2 SAMUEL 18:31-33
2 SAMUEL 18:31-33 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian hamba bangsa Etiopia itu sampai, lalu berkata kepada raja, “Hamba membawa khabar baik untuk tuanku! Pada hari ini TUHAN telah memberi tuanku kemenangan atas semua orang yang memberontak terhadap tuanku.” Raja bertanya kepadanya, “Adakah Absalom, anak muda itu selamat?” Kemudian hamba itu menjawab, “Biarlah semua musuh tuanku, semua orang yang memberontak terhadap tuanku mengalami nasib yang sama seperti anak muda itu.” Setelah mendengar berita itu raja sangat sedih, lalu naik ke ruangan di atas pintu gerbang sambil meratap, “Aduhai anakku! Aduhai anakku Absalom! Absalom, anakku! Lebih baik aku yang mati menggantikan engkau, anakku! Absalom, anakku!”
2 SAMUEL 18:31-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian datanglah orang Kush itu. Kata orang Kush itu, “Khabar baik, Tuanku Raja, kerana pada hari ini TUHAN telah membebaskan tuanku daripada semua orang yang bangkit menentang tuanku.” Lalu tanya raja kepada orang Kush itu, “Selamatkah Absalom, anak muda itu?” Jawab orang Kush itu, “Biarlah musuh-musuh Tuanku Raja dan semua orang yang bangkit menentang tuanku untuk berbuat jahat menjadi sama seperti anak muda itu.” Maka hancurlah hati raja. Dia naik ke ruangan yang terletak di atas pintu gerbang itu lalu meratap. Sambil berjalan dia berkata begini, “Oh, puteraku Absalom! Puteraku, puteraku Absalom! Kalau sahaja aku yang mati menggantikan engkau, Absalom, puteraku, puteraku!”