antiokhia, Siria, dan Kilikia. Salam daripada kami, rasul-rasul, pemimpin-pemimpin jemaah, dan jemaah di sini. Kami mendengar bahawa beberapa orang daripada kalangan kami sudah menyusahkan dan membingungkan saudara semua dengan ajaran mereka. Padahal kami tidak menyuruh mereka melakukan hal itu. Oleh itu kami bermesyuarat dan bersetuju memilih beberapa orang lalu mengutus mereka kepada saudara semua. Mereka akan pergi dengan Barnabas dan Paulus. Kedua-dua orang saudara yang kami kasihi itu sudah mempertaruhkan nyawa kerana mengabdikan diri kepada Tuhan kita Yesus Kristus. Kami mengutus Yudas dan Silas, lalu mereka akan memberitahukan hal yang sama, seperti yang kami tuliskan dalam surat ini. Roh Allah dan kami bersetuju bahawa kami tidak perlu membebani saudara semua dengan kewajipan lain, kecuali yang mustahak sahaja: Janganlah makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala; jangan makan darah; jangan makan daging binatang yang mati dicekik, dan jauhkan diri daripada perbuatan cabul. Jika saudara semua tidak melakukan perkara-perkara itu, saudara-saudara berbuat yang betul. Sekian sahaja dan salam bahagia.” Mereka yang diutus itu berangkat ke Antiokhia. Di situ mereka mengumpulkan semua pengikut Yesus lalu menyampaikan surat itu. Apabila jemaah membaca surat itu, mereka bersukacita kerana surat itu menggalakkan mereka. Yudas dan Silas, yang kedua-duanya nabi, bercakap lama sekali dengan mereka untuk memberikan semangat dan keberanian. Setelah Yudas dan Silas tinggal di situ beberapa lama, jemaah di Antiokhia menyuruh mereka kembali dengan sejahtera kepada orang yang mengutus mereka. [ Tetapi Silas mengambil keputusan untuk tetap tinggal di situ.] Paulus dan Barnabas pun tinggal di Antiokhia beberapa lama. Di situ mereka mengajar dan menyampaikan firman Tuhan bersama-sama banyak orang lain. Beberapa lama kemudian Paulus berkata kepada Barnabas, “Marilah kita lawat semula saudara-saudara yang percaya kepada Yesus di semua kota yang sudah kita sampaikan firman Tuhan. Marilah kita lihat sama ada mereka tetap percaya kepada Tuhan.” Barnabas hendak membawa Yohanes Markus, tetapi Paulus tidak bersetuju untuk membawanya, kerana Markus meninggalkan mereka di Pamfilia, dan tidak menyertai mereka menyelesaikan tugas. Oleh itu Paulus dan Barnabas bertengkar dengan sengit sehingga akhirnya mereka berpisah. Barnabas membawa Markus bersama-samanya lalu belayar ke Siprus. Paulus memilih Silas, lalu berangkat dengan dia setelah jemaah di Antiokhia menyerahkan mereka kepada rahmat Tuhan. Mereka menjelajahi daerah Siria dan Kilikia, serta menguatkan jemaah di situ.
KISAH RASUL-RASUL 15:22-41 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka tŭtkala itu dipŭrkŭnankanlah ulih sagala rasol, dan sagala orang tua tua, sŭrta dŭngan sidang jŭmaah, lalu disurohkannya bŭbrapa orang yang tŭrpileh deri antara mufakat itu pŭrgi kanŭgri Antiok, sŭrta dŭngan Paulus dan Barnabas; iya itu Yudas yang bŭrgŭlar Bersabas, dan Silas: adapun kaduanya itulah orang kŭpala diantara sagala saudara itu. Maka dikirimkannyalah pula pada tangan marika itu sa’puchok surat, dŭmkian bunyinya: Sŭlam doa sagala rasol, dan orang tua tua, dan sagala saudara, iya itu datang kapada sagala saudara yang ada diantara sagala orang sŭsat dinŭgri Antiok, dan dibŭnua Syria dan Celisia. Bahwa kami tŭlah mŭnŭngar, adalah bŭbrapa orang tŭrbit deri antara kami yang tŭlah mŭngachau kamu dŭngan bŭrbagie bagie pŭrkataan yang mŭmbimbangkan hatimu, katanya, Bahwa saharusnyalah kamu disunatkan, dan mŭnurot tauret Musa, maka yang dŭmkian itu bukannya prentah kami padanya. Maka tŭlah dipŭrkŭnankan ulih kami yang ada bŭrhimpon dŭngan satu hati, mŭnyurohkan bŭbrapa orang ini yang tŭrpileh datang kapada kamu mŭngiringkan kadua kŭkasih kami, iya itu Barnabas dan Paulus. Maka iyalah orang orang tŭlah mŭnyŭrahkan nyawanya kurna nama Tuhan kami Isa Almasih. Sŭbab itu maka adalah kami mŭnyurokan pula Yudas dan Silas, maka marika itu pun akan mŭnchŭrtrakan padamu dŭngan mulotnya akan sagala pŭrkara ini. Kŭrna tŭlah dipŭrkŭnankan ulih Roh Alkudos, dan kami, bahwa jangan kami mŭlŭtakkan ka’atas kamu barang tanggongan yang lebih bŭrat deripada pŭrkara pŭrkara yang bŭrguna ini; Iya itu mŭnjauhkan dirimu deripada mŭmakan makanan yang dipŭrsŭmbahkan kapada bŭrhala, dan deripada darah, dan deripada barang yang mati modar, dan deripada zinah: maka jikalau kamu mŭnjauhkan dirimu deripada pŭrkara yang dŭmkian itu, sabaslah kamu. Sŭjahtralah kiranya. Arkian maka marika itu pun bŭrmohonlah, maka sampielah iya kanŭgri Antiok: sŭtlah sudah dihimponkan ulih marika itu orang banyak, lalu diunjokkannyalah surat itu. Adapun sŭtlah dibacha ulih marika itu akan dia, maka suka chitalah iya deri sŭbab pŭngajaran itu. Maka Yudas dan Silas itu pun nabi juga, maka dibrinyalah nasihat pada sagala saudara itu dŭngan bŭbrapa pŭrkataan, sŭrta ditŭtapkannyalah marika itu. Maka sŭtlah sudah marika itu diam disana bŭbrapa lamanya, lalu sagala saudara pun mŭlŭpaskan marika itu pŭrgi dŭngan slamatnya pada sagala rasol. Akan tŭtapi sukalah juga Silas diam disana. Maka Paulus dan Barnabas pun diamlah dinŭgri Antiok, sambil mŭngajar dan mŭmashorkan pŭrkataan Tuhan sŭrta dŭngan bŭbrapa orang lain lain. ¶ Maka kumdian deri pada bŭbrapa harinya, maka bŭrkatalah Paulus kapada Barnabas, Baiklah kita pulang mŭlihat sagala saudara kita pada tiap tiap nŭgri ditŭmpat kita tŭlah mŭmashorkan pŭrkataan Tuhan, bagimanakah garangan hal marika itu. Maka bŭrbicharalah Barnabas handak mŭmbawa Yahya bŭrsama sama dŭngan dia yang bŭrgŭlar Markus. Maka pada fikiran Paulus, tiada baik mŭmbawa dia itu sŭrtanya, sŭbab sudah iya mŭninggalkan marika itu diPamfilia, tiadalah iya pŭrgi bŭrsama sama dŭngan marika itu akan mŭngŭrjakan pŭkŭrjaan itu. Arkian maka jadilah suatu pŭrbantahan bŭsar diantara marika itu, sahingga bŭrchŭrielah sa’orang dŭngan sa’orang, maka dibawalah Barnabas akan Markus sŭrtanya, lalu bŭrlayarlah iya kaKiprus. Tŭtapi Paulus mŭngambil Silas, sŭbab sudah disŭrahkan ulih sagala saudara akan dia kapada Allah, lalu pŭrgilah marika itu. Shahadan maka dilaluinyalah sagala bŭnua Syria dan Celisia itu, sambil mŭnŭtapkan sagala sidang jŭmaah.
KISAH RASUL-RASUL 15:22-41 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Selepas itu, para rasul dan tua-tua serta seluruh jemaah bersetuju memilih beberapa orang di antara mereka untuk ke Antiokhia bersama Paulus dan Barnabas. Orang yang dipilih itu ialah Yudas yang bergelar Barsabas, dan juga Silas, yang mengetuai saudara-saudara itu. Mereka diamanahkan membawa sepucuk surat yang berbunyi: “Salam daripada para rasul, tua-tua jemaah dan saudara-saudaramu kepada saudara-saudara bangsa asing yang tinggal di Antiokhia, Siria dan Kilikia. Kami telah mendengar khabar bahawa ada beberapa orang daripada bangsa kami telah mengganggu saudara-saudara dengan kata-kata yang bukan daripada kami. Oleh itu, kami bermuafakat hendak memilih orang untuk pergi bertemu dengan saudara-saudara bersama Barnabas dan Paulus yang kami kasihi, iaitu orang yang telah mempertaruhkan nyawa kerana nama Tuhan kita Yesus Kristus. Kami telah memilih Yudas dan Silas untuk pergi menyampaikan kepada saudara-saudara pesan daripada Roh Kudus dan daripada kami: iaitu janganlah diletakkan ke atas saudara-saudara beban yang lebih berat daripada yang perlu. Cuma, jauhkanlah diri daripada makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, daripada daging binatang yang mati dicekik, daripada darah dan daripada perbuatan cabul. Jika saudara-saudara memeliharakan diri daripada segala ini, saudara-saudara melakukan hal yang betul. Sekian, selamat sejahtera.” Mereka yang diutus itu bertolak ke Antiokhia. Di sana mereka menghimpunkan jemaah dan menyampaikan surat. Apabila jemaah membaca surat itu, mereka bersukacita kerana surat itu memberi perangsang kepada mereka. Yudas dan Silas itu kedua-duanya nabi. Mereka menasihati dan menetapkan hati saudara-saudara seiman di situ. Setelah Yudas dan Silas tinggal di situ beberapa waktu, jemaah melepaskan mereka untuk pulang dengan kesejahteraan kepada orang yang mengutus mereka. [Akan tetapi, Silas memutuskan untuk tetap tinggal di situ.] Paulus dan Barnabas tinggal di Antiokhia beberapa lama sambil mengajar dan menyampaikan firman Tuhan bersama ramai orang lain. Kemudian, Paulus berkata kepada Barnabas, “Sekarang baiklah kita melawat semula saudara-saudara yang percaya kepada Yesus di semua kota yang telah kita sampaikan firman Tuhan, untuk melihat bagaimana hal mereka.” Barnabas hendak membawa Yohanes yang juga bergelar Markus tetapi Paulus tidak bersetuju kerana Markus telah meninggalkan mereka di Pamfilia dan tidak ikut serta menjalankan tugas. Oleh itu, timbul perselisihan sengit dan mereka berpisah: Barnabas membawa Markus belayar ke Siprus manakala Paulus memilih Silas sebagai teman seperjalanannya. Setelah jemaah menyerahkan mereka kepada kasih kurnia Tuhan, mereka pun berangkat. Mereka menjelajahi Siria dan Kilikia sambil menetapkan hati jemaah di situ.