2 KORINTUS 3:7-18

2 KORINTUS 3:7-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Taurat itu diukir pada batu tulis dan kemuliaan Allah kelihatan pada masa Taurat itu diberikan. Walaupun cahaya kemuliaan Allah pada wajah Musa mula pudar, cahaya itu masih begitu gemilang sehingga orang Israel tidak dapat memandang muka Musa. Jika Taurat yang membawa kematian itu diberikan dengan kemuliaan seperti itu, tentu lebih gemilang lagi kemuliaan Allah pada waktu perjanjian yang diberikan oleh Roh Allah dimulakan. Jika Taurat yang membawa hukuman kepada manusia sangat gemilang, maka lebih gemilang lagi perjanjian yang membolehkan manusia berbaik semula dengan Allah. Boleh dikatakan bahawa dengan adanya kemuliaan yang sangat gemilang sekarang ini, kemuliaan yang gemilang pada masa lalu itu sudah tiada. Jika sesuatu yang sementara mempunyai kemuliaan, maka sesuatu yang kekal mempunyai kemuliaan yang lebih gemilang lagi. Kerana kami mempunyai harapan seperti itu, kami dapat berkata-kata dengan keyakinan. Kami tidak seperti Musa yang harus menutupi muka dengan selubung, supaya orang Israel tidak dapat melihat cahaya pada mukanya pudar dan lenyap. Fikiran mereka sudah tertutup. Sampai hari ini pun fikiran mereka masih berselubung pada masa mereka membaca kitab-kitab tentang perjanjian yang lama itu. Selubung ini hanya dapat tersingkap apabila orang bersatu dengan Kristus. Sekarang pun apabila mereka membaca Taurat Musa, fikiran mereka masih berselubung. Tetapi selubung itu dapat ditanggalkan, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Musa menanggalkan selubung muka, pada masa dia menghadap Tuhan.” Tuhan yang dimaksudkan di sini ialah Roh. Sesiapa mempunyai Roh Tuhan, orang itu bebas. Sekarang muka kita tidak berselubung dan kita memantulkan kemuliaan Tuhan. Kemuliaan itu berasal daripada Tuhan, dan Tuhan itu Roh yang mengubah kita semua. Kita semakin menjadi seperti Dia dan semakin memiliki kemuliaan-Nya.

2 KORINTUS 3:7-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Tapi jikalau kiranya utusan maut itu yang tŭrtulis dan tŭrukir diatas batu tŭlah jadi mulia, sahingga bani Israil tiada dapat mŭmandang bŭtol akan muka Musa, deri kŭrna kamulian mukanya itu; kamulian itu pun tŭlah tŭntu akan dihilangkan; Istimewa pula brapakah lŭbihnya utusan Roh itu mŭnjadi mulia? Kŭrna jikalau utusan kabinasaan itu mŭnjadi mulia, brapa pula lebihnya lagi utusan kabŭnaran itu lempah kamuliannya? Kŭrna mŭski pun itu yang tŭlah dimuliakannya tiada mŭmpunyai kamulian spŭrti ini, sŭbab kamulian ini tŭrlebih adanya. Kŭrna jikalau yang tŭlah lŭnyap itu mulia adanya, maka lebih pula banyak mulia yang tinggal itu. Sŭbab nyatalah kamu ada mŭnaroh harap yang dŭmkian itu, kami mŭmakie pŭrkataan yang trang trang. Maka bukannya spŭrti Musa yang mŭmakie tudong muka, sahingga tiada dapat ditŭntang ulih bani Israil akan kasudahan pŭrkara yang tŭlah dihapuskan itu. Tŭtapi mata hati marika itu tŭlah dibutakan, kŭrna sampie skarang pun ada lagi tinggal juga tudong muka yang bŭlom tŭrsingkap pada tŭtkala mŭmbacha wasihat yang lama itu, iya itu tudong yang ditolakkan ulih Almasih. Tŭtapi mŭskipun sampie skarang, apabila dibachanya kitab Musa itu, maka adalah juga tudong dihati marika itu. Tŭtapi apabila marika itu akan ditaubatkan kapada Tuhan, maka tudong itu kŭlak akan dilalukan. Adapun Tuhan itu iyalah Roh itu adanya: maka barang dimana ada Roh Tuhan itu, disanalah ada kabibasan. Akan tŭtapi kami skalian ini dŭngan muka tŭrbuka mŭmandanglah spŭrti dalam suatu chŭrmin — kapada kamulian Tuhan, maka kita tŭrsalin atas tuladan itu juga, ulih Roh Tuhan deripada kamulian sampie kamulian.

2 KORINTUS 3:7-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Jika perjanjian yang membawa kepada kematian, iaitu yang terukir hurufnya pada loh-loh batu, diturunkan dari kemuliaan wajah Musa sehingga bangsa Israel tidak dapat memandang wajahnya, walaupun ketika itu sinarnya sudah mulai malap; maka tentulah perjanjian yang datang daripada Roh lebih besar lagi kemuliaannya. Jika perjanjian yang membawa manusia kepada penghakiman begitu mulianya, maka perjanjian yang membawa manusia kepada perbenaran tentulah jauh lebih mulia lagi! Sesuatu yang dahulu dipandang mulia tidak mulia lagi berbanding sesuatu yang jauh lebih mulia. Jika sesuatu yang sementara telah diturunkan dengan kemuliaan, maka sesuatu yang kekal haruslah diturunkan dengan kemuliaan yang lebih besar. Oleh sebab kami menaruh harapan demikian, maka kami lebih berani, berbeza dengan Musa yang menutup wajahnya dengan selubung supaya bangsa Israel tidak dapat memandang kemuliaan yang beransur malap. Fikiran mereka menjadi tumpul, kerana hingga hari ini, apabila mereka membaca Kitab-kitab Suci yang mengandungi perjanjian lama, selubung itu masih tetap menghalang pandangan mereka. Selubung tidak akan terbuka kecuali dalam Kristus. Malah hingga sekarang, ketika mereka membaca Kitab Suci yang disampaikan melalui Musa, selubung itu masih menutupi hati mereka. Apabila hati mereka kembali kepada Tuhan, selubung itu akan disingkapkan. Tuhan ialah Roh; dan di mana ada Roh Tuhan, di situlah ada kebebasan. Kita semua melihat kemuliaan Tuhan tercermin dengan wajah yang tidak berselubung, dan kita diubah menjadi serupa dengan-Nya dalam kemuliaan yang kian besar, oleh Roh Tuhan.