2 Korintus 3:7-18

2 Korintus 3:7-18 AVB

Jika perjanjian yang membawa kepada kematian, iaitu yang terukir hurufnya pada loh-loh batu, diturunkan dari kemuliaan wajah Musa sehingga bangsa Israel tidak dapat memandang wajahnya, walaupun ketika itu sinarnya sudah mulai malap; maka tentulah perjanjian yang datang daripada Roh lebih besar lagi kemuliaannya. Jika perjanjian yang membawa manusia kepada penghakiman begitu mulianya, maka perjanjian yang membawa manusia kepada perbenaran tentulah jauh lebih mulia lagi! Sesuatu yang dahulu dipandang mulia tidak mulia lagi berbanding sesuatu yang jauh lebih mulia. Jika sesuatu yang sementara telah diturunkan dengan kemuliaan, maka sesuatu yang kekal haruslah diturunkan dengan kemuliaan yang lebih besar. Oleh sebab kami menaruh harapan demikian, maka kami lebih berani, berbeza dengan Musa yang menutup wajahnya dengan selubung supaya bangsa Israel tidak dapat memandang kemuliaan yang beransur malap. Fikiran mereka menjadi tumpul, kerana hingga hari ini, apabila mereka membaca Kitab-kitab Suci yang mengandungi perjanjian lama, selubung itu masih tetap menghalang pandangan mereka. Selubung tidak akan terbuka kecuali dalam Kristus. Malah hingga sekarang, ketika mereka membaca Kitab Suci yang disampaikan melalui Musa, selubung itu masih menutupi hati mereka. Apabila hati mereka kembali kepada Tuhan, selubung itu akan disingkapkan. Tuhan ialah Roh; dan di mana ada Roh Tuhan, di situlah ada kebebasan. Kita semua melihat kemuliaan Tuhan tercermin dengan wajah yang tidak berselubung, dan kita diubah menjadi serupa dengan-Nya dalam kemuliaan yang kian besar, oleh Roh Tuhan.