2 RAJA-RAJA 23:3-7
2 RAJA-RAJA 23:3-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Baginda berdiri di sisi tiang yang khas untuk raja, lalu membuat perjanjian dengan TUHAN, untuk taat kepada-Nya, dan menurut hukum serta perintah-Nya dengan segenap hati dan jiwanya, serta memenuhi segala syarat perjanjian yang tercatat di dalam kitab itu. Segenap penduduk negeri itu berjanji untuk berpegang kepada perjanjian itu. Selepas itu Raja Yosia memerintah Imam Agung Hilkia, para imam penolong, dan para pengawal yang bertugas di pintu Rumah TUHAN supaya mengeluarkan semua benda yang digunakan untuk penyembahan Baal, Dewi Asyera, dan bintang-bintang. Raja Yosia membakar semua benda itu di luar kota, dekat Lembah Kidron, lalu abunya dibawa ke Betel. Raja Yosia memecat semua imam yang dilantik oleh raja-raja Yehuda untuk mempersembahkan korban di mazbah-mazbah dewa di kota-kota Yehuda, dan di tempat-tempat di sekitar Yerusalem. Semua imam itu telah mempersembahkan korban kepada Baal, matahari, bulan, planet, dan bintang-bintang. Raja Yosia mengeluarkan lambang Dewi Asyera dari Rumah TUHAN, lalu membawanya ke luar kota, ke Lembah Kidron untuk dibakar. Kemudian arangnya ditumbuk sehingga menjadi abu, lalu dihamburkan di perkuburan awam. Raja Yosia merobohkan tempat tinggal pelacur-pelacur kuil di dalam Rumah TUHAN. (Di situlah kaum wanita menenun kain jubah yang dipakai dalam pemujaan Dewi Asyera.)
2 RAJA-RAJA 23:3-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian raja berdiri dekat tiang. Diikatnya perjanjian di hadapan TUHAN untuk hidup mengikuti TUHAN dan berpegang teguh pada segala perintah-Nya, peraturan-Nya, serta ketetapan-Nya dengan segenap hati dan jiwa, juga untuk melaksanakan kata-kata perjanjian yang tertulis dalam kitab itu. Seluruh rakyat pun turut serta dalam perjanjian itu. Raja memberikan perintah kepada Imam Besar Hilkia, kepada para imam tingkat dua, dan kepada para penjaga pintu untuk mengeluarkan dari dalam Bait Suci TUHAN semua perkakas yang telah dibuat bagi Baal, bagi Asyera, dan bagi segala benda langit. Kemudian dibakarnya semua itu di luar Yerusalem, di padang-padang Kidron, dan abunya diangkut ke Betel. Raja memecat para imam bagi penyembahan berhala yang telah dilantik oleh raja-raja Yehuda untuk membakar dupa di bukit-bukit pemujaan, di kota-kota Yehuda, dan di sekitar Yerusalem, demikian juga orang yang ditugaskan untuk membakar dupa kepada Baal, kepada matahari, kepada bulan, kepada rasi-rasi bintang, dan kepada segala benda langit. Diangkutnya patung Asyera dari Bait TUHAN ke luar Yerusalem, ke Sungai Kidron, lalu dibakarnya di tepi Sungai Kidron. Setelah itu, ditumbuknya menjadi debu, dan dicampakkannya debu itu ke atas kuburan rakyat jelata. Dia merobohkan pula ruangan khusus bagi kaum pelacur lelaki kuil yang ada di Bait TUHAN, di mana kaum wanita menenun kain tabir bagi Asyera.