2 KORINTUS 6:1-10

2 KORINTUS 6:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)

Kami bekerja bersama-sama Allah. Oleh itu kami menggesa kamu supaya tidak mensia-siakan rahmat Allah yang sudah kamu terima. Di dalam Alkitab, Allah berfirman, “Pada masa yang diperkenankan, Aku sudah mendengarkan engkau, dan pada hari penyelamatan, Aku sudah menolong engkau.” Ketahuilah bahawa sekaranglah masa yang diperkenankan Allah, dan sekaranglah hari kamu diselamatkan! Kami tidak mahu seorang pun mencela kerja kami. Oleh itu kami berusaha supaya orang tidak mempunyai alasan untuk mencela kami. Sebaliknya, dalam segala hal kami menunjukkan bahawa kami hamba Allah, yang dengan sabar menanggung segala macam kesusahan. Kami telah disesah, dipenjarakan, dan diserang oleh orang ramai; kami bekerja keras, kurang tidur, dan kurang makan. Dengan berlaku tulus, dengan menggunakan pengetahuan tentang Berita Baik, dengan bersabar, dengan kebaikan hati, dengan pertolongan Roh Allah, dengan kasih yang ikhlas, dengan memberitakan khabar daripada Allah, dan dengan kuasa Allah, kami menunjukkan bahawa kami ini hamba Allah. Kami berpegang pada cara hidup yang menurut kehendak Allah, sebagai senjata untuk menyerang mahupun untuk membela diri. Kami dihormati tetapi juga dihina; kami dipuji tetapi juga diumpat. Kami dianggap sebagai pembohong, walaupun kami jujur. Kami dianggap tidak terkenal, tetapi kami dikenal semua orang. Kami disangka mati, tetapi ternyata kami masih hidup. Meskipun kami dianiaya, kami tidak mati. Walaupun kami menanggung sengsara, kami sentiasa bersukacita. Kami nampaknya miskin, tetapi kami sudah mengayakan kehidupan rohani banyak orang. Nampaknya kami tidak memiliki apa-apa, tetapi sebenarnya kami memiliki segala-galanya.

2 KORINTUS 6:1-10 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA skarang spŭrti adalah kami bŭkŭrja bŭrsama sama dŭngan dia, mŭminta sangat kapada kamu supaya jangan kiranya kamu mŭnŭrima anugrah Allah itu dŭngan sia sia. Kŭrna Allah tŭlah bŭrfŭrman, bahwa pada waktu karelaan aku tŭlah pŭrkŭnankan angkau, dan pada hari slamat pun aku tŭlah mŭnulong akan dikau; maka sŭsungguhnya skarang inilah waktu karelaan; maka bahwasanya skarang inilah hari slamat itu. Janganlah mŭndatangkan shak atas barang suatu pŭrkara pun, supaya jangan jawatan itu disalahkan. Tŭtapi dalam sagala pŭrkara kami mŭnyatakan diri kami spŭrti utus utusan Allah, dŭngan banyak sabar, dan dalam sŭngsara, dan kasŭsakan, dan kasukaan. Dan dalam sŭsak, dan pŭnjara, dan huru hara, dan bŭrlŭlah, dan bŭrjaga, dan bŭrlapar; Dŭngan kasuchian, dan dŭngan pŭngatahuan, dan dŭngan tahan lama, dan dŭngan kasihan, dan dŭngan Roh Alkudus, dan dŭngan pŭngasihan yang bukannya pura pura, Dan dŭngan pŭrkataan yang bŭnar, dan dŭngan kwasa Allah, dan dŭngan alatan kaadilan pada sŭblah kiri dan kanan, Dŭngan kamulian dan kahinaan, dŭngan khabar yang jahat dan khabar yang baik: spŭrti orang orang pŭnipu, akan tŭtapi bŭnar juga; Spŭrti orang yang tiada dikŭnal, akan tŭtapi dikŭnal baik baik; dan spŭrti orang yang mati, akan tŭtapi sungguh ada hidop; dan spŭrti orang yang disŭsak, akan tŭtapi tiada dibunoh; Spŭrti orang yang dukachita, akan tŭtapi sŭntiasa sukachita; spŭrti orang yang papa, akan tŭtapi mŭnjadikan banyak orang kaya; spŭrti orang yang tiada mŭmpunyai barang sŭsuatu, akan tŭtapi mŭmpunyai sagala sŭsuatu.