KISAH RASUL-RASUL 15:1-25

KISAH RASUL-RASUL 15:1-25 Alkitab Berita Baik (BM)

Beberapa orang dari Yudea datang ke Antiokhia dan mula mengajar pengikut Yesus di situ, “Kamu tidak dapat diselamatkan jika kamu tidak disunat menurut Taurat Musa.” Tetapi Paulus dan Barnabas menentang keras ajaran mereka itu. Akhirnya Paulus dan Barnabas dipilih supaya pergi ke Yerusalem dengan beberapa orang lain dari Antiokhia untuk membincangkan masalah itu dengan rasul-rasul dan para pemimpin jemaah di situ. Lalu jemaah di Antiokhia menghantar mereka sampai ke luar bandar. Sementara mereka melalui daerah Fenisia dan Samaria, mereka memberitahu bahawa orang bukan Yahudi sudah percaya kepada Allah. Berita ini menggembirakan semua pengikut Yesus di situ. Apabila Paulus dan Barnabas tiba di Yerusalem, mereka disambut oleh jemaah, para rasul, dan pemimpin jemaah. Lalu Paulus dan Barnabas menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh Allah melalui mereka. Tetapi beberapa orang Farisi yang percaya kepada Yesus, berdiri dan berkata, “Orang bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus harus disunat dan diwajibkan menurut Taurat Musa.” Lalu para rasul dan pemimpin jemaah berkumpul untuk membincangkan masalah itu. Setelah berbincang lama sekali, akhirnya Petrus berdiri dan berkata, “Saudara-saudara tentu tahu bahawa beberapa waktu yang lalu Allah memilih saya daripada kalangan saudara untuk mengkhabarkan Berita Baik itu kepada orang bukan Yahudi, supaya mereka pun boleh mendengar dan percaya. Allah yang mengenal hati manusia sudah menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada orang bukan Yahudi dengan mengurniakan Roh Allah kepada mereka seperti yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita. Allah tidak membeza-bezakan orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi. Dia mengampunkan dosa mereka kerana mereka percaya. Oleh itu, mengapakah saudara-saudara mahu mencubai Allah dengan membebani pengikut-pengikut ini dengan kewajipan berat yang baik nenek moyang kita mahupun kita sendiri tidak sanggup melakukannya? Janganlah berbuat demikian! Kita percaya dan diselamatkan kerana rahmat Tuhan Yesus; demikianlah Allah menyelamatkan mereka juga.” Semua orang yang berkumpul di situ diam, sementara mendengarkan laporan Barnabas dan Paulus tentang segala mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Allah di kalangan orang bukan Yahudi melalui mereka. Setelah mereka selesai memberikan laporan, Yakobus berkata, “Saudara-saudara, dengarlah! Simon baru sahaja menerangkan bagaimana Allah pada mulanya menunjukkan kasih-Nya kepada orang bukan Yahudi dengan memilih suatu kelompok di kalangan mereka untuk menjadi umat-Nya. Hal ini sesuai dengan nubuat nabi-nabi, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Setelah itu Aku akan kembali, firman Tuhan, Aku akan membina semula rumah Daud yang sudah roboh, dan memperbaiki runtuhannya. Aku akan menegakkannya semula, supaya semua orang yang lain akan mencari Aku, semua bangsa lain yang bukan Yahudi sudah Aku panggil untuk menjadi umat-Ku. Demikianlah firman Tuhan yang telah menyatakan hal ini sejak dahulu.’ ” Yakobus melanjutkan kata-katanya, “Menurut pendapat saya, kita tidak boleh menyusahkan orang bukan Yahudi yang percaya kepada Allah. Sebaliknya, kita harus menulis sepucuk surat untuk menasihati mereka supaya tidak makan makanan yang najis di sisi agama kerana sudah dipersembahkan kepada berhala, atau makan daging binatang yang mati dicekik, atau makan darah. Mereka harus menjauhkan diri juga daripada perbuatan cabul. Hal itu demikian, kerana sejak dahulu Taurat Musa telah dibacakan di rumah-rumah ibadat pada setiap hari Sabat, dan diberitakan di setiap kota.” Kemudian para rasul dan pemimpin jemaah bersama-sama jemaah itu membuat keputusan untuk memilih beberapa orang di kalangan mereka dan mengutus mereka ke Antiokhia bersama-sama Paulus dan Barnabas. Lalu mereka memilih Silas dan Yudas yang juga disebut Barsabas. Kedua-dua orang itu sangat dihormati oleh pengikut Yesus di Yerusalem. Sepucuk surat yang berbunyi sebagai berikut dikirim melalui mereka, “Kepada semua saudara yang berasal daripada bangsa bukan Yahudi, yang tinggal di Antiokhia, Siria, dan Kilikia. Salam daripada kami, rasul-rasul, pemimpin-pemimpin jemaah, dan jemaah di sini. Kami mendengar bahawa beberapa orang daripada kalangan kami sudah menyusahkan dan membingungkan saudara semua dengan ajaran mereka. Padahal kami tidak menyuruh mereka melakukan hal itu. Oleh itu kami bermesyuarat dan bersetuju memilih beberapa orang lalu mengutus mereka kepada saudara semua. Mereka akan pergi dengan Barnabas dan Paulus.

KISAH RASUL-RASUL 15:1-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka adalah bŭbrapa orang datang deri tanah Yahuda, sŭrta mŭngajar sagala saudara itu, katanya, Bahwa jikalau tiada kamu disunatkan mŭnurot adat Musa, maka tiadalah kamu akan bŭrulih slamat. Maka jadilah suatu pŭrsŭlisihan dan pŭrbantahan bukannya kŭchil diantara Paulus dan Barnabas dŭngan marika itu. Maka ditŭntukan mŭnyurohkan Paulus dan Barnabas, dan bŭbrapa oraug lain diantara marika itu pŭrgi kaJerusalem kapada sagala rasol dan orang tua tua, akan bŭrtanya sual ini. Adapun sŭtlah sudah marika itu dihantarkan ulih sidang jŭmaah, maka bŭrjalanlah marika itu mŭlalui nŭgri Feniska dan Samaria, mŭnyatakan derihal orang sŭsat tŭlah bŭrtaubat, sahingga mŭndatangkan kŭsukaan bŭsar kapada sagala saudara. Maka apabila sampielah marika itu kaJerusalem, disambutlah ulih sidang jŭmaah, dan sagala rasol, dan orang tua tua akan marika itu; maka dichŭrtrakannyalah sagala pŭrkara yang tŭlah diadakan Allah tŭrsŭbab ulih marika itu. Hata maka bŭrbangkitlah bŭbrapa orang orang deripada mazhab orang Farisia yang tŭlah pŭrchaya, katanya, Bahwa saharusnyalah marika itu disunatkan, sŭrta disurohkan dia mŭnurot tauret Musa. ¶ Arkian maka bŭrhimponlah sagala rasol dan orang tua tua handak mŭmbicharakan derihal ini. Maka tŭtkala jadi pŭrbantahan bŭsar, maka bŭrdirilah Petros, sŭrta bŭrkata pada marika itu, Hie tuan tuan dan saudara saudara, kamu ini tŭlah mŭngŭtahui bŭtapa Allah tŭlah mŭmileh akan daku diantara kamu bŭlom brapa lamanya, supaya orang sŭsat dapat mŭnŭngar pŭrkataan Injil deri pada mulotku, sŭrta pŭrchaya akan dia. Bahwa Allah yang tŭlah mŭngŭtahui akan sagala hati, tŭlah mŭmbri saksi pada marika itu, sambil mŭngurniakan padanya Roh Alkudos spŭrti yang dikurniakannya pada kami. Tiada juga dibethakannya kami deripada marika itu, maka iya tŭlah mŭnyuchikan hati marika itu dŭngan iman. Skarang pun mŭngapakah kamu mŭnchobai Allah dŭngan mŭngŭnakan kok ka’atas tŭngkok murid murid itu, yang tiada dapat tŭrtanggong ulih nenek moyang kami atau ulih kami pun? Tŭtapi kami pŭrchaya, bahwa dŭngan nikmat Tuhan Isa Almasih kami akan bŭrulih slamat spŭrti marika itu juga. Tŭtkala itu diamlah sagala orang yang bŭrhimpon itu akan mŭnŭngarkan Barnabas dan Paulus mŭnchŭrtrakan deri hal bŭbrapa tandah dan ajaib yang tŭlah diadakan Allah tŭrsŭbab ulih marika itu diantara orang sŭsat. ¶ Maka kumdian deripada marika itu sudah diam dirinya, maka mŭnyahutlah Yakob, katanya, Hie tuan tuan dan saudara saudara, dŭngarlah ulihmu akan pŭrkataanku. Bahwa Simon tŭlah mŭnyatakan, bagimana pada mulanya ditilek ulih Allah kŭrna namanya, akan mŭngambil suatu kaum deri antara orang sŭsat. Adapun akan hal ini stujulah dŭngan pŭrkataan sagala nabi spŭrti yang tŭrsurat itu: Katanya, Kumdian deri pada ini aku akan bŭrbalik, sŭrta mŭndirikan pula ka’abah Daud yang tŭlah roboh itu, dan mŭmbangunkan sagala yang tŭlah rosak itu, sŭrta kubŭtolkan pula akan dia. Supaya orang yang tinggal tinggal itu kŭlak mŭnchari akan Tuhan, dan lagi sagala orang sŭsat pun yang mŭngambil namaku, kata Tuhan yang mŭngadakan sagala pŭrkara ini. Bahwa Allah tŭlah mŭngtahui akan sagala pŭrbuatannya deripada pŭrmulaan dunia. Sŭbab itu pada bicharaku, baik juga jangan kita mŭnyusahi orang yang tŭlah bŭrbalik kapada Allah deri antara orang sŭsat itu. Tŭtapi handaklah kami bŭrkirim surat kapada marika itu, supaya dijauhkannya dirinya deripada sagala kŭchŭmaran pŭrsŭmbahan bŭrhala, dan deripada bŭrbuat zinah, dan deripada pŭrkara yang mati modar, dan deripada darah. Kŭrna deripada zaman dahulu kala pun tauret Musa ada juga dimashorkan orang pada tiap tiap nŭgri, sŭrta dibachakannya akan dia dalam sagala kŭnisa pada tiap tiap hari sabtu. Maka tŭtkala itu dipŭrkŭnankanlah ulih sagala rasol, dan sagala orang tua tua, sŭrta dŭngan sidang jŭmaah, lalu disurohkannya bŭbrapa orang yang tŭrpileh deri antara mufakat itu pŭrgi kanŭgri Antiok, sŭrta dŭngan Paulus dan Barnabas; iya itu Yudas yang bŭrgŭlar Bersabas, dan Silas: adapun kaduanya itulah orang kŭpala diantara sagala saudara itu. Maka dikirimkannyalah pula pada tangan marika itu sa’puchok surat, dŭmkian bunyinya: Sŭlam doa sagala rasol, dan orang tua tua, dan sagala saudara, iya itu datang kapada sagala saudara yang ada diantara sagala orang sŭsat dinŭgri Antiok, dan dibŭnua Syria dan Celisia. Bahwa kami tŭlah mŭnŭngar, adalah bŭbrapa orang tŭrbit deri antara kami yang tŭlah mŭngachau kamu dŭngan bŭrbagie bagie pŭrkataan yang mŭmbimbangkan hatimu, katanya, Bahwa saharusnyalah kamu disunatkan, dan mŭnurot tauret Musa, maka yang dŭmkian itu bukannya prentah kami padanya. Maka tŭlah dipŭrkŭnankan ulih kami yang ada bŭrhimpon dŭngan satu hati, mŭnyurohkan bŭbrapa orang ini yang tŭrpileh datang kapada kamu mŭngiringkan kadua kŭkasih kami, iya itu Barnabas dan Paulus.

KISAH RASUL-RASUL 15:1-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian, beberapa orang datang dari Yudea dan mengajar murid Yesus di Antiokhia, “Jika kamu tidak disunatkan menurut adat Musa, kamu tidak akan mendapat penyelamatan.” Ini menyebabkan Paulus dan Barnabas banyak berbahas dan berbantah dengan mereka itu. Akhirnya diputuskan bahawa Paulus dan Barnabas serta beberapa orang lain pergi ke Yerusalem berjumpa dengan para rasul dan tua-tua untuk bertanyakan persoalan tersebut. Jemaah menghantar mereka sampai ke luar kota. Semasa mereka meneruskan perjalanan melalui Fenisia dan Samaria, mereka memberitahu bagaimana orang bangsa asing telah percaya kepada Yesus. Murid-murid Yesus di situ amat sukacita mendengarnya. Setelah sampai di Yerusalem, jemaah dan para rasul serta tua-tua menyambut mereka. Mereka pun menceritakan segala perkara yang telah dilakukan Allah melalui mereka. Akan tetapi, beberapa orang daripada mazhab Farisi yang telah mempercayai Yesus bangkit lalu berkata, “Orang bangsa asing itu haruslah disunatkan dan wajib menurut Taurat Musa.” Para rasul dan tua-tua berkumpul untuk menyelidik serta membincangkan perkara itu. Setelah perkara itu banyak dibincangkan, Petrus berdiri lalu berkata, “Saudara-saudara semuanya tahu bahawa Allah telah memilihku sejak dahulukala daripada kalangan kita semua untuk menyampaikan firman-Nya tentang perkhabaran Injil kepada bangsa asing, lalu mereka percaya. Allah yang mengetahui hati manusia telah bersaksi akan mereka itu dengan memberi mereka Roh Kudus sebagaimana diberi-Nya kepada kita. Allah tidak membezakan mereka dengan kita sedikit pun. Dia menyucikan hati mereka kerana iman mereka. Sekarang ini mengapa saudara-saudara menduga Allah dengan meletakkan pada leher murid-murid suatu beban yang tidak dapat ditanggung oleh nenek moyang kita, malah oleh kita ini juga? Kami percaya hanya dengan kasih kurnia Tuhan Yesus dapat kita berharap untuk diselamatkan, samalah seperti orang bangsa asing itu.” Orang ramai pun diam lalu mendengar Barnabas dan Paulus menceritakan segala tanda dan mukjizat yang dilakukan Allah dalam kalangan bangsa asing melalui mereka berdua. Setelah mereka habis bercerita, Yakobus pula berkata, “Saudara-saudara, dengarlah. Simon telah menceritakan bagaimana Allah pada mulanya menunjukkan kasih-Nya kepada orang bangsa asing dan memilih daripada kalangan mereka suatu kaum untuk menjadi umat bagi nama-Nya. Hal ini selaras dengan nubuat nabi-nabi yang tersurat: ‘Setelah itu, Aku akan kembali dan membina semula khemah Daud yang roboh; dan segala keruntuhannya akan Kubangunkan, lalu Kutegakkan semula, supaya semua bangsa yang lain akan mencari Tuhan, bangsa asing yang Kupanggil menjadi umat-Ku.’ Demikianlah firman Tuhan yang telah melakukan semua ini dan yang telah menyatakannya sejak dahulukala. Oleh itu, pada fikiranku janganlah kita menyusahkan orang bangsa asing yang telah mempercayai Allah; tetapi hendaklah kita berkirim surat kepada mereka dan menasihati mereka supaya menjauhkan diri daripada makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, daripada perbuatan cabul, daripada daging binatang yang mati dicekik dan daripada darah. Sejak dahulukala di setiap negeri ada orang yang menyebarkan berita tentang Musa dan membaca Tauratnya di saumaah pada hari Sabat.” Selepas itu, para rasul dan tua-tua serta seluruh jemaah bersetuju memilih beberapa orang di antara mereka untuk ke Antiokhia bersama Paulus dan Barnabas. Orang yang dipilih itu ialah Yudas yang bergelar Barsabas, dan juga Silas, yang mengetuai saudara-saudara itu. Mereka diamanahkan membawa sepucuk surat yang berbunyi: “Salam daripada para rasul, tua-tua jemaah dan saudara-saudaramu kepada saudara-saudara bangsa asing yang tinggal di Antiokhia, Siria dan Kilikia. Kami telah mendengar khabar bahawa ada beberapa orang daripada bangsa kami telah mengganggu saudara-saudara dengan kata-kata yang bukan daripada kami. Oleh itu, kami bermuafakat hendak memilih orang untuk pergi bertemu dengan saudara-saudara bersama Barnabas dan Paulus yang kami kasihi