2 RAJA-RAJA 5:20-27

2 RAJA-RAJA 5:20-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)

berfikirlah Gehazi, pembantu Elisa, hamba Allah itu, “Sesungguhnya, tuanku terlalu segan terhadap Naaman, orang Aram itu, sehingga dia tidak mahu menerima barang yang dibawanya. Demi TUHAN yang hidup, sesungguhnya aku akan berlari menyusul dia lalu menerima sesuatu daripadanya.” Lalu Gehazi pun menyusul Naaman. Ketika Naaman melihat ada orang berlari-lari menyusulnya, turunlah dia dari ratanya untuk menyongsong orang itu. Dia bertanya, “Semuanya baik-baik sahaja?” Jawabnya, “Baik-baik sahaja! Tuanku menyuruh aku mengatakan, ‘Baru sahaja dua orang muda daripada rombongan nabi datang kepadaku dari Pergunungan Efraim. Tolong beri mereka satu talenta perak dan dua helai persalinan.’ ” Kata Naaman, “Silakan, ambillah dua talenta.” Naaman mendesak Gehazi, lalu membungkus dua talenta perak di dalam dua buah pundi-pundi serta dua helai persalinan. Diserahkannya semua itu kepada dua orang pembantunya, lalu mereka mengangkutnya di depan Gehazi. Setelah sampai di bukit, Gehazi mengambil semua itu daripada tangan mereka lalu disimpannya di rumah. Kemudian dia melepaskan kedua-dua orang itu pergi, dan mereka pun pergi. Setelah itu, Gehazi masuk dan berdiri di hadapan tuannya. Tanya Elisa kepadanya, “Dari mana, Gehazi?” Jawabnya, “Hambamu tidak pergi ke mana-mana.” Kata Elisa kepadanya, “Bukankah hatiku ada bersama-samamu ketika orang itu berpaling dari atas ratanya untuk menyambut engkau? Inikah waktunya untuk menerima wang atau menerima pakaian, kebun zaitun, kebun anggur, kawanan domba, kawanan lembu, pembantu lelaki, dan pembantu perempuan? Oleh sebab itu penyakit kusta Naaman akan melekat padamu dan pada keturunanmu untuk selama-lamanya.” Maka keluarlah Gehazi dari hadapannya dengan berkusta, putih seperti salji.

2 RAJA-RAJA 5:20-27 Alkitab Berita Baik (BM)

Gehazi, hamba Elisa berkata dalam hati, “Mengapa Elisa membenarkan Naaman pergi tanpa membayar sedikit pun? Seharusnya dia menerima pemberian orang Siria itu. Demi TUHAN yang hidup, aku akan mengejar orang Siria itu dan mendapatkan sesuatu daripadanya.” Oleh itu Gehazi mengejar Naaman. Apabila Naaman nampak seorang mengejar dia, dia turun dari kereta kudanya dan bertanya, “Ada apa?” Gehazi menjawab, “Tidak ada, tetapi saya disuruh mengatakan kepada tuan bahawa baru saja dua orang nabi daripada kumpulan nabi datang dari daerah perbukitan Efraim. Tuan saya minta supaya tuan memberikan tiga ribu keping wang perak dan dua pasang pakaian baik untuk kedua-dua orang nabi itu.” “Tentu saja!” kata Naaman, dan dia mendesak Gehazi supaya menerima 6,000 keping wang perak. Naaman membungkus wang itu dalam dua buah kantung, lalu mengambil dua pasang pakaian baik itu. Semuanya diberikan oleh Naaman kepada dua orang hambanya, yang disuruhnya berjalan mendahului Gehazi. Apabila mereka sampai di bukit tempat tinggal Elisa, Gehazi mengambil dua buah kantung itu lalu membawanya ke dalam rumah. Setelah itu dia menyuruh hamba-hamba Naaman pulang. Ketika Gehazi masuk ke dalam rumah, Elisa bertanya kepadanya, “Ke mana engkau pergi?” “Tidak ke mana-mana,” jawab Gehazi. Tetapi Elisa berkata, “Bukankah rohku di sana ketika orang itu turun dari kereta kudanya untuk menemui engkau? Sekarang bukanlah masanya untuk menerima wang dan pakaian, kebun zaitun dan ladang anggur, lembu dan domba, atau hamba-hamba! Oleh sebab engkau menerima pemberian itu, engkau dan keturunanmu akan mendapat penyakit Naaman selama-lamanya!” Apabila Gehazi meninggalkan tempat itu, dia menghidap penyakit kulit; kulitnya menjadi putih sekali.