2 RAJA-RAJA 23

23
Raja Yosia Menghapuskan Penyembahan Berhala
(2 Taw 34.3-7,29-33)
1Raja Yosia memanggil semua pemimpin Yehuda dan Yerusalem, 2lalu mereka bersama-sama pergi ke Rumah TUHAN. Mereka disertai oleh para imam, nabi-nabi, dan segenap rakyat, baik yang kaya mahupun yang miskin. Di hadapan mereka semua, raja membacakan seluruh kandungan kitab perjanjian yang telah ditemui di dalam Rumah TUHAN. 3Baginda berdiri di sisi tiang yang khas untuk raja, lalu membuat perjanjian dengan TUHAN, untuk taat kepada-Nya, dan menurut hukum serta perintah-Nya dengan segenap hati dan jiwanya, serta memenuhi segala syarat perjanjian yang tercatat di dalam kitab itu. Segenap penduduk negeri itu berjanji untuk berpegang kepada perjanjian itu.
4Selepas itu Raja Yosia memerintah Imam Agung Hilkia, para imam penolong, dan para pengawal yang bertugas di pintu Rumah TUHAN supaya mengeluarkan semua benda yang digunakan untuk penyembahan Baal, Dewi Asyera, dan bintang-bintang. Raja Yosia membakar semua benda itu di luar kota, dekat Lembah Kidron, lalu abunya dibawa ke Betel. 5Raja Yosia memecat semua imam yang dilantik oleh raja-raja Yehuda untuk mempersembahkan korban di mazbah-mazbah dewa di kota-kota Yehuda, dan di tempat-tempat di sekitar Yerusalem. Semua imam itu telah mempersembahkan korban kepada Baal, matahari, bulan, planet, dan bintang-bintang. 6 Raja Yosia mengeluarkan lambang Dewi Asyera dari Rumah TUHAN, lalu membawanya ke luar kota, ke Lembah Kidron untuk dibakar. Kemudian arangnya ditumbuk sehingga menjadi abu, lalu dihamburkan di perkuburan awam. 7Raja Yosia merobohkan tempat tinggal pelacur-pelacur kuil di dalam Rumah TUHAN. (Di situlah kaum wanita menenun kain jubah yang dipakai dalam pemujaan Dewi Asyera.) 8Raja Yosia membawa semua imam dari kota-kota di Yehuda ke Yerusalem, lalu di seluruh negeri itu baginda menajiskan mazbah-mazbah tempat imam-imam itu mempersembahkan korban. Baginda juga merobohkan mazbah-mazbah yang terletak dekat pintu gerbang yang dibina oleh Yosua, gabenor kota itu. Pintu gerbang itu terletak di sebelah kiri pintu gerbang utama di jalan masuk ke kota. 9Imam-imam itu tidak dibenarkan menyelenggarakan ibadat di Rumah TUHAN, tetapi mereka dibenarkan memakan roti yang tidak beragi, yang disediakan untuk imam, rakan-rakan mereka.
10 Raja Yosia juga mencemarkan Tofet, tempat pemujaan dewa di Lembah Hinom, supaya tiada sesiapa pun dapat mempersembahkan anaknya sebagai korban yang dibakar kepada Dewa Molokh. 11Raja Yosia juga menyingkirkan semua kuda yang dikhaskan oleh raja-raja Yehuda untuk penyembahan matahari. Baginda membakar semua kereta kuda yang digunakan untuk penyembahan matahari. (Benda-benda itu disimpan di halaman Rumah TUHAN, dekat pintu gerbang, tidak jauh dari tempat tinggal Natan Melekh, seorang pegawai tinggi.) 12 Baginda merobohkan mazbah-mazbah yang dibina oleh raja-raja Yehuda di bumbung istana, di atas bilik-bilik Raja Ahas. Raja Yosia juga merobohkan mazbah-mazbah yang dibina oleh Raja Manasye di dua halaman Rumah TUHAN. Raja Yosia menghancurkan mazbah-mazbah itu lalu membuangnya ke dalam Lembah Kidron. 13 Raja Yosia juga mencemarkan mazbah-mazbah yang dibina oleh Raja Salomo di sebelah timur Yerusalem, di sebelah selatan Bukit Zaitun bagi pemujaan dewa-dewa yang menjijikkan, iaitu Asytoret, dewa orang Sidon; Kamos, dewa orang Moab; dan Milkom, dewa orang Amon. 14Raja Yosia merobohkan lambang-lambang yang dikhaskan untuk Dewi Asyera, dan menghancurkan tiang-tiang batu, lalu menimbuni tanah itu dengan tulang-tulang manusia.
15 Raja Yosia juga merobohkan tempat pemujaan di Betel, yang dibina oleh Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan Israel berdosa. Raja Yosia merobohkan mazbah di tempat pemujaan itu. Baginda menghancurkan batu-batu mazbah itu, dan menumbuknya menjadi debu. Baginda juga membakar patung Dewi Asyera. 16 Selepas itu Raja Yosia melihat di sekelilingnya dan nampak beberapa kubur di atas bukit. Baginda membongkar kubur-kubur itu, lalu mengeluarkan dan membakar tulang dari kubur-kubur itu, di atas mazbah. Demikianlah Raja Yosia mencemarkan mazbah itu. Dengan demikian terjadilah nubuat seorang nabi pada masa perayaan, ketika Raja Yerobeam berdiri dekat mazbah itu. Raja Yosia melihat lagi di sekelilingnya, lalu nampak sebuah kubur lain. 17 Raja Yosia bertanya, “Kubur siapakah ini?”
Penduduk Betel berkata, “Inilah kubur nabi dari Yehuda yang menubuatkan perkara-perkara yang baru sahaja tuanku lakukan terhadap mazbah ini.”
18Lalu Raja Yosia bertitah, “Biarkanlah kubur itu. Jangan pindahkan tulangnya!”
Oleh itu tulang nabi dari Yehuda itu tidak dipindahkan. Tulang nabi dari Samaria pun tidak dipindahkan.
19Di tiap-tiap kota di Israel, Raja Yosia merobohkan semua tempat pemujaan dewa yang dibina oleh raja-raja Israel, yang telah membangkitkan kemurkaan TUHAN. Baginda memperlakukan mazbah-mazbah itu seperti apa yang dilakukan baginda di Betel. 20Raja Yosia membunuh semua imam yang bertugas di tempat pemujaan dewa itu di atas mazbah-mazbah mereka sendiri. Baginda juga membakar tulang manusia di atas tiap-tiap mazbah. Selepas itu Raja Yosia kembali ke Yerusalem.
Raja Yosia Merayakan Paska
(2 Taw 35.1-19)
21Kemudian Raja Yosia memerintah rakyat baginda merayakan Paska untuk menghormati TUHAN, Allah mereka, sebagaimana yang tertulis di dalam kitab perjanjian. 22Belum pernah Paska seperti ini dirayakan oleh mana-mana raja Israel atau raja Yehuda sejak zaman pahlawan-pahlawan memerintah Israel. 23Tetapi sekarang, pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yosia, Paska dirayakan di Yerusalem.
Perubahan-Perubahan Lain yang Diadakan oleh Raja Yosia
24Untuk menguatkuasakan hukum-hukum yang terkandung di dalam kitab yang ditemui oleh Imam Agung Hilkia di Rumah TUHAN itu, Raja Yosia mengusir semua dukun dan tukang tilik dari Yerusalem. Raja Yosia juga membuang semua dewa rumahtangga, berhala, dan semua benda yang digunakan untuk pemujaan dewa. 25Belum pernah ada seorang raja yang seperti Raja Yosia, yang mengabdi kepada TUHAN dengan segenap hati, serta menunjukkan pengabdian itu dalam cara hidup dan perbuatan baginda, sesuai dengan seluruh Taurat Musa. Sesudah Raja Yosia, tiada lagi raja yang seperti baginda.
26Tetapi kemurkaan TUHAN terhadap Yehuda yang dibangkitkan oleh Raja Manasye sedemikian menyala-nyala sehingga saat itu pun TUHAN masih murka. 27TUHAN berfirman, “Apa yang telah Aku lakukan terhadap Israel akan Aku lakukan juga terhadap Yehuda. Aku akan membuang penduduk Yehuda dari negeri yang Aku berikan kepada mereka. Aku akan menolak Yerusalem, kota pilihan-Ku, dan Rumah TUHAN, yang telah Aku tetapkan sebagai tempat beribadat kepada-Ku.”
Akhir Pemerintahan Raja Yosia
(2 Taw 35.20—36.1)
28Segala perbuatan Raja Yosia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. 29Pada masa pemerintahan Raja Yosia, Raja Nekho dari Mesir memimpin tentera baginda ke Sungai Efrat untuk menolong raja Asyur. Raja Yosia cuba menghalang tentera Mesir di Megido, tetapi Raja Yosia terbunuh dalam pertempuran. 30Para pegawai Raja Yosia meletakkan jenazah baginda di atas sebuah kereta kuda dan membawanya pulang ke Yerusalem. Baginda dimakamkan di permakaman diraja.
Kemudian penduduk Yehuda memilih Yoahas, putera Raja Yosia, dan melantiknya menjadi raja.
Raja Yoahas, Raja Yehuda
(2 Taw 36.2-4)
31Raja Yoahas berusia dua puluh tiga tahun ketika baginda menjadi raja di Yehuda. Raja Yoahas memerintah di Yerusalem selama tiga bulan. Bonda baginda bernama Hamutal anak Yeremia dari kota Libna. 32Raja Yoahas berdosa terhadap TUHAN seperti yang dilakukan oleh nenek moyang baginda. 33Pemerintahan baginda berakhir ketika Raja Nekho dari Mesir menawan baginda di Ribla, di negeri Hamat. Raja Nekho memaksa penduduk Yehuda membayar 3,400 kilogram perak dan 34 kilogram emas sebagai ufti. 34 Raja Nekho melantik Elyakim, putera Raja Yosia, untuk menggantikan Raja Yosia sebagai raja, dan menukar nama Elyakim menjadi Yoyakim. Raja Yoahas dibawa oleh Raja Nekho ke Mesir, kemudian Raja Yoahas mangkat di sana.
Raja Yoyakim, Raja Yehuda
(2 Taw 36.5-8)
35Untuk membayar ufti yang dituntut oleh raja Mesir, Raja Yoyakim memungut cukai daripada rakyat menurut kemampuan masing-masing.
36 Raja Yoyakim berusia dua puluh lima tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda. Baginda memerintah di Yerusalem selama sebelas tahun. Bonda baginda bernama Zebuda anak Pedaya dari kota Ruma. 37Raja Yoyakim juga berdosa terhadap TUHAN, seperti yang dilakukan oleh nenek moyang baginda.

Terpilih Sekarang Ini:

2 RAJA-RAJA 23: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk