Kisah Para Rasul 15:1-25

Kisah Para Rasul 15:1-25 AVB

Kemudian, beberapa orang datang dari Yudea dan mengajar murid Yesus di Antiokhia, “Jika kamu tidak disunatkan menurut adat Musa, kamu tidak akan mendapat penyelamatan.” Ini menyebabkan Paulus dan Barnabas banyak berbahas dan berbantah dengan mereka itu. Akhirnya diputuskan bahawa Paulus dan Barnabas serta beberapa orang lain pergi ke Yerusalem berjumpa dengan para rasul dan tua-tua untuk bertanyakan persoalan tersebut. Jemaah menghantar mereka sampai ke luar kota. Semasa mereka meneruskan perjalanan melalui Fenisia dan Samaria, mereka memberitahu bagaimana orang bangsa asing telah percaya kepada Yesus. Murid-murid Yesus di situ amat sukacita mendengarnya. Setelah sampai di Yerusalem, jemaah dan para rasul serta tua-tua menyambut mereka. Mereka pun menceritakan segala perkara yang telah dilakukan Allah melalui mereka. Akan tetapi, beberapa orang daripada mazhab Farisi yang telah mempercayai Yesus bangkit lalu berkata, “Orang bangsa asing itu haruslah disunatkan dan wajib menurut Taurat Musa.” Para rasul dan tua-tua berkumpul untuk menyelidik serta membincangkan perkara itu. Setelah perkara itu banyak dibincangkan, Petrus berdiri lalu berkata, “Saudara-saudara semuanya tahu bahawa Allah telah memilihku sejak dahulukala daripada kalangan kita semua untuk menyampaikan firman-Nya tentang perkhabaran Injil kepada bangsa asing, lalu mereka percaya. Allah yang mengetahui hati manusia telah bersaksi akan mereka itu dengan memberi mereka Roh Kudus sebagaimana diberi-Nya kepada kita. Allah tidak membezakan mereka dengan kita sedikit pun. Dia menyucikan hati mereka kerana iman mereka. Sekarang ini mengapa saudara-saudara menduga Allah dengan meletakkan pada leher murid-murid suatu beban yang tidak dapat ditanggung oleh nenek moyang kita, malah oleh kita ini juga? Kami percaya hanya dengan kasih kurnia Tuhan Yesus dapat kita berharap untuk diselamatkan, samalah seperti orang bangsa asing itu.” Orang ramai pun diam lalu mendengar Barnabas dan Paulus menceritakan segala tanda dan mukjizat yang dilakukan Allah dalam kalangan bangsa asing melalui mereka berdua. Setelah mereka habis bercerita, Yakobus pula berkata, “Saudara-saudara, dengarlah. Simon telah menceritakan bagaimana Allah pada mulanya menunjukkan kasih-Nya kepada orang bangsa asing dan memilih daripada kalangan mereka suatu kaum untuk menjadi umat bagi nama-Nya. Hal ini selaras dengan nubuat nabi-nabi yang tersurat: ‘Setelah itu, Aku akan kembali dan membina semula khemah Daud yang roboh; dan segala keruntuhannya akan Kubangunkan, lalu Kutegakkan semula, supaya semua bangsa yang lain akan mencari Tuhan, bangsa asing yang Kupanggil menjadi umat-Ku.’ Demikianlah firman Tuhan yang telah melakukan semua ini dan yang telah menyatakannya sejak dahulukala. Oleh itu, pada fikiranku janganlah kita menyusahkan orang bangsa asing yang telah mempercayai Allah; tetapi hendaklah kita berkirim surat kepada mereka dan menasihati mereka supaya menjauhkan diri daripada makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, daripada perbuatan cabul, daripada daging binatang yang mati dicekik dan daripada darah. Sejak dahulukala di setiap negeri ada orang yang menyebarkan berita tentang Musa dan membaca Tauratnya di saumaah pada hari Sabat.” Selepas itu, para rasul dan tua-tua serta seluruh jemaah bersetuju memilih beberapa orang di antara mereka untuk ke Antiokhia bersama Paulus dan Barnabas. Orang yang dipilih itu ialah Yudas yang bergelar Barsabas, dan juga Silas, yang mengetuai saudara-saudara itu. Mereka diamanahkan membawa sepucuk surat yang berbunyi: “Salam daripada para rasul, tua-tua jemaah dan saudara-saudaramu kepada saudara-saudara bangsa asing yang tinggal di Antiokhia, Siria dan Kilikia. Kami telah mendengar khabar bahawa ada beberapa orang daripada bangsa kami telah mengganggu saudara-saudara dengan kata-kata yang bukan daripada kami. Oleh itu, kami bermuafakat hendak memilih orang untuk pergi bertemu dengan saudara-saudara bersama Barnabas dan Paulus yang kami kasihi