KISAH RASUL-RASUL 14:8-18

KISAH RASUL-RASUL 14:8-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Di Listra ada seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak lahir dan dia tidak pernah berjalan. Dia duduk di situ dan mendengarkan kata-kata Paulus. Paulus melihat bahawa orang itu dapat disembuhkan kerana dia percaya. Oleh itu Paulus menatap dia dan berkata dengan suara lantang, “Berdirilah tegak!” Orang itu melompat berdiri dan mula berjalan. Apabila orang ramai melihat apa yang telah dilakukan oleh Paulus, mereka mula berseru dalam bahasa Likaonia, “Lihatlah, dewa-dewa sudah menjadi seperti manusia dan turun ke dunia.” Barnabas dinamakan Zeus, dan Paulus dinamakan Hermes kerana dia yang berkata-kata. Imam dewa Zeus, yang kuilnya terletak di luar bandar, datang membawa lembu jantan dan bunga ke pintu gerbang. Dia dan orang ramai hendak mempersembahkan korban kepada rasul-rasul itu. Apabila Barnabas dan Paulus mendengar apa yang akan dilakukan oleh orang di situ, mereka mengoyak-ngoyak pakaian lalu berlari ke tengah-tengah orang ramai sambil berseru, “Mengapa kamu melakukan hal ini? Kami pun manusia seperti kamu semua! Kami datang di sini untuk mengkhabarkan Berita Baik supaya kamu meninggalkan berhala-berhala yang tidak berguna itu, lalu datang kepada Allah yang hidup, Pencipta langit, bumi, dan laut serta semua yang ada di dalamnya. Pada masa yang lampau Allah membiarkan semua orang mengikut kemahuan masing-masing. Tetapi Allah sentiasa memberikan bukti-bukti tentang diri-Nya dengan perkara-perkara baik yang dilakukan-Nya. Dia mengurniai kamu hujan dari langit serta hasil bumi pada musimnya. Dia mengurniai kamu makanan serta menyenangkan hati kamu.” Walaupun rasul-rasul berkata demikian, masih sukar juga mereka mencegah orang ramai mempersembahkan korban kepada mereka.

KISAH RASUL-RASUL 14:8-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka adalah sa’orang diListra dudok dŭngan lŭmah kakinya, iya itu lŭmpoh deri pada pŭrot ibunya, yang bŭlom pŭrnah bŭrjalan. Maka didŭngarnya akan Paulus itu bŭrkata kata; maka dirŭnunglah ulih Paulus akan dia, sŭrta dilihatnya bahwa orang itu ada bŭriman, bulih disŭmbohkan. Maka bŭrkatalah Paulus dŭngan swara yang nyaring, Bangunlah angkau bŭrdiri bŭtol. Tiba tiba mŭlompatlah iya lalu bŭrjalan. Maka apabila sagala kaum itu mŭlihat akan pŭrbuatan Paulus itu, maka dinyaringkannyalah swaranya, katanya dŭngan bahsa Likaonia, Bahwa dewata tŭlah mŭnjŭlmah spŭrti manusia turon kapada kami. Maka digŭlar ulih marika itu Barnabas itu Jupiter, dan Paulus itu Merkuri, sŭbab iyalah yang kŭpala dalam bŭrchŭrita. Maka pada masa itu datanglah imam Jupiter itu yang ada dihadapan nŭgri marika itu, sŭrta mŭmbawa lŭmbu lŭmbu, dan karangan bunga bungaan kahadapan pintu nŭgri itu, sŭrta dŭngan sagala kaum, handak dikorbankan ulih marika itu. Maka dŭmi didŭngar ulih rasol rasol, iya itu Barnabas dan Paulus, maka dikoyakkannya pakieannya, sambil bŭrlarilah iya masok kŭdalam kaum itu, sŭrta bŭrtriak, Katanya, Hie sagala tuan tuan, mŭngapa angkau bŭrbuat pŭkŭrjaan dŭmkian? Bahwa kami pun manusia juga sama tabiat spŭrti kamu, dan mŭngajar kamu supaya kamu bŭrbalik deripada pŭkŭrjaan yang sia sia ini kapada Allah yang hidop, yang tŭlah mŭnjadikan langit dan bumi, dan laut sŭrta dŭngan sagala isinya. Dan yang mŭmbiarkan zaman dahulu akan sagala orang sŭsat bŭrjalan mŭnurot jalannya sŭndiri Tŭtapi Allah tiada mŭmbiarkan dirinya dŭngan tiada saksi, iya itu akan bŭrbuat baik, sŭrta mŭnuronkan hujan pada kita deri langit, dan musim buah buahan yang mŭmŭnohi hati kami dŭngan makanan dan kŭsukaan. Maka dŭngan pŭrkataan ini, sukarlah juga rasol rasol itu mŭnahankan sagala kaum itu deripada mŭmbuat korban bagienya.

KISAH RASUL-RASUL 14:8-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Di Listra ada seorang lelaki yang lumpuh kakinya sejak lahir dan tidak pernah berjalan. Dia duduk mendengar kata-kata Paulus. Pada pandangan Paulus orang itu dapat disembuhkan kerana dia mempunyai iman. Oleh yang demikian Paulus merenungnya sambil bersuara lantang, “Bangunlah berdiri tegak!” Lalu orang itu melompat berdiri dan mula berjalan. Orang ramai melihat apa yang dilakukan oleh Paulus itu lalu berseru dalam bahasa Likaonia, “Lihatlah, tuhan-tuhan telah menjelma sebagai manusia dan turun ke dunia.” Dengan demikian Barnabas dipanggil mereka “Zeus” dan Paulus disebut “Hermes” kerana dia yang terutama bercakap. Imam Dewa Zeus, yang rumah berhalanya di luar kota, datang membawa lembu jantan dan kalungan bunga ke pintu gerbang untuk dijadikan korban persembahannya dan orang ramai kepada rasul-rasul itu. Apabila Barnabas dan Paulus mendengar apa yang hendak dilakukan oleh orang di situ, mereka mengoyak-ngoyakkan pakaian dan berlari ke tengah-tengah orang ramai sambil berseru, “Mengapa kamu berbuat begini? Kami manusia biasa seperti kamu sekalian! Kami datang membawa berita baik supaya kamu berhenti daripada pemujaan yang sia-sia ini dan datang kepada Allah yang hidup, yang menjadikan langit, bumi dan laut serta segala yang di dalamnya. Pada zaman silam, Allah membiarkan manusia mengikut jalan masing-masing. Namun demikian, Allah sentiasa memberikan kesaksian tentang diri-Nya dengan kebaikan yang dilakukan-Nya. Dia mengurniaimu hujan dari langit dan hasil dari bumi menurut musimnya. Dia memuaskan hatimu dengan makanan dan kegembiraan.” Sungguhpun rasul-rasul itu berkata begitu, sukar juga mereka menghalang orang ramai mempersembahkan korban kepada mereka.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami