2 Raja-Raja 5:20-27

2 Raja-Raja 5:20-27 AVB

berfikirlah Gehazi, pembantu Elisa, hamba Allah itu, “Sesungguhnya, tuanku terlalu segan terhadap Naaman, orang Aram itu, sehingga dia tidak mahu menerima barang yang dibawanya. Demi TUHAN yang hidup, sesungguhnya aku akan berlari menyusul dia lalu menerima sesuatu daripadanya.” Lalu Gehazi pun menyusul Naaman. Ketika Naaman melihat ada orang berlari-lari menyusulnya, turunlah dia dari ratanya untuk menyongsong orang itu. Dia bertanya, “Semuanya baik-baik sahaja?” Jawabnya, “Baik-baik sahaja! Tuanku menyuruh aku mengatakan, ‘Baru sahaja dua orang muda daripada rombongan nabi datang kepadaku dari Pergunungan Efraim. Tolong beri mereka satu talenta perak dan dua helai persalinan.’ ” Kata Naaman, “Silakan, ambillah dua talenta.” Naaman mendesak Gehazi, lalu membungkus dua talenta perak di dalam dua buah pundi-pundi serta dua helai persalinan. Diserahkannya semua itu kepada dua orang pembantunya, lalu mereka mengangkutnya di depan Gehazi. Setelah sampai di bukit, Gehazi mengambil semua itu daripada tangan mereka lalu disimpannya di rumah. Kemudian dia melepaskan kedua-dua orang itu pergi, dan mereka pun pergi. Setelah itu, Gehazi masuk dan berdiri di hadapan tuannya. Tanya Elisa kepadanya, “Dari mana, Gehazi?” Jawabnya, “Hambamu tidak pergi ke mana-mana.” Kata Elisa kepadanya, “Bukankah hatiku ada bersama-samamu ketika orang itu berpaling dari atas ratanya untuk menyambut engkau? Inikah waktunya untuk menerima wang atau menerima pakaian, kebun zaitun, kebun anggur, kawanan domba, kawanan lembu, pembantu lelaki, dan pembantu perempuan? Oleh sebab itu penyakit kusta Naaman akan melekat padamu dan pada keturunanmu untuk selama-lamanya.” Maka keluarlah Gehazi dari hadapannya dengan berkusta, putih seperti salji.