2 Korintus 4:4-15

2 Korintus 4:4-15 AVB

Fikiran orang yang tidak beriman itu telah dibutakan oleh tuhan pujaan dunia, maka mereka tidak dapat melihat cahaya Injil tentang kemuliaan Kristus yang merupakan gambaran Allah. Kami tidak menyebarkan berita tentang diri kami, tetapi tentang Yesus Kristus sebagai Tuhan. Diri kami mengabdi kepadamu sebagai hamba kerana Yesus. Allah telah berfirman, “Hendaklah cahaya bersinar dari dalam gelap.” Allah juga yang telah membuat cahaya itu bersinar dalam hati kita, sehingga kita mendapat pengetahuan tentang kemuliaan Allah di wajah Yesus Kristus. Tetapi kami memiliki harta yang ada dalam bejana tanah liat supaya jelaslah bahawa kuasa yang melebihi segala-galanya berasal daripada Allah, bukan daripada diri sendiri. Dalam segala hal kami dihimpit, tetapi tidak hancur. Kami bingung, tetapi tidak putus asa. Kami dianiaya, tetapi tidak ditinggalkan. Kami dijatuhkan, tetapi tidak dimusnahkan. Ke mana-mana pun kami pergi, kami sentiasa membawa kematian Yesus dalam tubuh kami, supaya kehidupan-Nya nyata dalam tubuh kami. Kami yang masih hidup ini sentiasa diserahkan ke tangan maut demi Yesus, supaya kehidupan-Nya nyata dalam tubuh kami yang fana. Oleh itu, maut bekerja dalam diri kami, sebaliknya hidup bekerja dalam dirimu. Namun demikian, oleh sebab kami mempunyai roh iman seperti yang tersurat, “Aku percaya, maka aku bersuara”, kami pun berkata, “Kami percaya, maka kami bersuara.” Kami tahu bahawa Dia yang telah membangkitkan Yesus, Tuhan kita, akan membangkitkan kami juga bersama Yesus, lalu menghadapkan kami bersama kamu kepada-Nya. Semuanya berlaku untukmu; dengan melimpahnya kasih kurnia kepada orang yang kian ramai, melimpah pulalah ucap syukur bagi kemuliaan Allah.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan 2 Korintus 4:4-15