Kisah Para Rasul 15:22-41

Kisah Para Rasul 15:22-41 AVB

Selepas itu, para rasul dan tua-tua serta seluruh jemaah bersetuju memilih beberapa orang di antara mereka untuk ke Antiokhia bersama Paulus dan Barnabas. Orang yang dipilih itu ialah Yudas yang bergelar Barsabas, dan juga Silas, yang mengetuai saudara-saudara itu. Mereka diamanahkan membawa sepucuk surat yang berbunyi: “Salam daripada para rasul, tua-tua jemaah dan saudara-saudaramu kepada saudara-saudara bangsa asing yang tinggal di Antiokhia, Siria dan Kilikia. Kami telah mendengar khabar bahawa ada beberapa orang daripada bangsa kami telah mengganggu saudara-saudara dengan kata-kata yang bukan daripada kami. Oleh itu, kami bermuafakat hendak memilih orang untuk pergi bertemu dengan saudara-saudara bersama Barnabas dan Paulus yang kami kasihi, iaitu orang yang telah mempertaruhkan nyawa kerana nama Tuhan kita Yesus Kristus. Kami telah memilih Yudas dan Silas untuk pergi menyampaikan kepada saudara-saudara pesan daripada Roh Kudus dan daripada kami: iaitu janganlah diletakkan ke atas saudara-saudara beban yang lebih berat daripada yang perlu. Cuma, jauhkanlah diri daripada makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, daripada daging binatang yang mati dicekik, daripada darah dan daripada perbuatan cabul. Jika saudara-saudara memeliharakan diri daripada segala ini, saudara-saudara melakukan hal yang betul. Sekian, selamat sejahtera.” Mereka yang diutus itu bertolak ke Antiokhia. Di sana mereka menghimpunkan jemaah dan menyampaikan surat. Apabila jemaah membaca surat itu, mereka bersukacita kerana surat itu memberi perangsang kepada mereka. Yudas dan Silas itu kedua-duanya nabi. Mereka menasihati dan menetapkan hati saudara-saudara seiman di situ. Setelah Yudas dan Silas tinggal di situ beberapa waktu, jemaah melepaskan mereka untuk pulang dengan kesejahteraan kepada orang yang mengutus mereka. [Akan tetapi, Silas memutuskan untuk tetap tinggal di situ.] Paulus dan Barnabas tinggal di Antiokhia beberapa lama sambil mengajar dan menyampaikan firman Tuhan bersama ramai orang lain. Kemudian, Paulus berkata kepada Barnabas, “Sekarang baiklah kita melawat semula saudara-saudara yang percaya kepada Yesus di semua kota yang telah kita sampaikan firman Tuhan, untuk melihat bagaimana hal mereka.” Barnabas hendak membawa Yohanes yang juga bergelar Markus tetapi Paulus tidak bersetuju kerana Markus telah meninggalkan mereka di Pamfilia dan tidak ikut serta menjalankan tugas. Oleh itu, timbul perselisihan sengit dan mereka berpisah: Barnabas membawa Markus belayar ke Siprus manakala Paulus memilih Silas sebagai teman seperjalanannya. Setelah jemaah menyerahkan mereka kepada kasih kurnia Tuhan, mereka pun berangkat. Mereka menjelajahi Siria dan Kilikia sambil menetapkan hati jemaah di situ.