2 RAJA-RAJA 8:1-6
2 RAJA-RAJA 8:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Sebelum kelaparan itu terjadi, Elisa telah memberitahu perempuan yang tinggal di Sunem, yang anak lelakinya pernah dihidupkan kembali oleh Elisa, bahawa TUHAN akan mendatangkan kelaparan di negeri itu selama tujuh tahun. Elisa memberitahu perempuan itu bahawa dia harus meninggalkan kota itu bersama-sama keluarganya dan pergi ke tempat lain. Perempuan itu menurut nasihat Elisa dan bersama-sama keluarganya pergi ke negeri orang Filistin dan tinggal di sana selama tujuh tahun. Selepas tujuh tahun, perempuan itu kembali ke Israel lalu menghadap raja untuk memohon supaya rumah dan tanahnya di kembalikan kepadanya. Pada masa itu raja sedang bertutur dengan Gehazi, hamba Elisa. Raja hendak tahu tentang mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Elisa. Sedang Gehazi menceritakan cara Elisa menghidupkan seorang yang telah mati, perempuan itu menghadap raja. Oleh itu Gehazi berkata kepada raja, “Tuanku, inilah perempuan itu, dan inilah anaknya yang telah dihidupkan semula oleh Elisa!” Apabila ditanyai raja, perempuan itu mengesahkan perkataan Gehazi. Oleh itu raja memanggil seorang pegawainya dan menyuruh dia mengembalikan segala harta yang dimiliki perempuan itu kepadanya, termasuk harga semua hasil tanaman di ladangnya selama tujuh tahun dia di luar negeri.
2 RAJA-RAJA 8:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dahulu Elisa pernah berbicara kepada perempuan yang anaknya dihidupkan kembali, katanya, “Pergilah segera bersama-sama keluargamu dan tinggallah sebagai pendatang di mana sahaja engkau boleh tinggal, kerana TUHAN akan mendatangkan bencana kebuluran atas negeri ini selama tujuh tahun.” Perempuan itu pun segera bertindak selaras dengan kata-kata hamba Allah itu. Dia pergi bersama-sama keluarganya, lalu tinggal sebagai pendatang di negeri orang Filistin selama tujuh tahun. Setelah tujuh tahun berlalu, kembalilah perempuan itu dari negeri orang Filistin. Kemudian dia pergi menghadap raja untuk mengadukan perkara mengenai rumah dan ladangnya. Pada waktu itu raja sedang berbicara dengan Gehazi, pembantu hamba Allah, katanya, “Ceritakanlah padaku segala perbuatan besar yang dilakukan Elisa.” Sementara dia bercerita kepada raja bagaimana Elisa menghidupkan seorang anak yang telah mati, tiba-tiba perempuan yang anaknya dihidupkan kembali itu datang hendak mengadukan perkara perihal rumah dan ladangnya kepada raja. Kata Gehazi, “Ya Tuanku Raja, inilah perempuan itu dan inilah anaknya yang dihidupkan kembali oleh Elisa.” Raja pun bertanya kepada perempuan itu, dan perempuan itu bercerita kepadanya. Kemudian raja menunjuk seorang pegawai istana untuk menolong perempuan itu, katanya, “Kembalikanlah kepadanya semua yang menjadi miliknya dan semua hasil ladang sejak dia meninggalkan tanah itu sampai sekarang.”