2 KORINTUS 4:4-15

2 KORINTUS 4:4-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Mereka tidak mahu percaya kepada berita yang kami khabarkan, kerana Iblis yang menguasai dunia ini menjadikan fikiran mereka tertutup. Mereka tidak dapat melihat cahaya yang menyinari mereka. Cahaya itu daripada Berita Baik tentang kemuliaan Kristus, yang merupakan gambaran Allah. Kami tidak menyampaikan berita tentang diri kami sendiri. Kami mengisytiharkan Yesus Kristus itu Tuhan, dan kami ini hamba kamu kerana Yesus. Allah yang berfirman, “Daripada kegelapan, cahaya akan bersinar.” Allah itu juga yang menyebabkan cahaya-Nya bersinar di dalam hati kami, sehingga kita dapat memahami kemuliaan Allah yang bersinar pada wajah Kristus. Tetapi kami yang memiliki harta rohaniah ini, seperti bekas yang dibuat daripada tanah. Dengan demikian nyatalah bahawa kekuasaan tertinggi dimiliki oleh Allah, bukan kami. Kami sering kali dianiaya, tetapi kami tidak menyerah kalah. Kadangkala kami kebingungan, tetapi tidak pernah putus harapan. Banyak orang memusuhi kami, tetapi Allah tidak pernah meninggalkan kami. Meskipun kami sering dianiaya, kami tidak binasa. Kami selalu menghadapi ancaman hukuman mati seperti yang dialami oleh Yesus, supaya kehidupan-Nya pun nyata pada tubuh kami. Sepanjang hidup kami, kami sentiasa diancam oleh kematian kerana Yesus, supaya kehidupan Yesus pun nyata pada tubuh kami yang fana. Hal ini bererti bahawa kami sentiasa menghadapi ancaman kematian, tetapi kamu mendapat hidup. Di dalam Alkitab tertulis, “Aku berkata-kata kerana aku percaya kepada Allah.” Dengan kepercayaan seperti itu, kami pun berkata-kata kerana kami percaya. Kami tahu bahawa Allah yang sudah membangkitkan Tuhan Yesus daripada kematian, akan membangkitkan kami juga dengan Yesus, dan membawa kamu serta kami ke hadirat Yesus. Semua ini untuk kebaikan kamu. Kerana semakin banyak orang mengalami rahmat Allah, semakin banyak pula doa kesyukuran yang disampaikan kepada Allah. Dengan demikian Allah dimuliakan.

2 KORINTUS 4:4-15 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Yang tŭlah dibutakan ulih pŭnghulu dunia ini mata hati orang yang tiada pŭrchaya itu, asal jangan trang kamulian Injil Almasih, yang pŭta Allah itu kŭlak bŭrchahya kapadanya. Kŭrna bukannya kami mŭmashorkan diri kami, mŭlainkan Isa Almasih Tuhan kami; maka kami sŭndiri hamba kamu ulih kŭrna Isa. Kŭrna Allah yang tŭlah mŭnyurohkan trang itu bŭrchahya deri dalam glap, maka iya itulah juga yang tŭlah mŭnŭrangkan hati kami, akan mŭmbri trang pŭngatahuan derihal kamulian Allah deripada muka Isa Almasih. Tŭtapi adalah kami mŭnaroh bŭndah yang mulia ini kadalam bŭkas bŭkas yang dipŭrbuat deripada tanah, supaya kalempahan kwasanya pulang kapada Allah, bukannya kapada kami. Maka adalah kami ini kŭna kasukaran deripada sagala fiak, akan tŭtapi tiada juga disŭsakkan; bahwa kami ini dikhuatirkan, akan tŭtapi tiada juga putus harap kami. Kami ini diannyayakan, akan tŭtapi tiada ditinggalkan; dan dihŭmpaskan, tŭtapi tiada juga binasa. Maka adalah pada sŭdiakala tuboh kami mŭnanggong bŭrkliling akan kŭmatian Tuhan Isa, supaya kahidopan Isa itu kŭlak bulihlah dinyatakan dalam tuboh kami. Maka kami yang hidop ini slalu disŭrahkan kapada maut ulih kŭrna Isa, supaya kahidopan Isa itu kŭlak dapatlah dinyatakan dalam tuboh kami yang fana ini. Maka sŭbab itulah maut itu bŭrlakukan dalam kami, tŭtapi hidop itu dalam kamu. Maka sŭbab adalah pada kami pun sama pŭrasaan iman spŭrti yang tŭrsurat, Bahwa aku sudah pŭrchaya, maka sŭbab itulah aku bŭrkata kata, maka kita pun ada pŭrchaya, maka sŭbab itulah ada kami bŭrkata kata. Maka sŭbab kita mŭngatahui, bahwa Allah yang tŭlah mŭmbangkitkan Tuhan Isa, iya juga akan mŭmbangkitkan kami pun dŭngan bŭrkat Isa, dan akan mŭnghadapkan kami bŭsŭrta dŭngan kamu pun. Kŭrna sagala pŭrkara ini tŭlah jadi deri kŭrna kamu, supaya anugrah kamewahan itu bulih bŭrtambah kapada kamulian Allah tŭrsŭbab ulih kabanyakan orang mŭmbalas trima kasih.

2 KORINTUS 4:4-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Fikiran orang yang tidak beriman itu telah dibutakan oleh tuhan pujaan dunia, maka mereka tidak dapat melihat cahaya Injil tentang kemuliaan Kristus yang merupakan gambaran Allah. Kami tidak menyebarkan berita tentang diri kami, tetapi tentang Yesus Kristus sebagai Tuhan. Diri kami mengabdi kepadamu sebagai hamba kerana Yesus. Allah telah berfirman, “Hendaklah cahaya bersinar dari dalam gelap.” Allah juga yang telah membuat cahaya itu bersinar dalam hati kita, sehingga kita mendapat pengetahuan tentang kemuliaan Allah di wajah Yesus Kristus. Tetapi kami memiliki harta yang ada dalam bejana tanah liat supaya jelaslah bahawa kuasa yang melebihi segala-galanya berasal daripada Allah, bukan daripada diri sendiri. Dalam segala hal kami dihimpit, tetapi tidak hancur. Kami bingung, tetapi tidak putus asa. Kami dianiaya, tetapi tidak ditinggalkan. Kami dijatuhkan, tetapi tidak dimusnahkan. Ke mana-mana pun kami pergi, kami sentiasa membawa kematian Yesus dalam tubuh kami, supaya kehidupan-Nya nyata dalam tubuh kami. Kami yang masih hidup ini sentiasa diserahkan ke tangan maut demi Yesus, supaya kehidupan-Nya nyata dalam tubuh kami yang fana. Oleh itu, maut bekerja dalam diri kami, sebaliknya hidup bekerja dalam dirimu. Namun demikian, oleh sebab kami mempunyai roh iman seperti yang tersurat, “Aku percaya, maka aku bersuara”, kami pun berkata, “Kami percaya, maka kami bersuara.” Kami tahu bahawa Dia yang telah membangkitkan Yesus, Tuhan kita, akan membangkitkan kami juga bersama Yesus, lalu menghadapkan kami bersama kamu kepada-Nya. Semuanya berlaku untukmu; dengan melimpahnya kasih kurnia kepada orang yang kian ramai, melimpah pulalah ucap syukur bagi kemuliaan Allah.