2 RAJA-RAJA 6:1-7
2 RAJA-RAJA 6:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada suatu hari, kumpulan nabi yang dididik oleh Elisa berkata kepada Elisa, “Tempat tinggal kita terlalu sempit! Benarkanlah kami pergi menebang kayu dekat Sungai Yordan, supaya kami dapat membina tempat tinggal di sana.” “Baiklah,” jawab Elisa. Seorang daripada mereka mendesak Elisa supaya mengikut mereka; Elisa bersetuju. Oleh itu mereka berangkat bersama-sama. Apabila mereka sampai dekat Sungai Yordan, mereka mula bekerja. Semasa seorang daripada mereka menebang sebatang pokok, tiba-tiba mata kapaknya jatuh ke dalam air. Orang itu berseru kepada Elisa, “Apakah yang harus saya lakukan? Kapak itu saya pinjam daripada orang lain!” Elisa bertanya, “Di manakah mata kapak itu jatuh?” Orang itu menunjukkan tempatnya. Elisa memotong sebatang kayu lalu melemparkannya ke tempat itu. Tiba-tiba mata kapak daripada besi itu timbul di permukaan air. “Ambillah,” kata Elisa. Orang itu menghulurkan tangannya lalu mengambil mata kapak itu.
2 RAJA-RAJA 6:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada suatu waktu rombongan nabi berkata kepada Elisa, “Lihatlah, tempat kami tinggal dengan tuan ini terlalu sempit bagi kami. Izinkan kami pergi ke Sungai Yordan lalu masing-masing mengambil sebatang kayu dari sana. Kami akan membuat tempat tinggal bagi kami di sana.” Jawabnya, “Pergilah!” Kata seorang daripada mereka, “Sudilah sekiranya tuan pergi menyertai hamba-hambamu ini.” Jawabnya, “Baiklah, aku akan pergi.” Maka pergilah dia menyertai mereka. Setelah sampai di Sungai Yordan, mereka pun menebang pokok. Akan tetapi, pada waktu seseorang sedang menumbangkan sebuah gelegar, jatuhlah mata kapaknya ke dalam air. Dia pun berteriak, “Aduh, tuanku! Itu barang pinjaman!” Tanya hamba Allah, “Di manakah jatuhnya?” Orang itu menunjukkan tempatnya. Lalu Elisa mengerat sepotong kayu dan mencampakkannya ke sana. Maka terapunglah mata kapak itu. Katanya, “Angkatlah!” Orang itu pun menghulurkan tangannya dan mengambilnya.