2 KORINTUS 12:11-21

2 KORINTUS 12:11-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Kamu sudah memaksa aku bersikap seperti orang bodoh. Kamulah yang seharusnya memuji aku. Meskipun aku ini bukan sesiapa tetapi aku tidak lebih rendah daripada “rasul-rasul” kamu yang istimewa itu! Melalui aku, Allah melakukan banyak mukjizat dan hal-hal lain yang luar biasa, sementara aku menjalankan tugasku dengan penuh kesabaran untuk membuktikan bahawa aku seorang rasul. Dalam hal apakah kamu kurang diperhatikan apabila dibandingkan dengan jemaah lain? Hanya dalam hal ini: Aku tidak meminta kamu membiayai aku. Maafkanlah aku kerana kesalahan itu! Inilah kali ketiga aku siap melawat kamu. Aku tidak mahu membebani kamu, kerana kamulah yang aku inginkan, bukan wang kamu. Anak-anak tidak perlu menyara ibu bapa. Sebaliknya, ibu bapa yang harus menyara anak-anak. Aku rela menghabiskan segala-galanya, bahkan aku rela mengorbankan diri untuk menolong kamu. Patutkah kamu kurang mengasihi aku, kerana aku sangat mengasihi kamu? Tentu kamu bersetuju bahawa aku tidak pernah membebani kamu. Namun ada yang berkata bahawa aku ini licik dan memperdaya kamu dengan tipu muslihat. Mana mungkin? Pernahkah aku mencari keuntungan daripada kamu melalui utusan-utusan yang aku kirim kepada kamu? Aku mengutus Titus kepada kamu dan aku menyuruh saudara Kristian yang lain menyertai dia. Adakah Titus mengambil keuntungan daripada kamu? Tidakkah dia dan aku bekerja dengan maksud yang sama, dan bertindak dengan cara yang sama? Janganlah kamu menyangka bahawa selama ini kami cuba membela diri. Allah tahu bahawa semua yang kami katakan menurut kehendak Kristus, dan segala yang kami lakukan itu semata-mata untuk membina kehidupan kamu. Aku khuatir apabila aku melawat kamu kelak, aku akan mendapati kamu berlainan daripada apa yang aku harapkan. Kamu pun akan mendapati aku berlainan daripada apa yang kamu harapkan. Aku khuatir aku akan mendapati kamu berkelahi, iri hati, lekas marah, mementingkan diri sendiri, saling menghina dan memfitnah, sombong dan suka mengacau. Aku khuatir apabila aku datang kelak, Allah akan memalukan aku di hadapan kamu. Aku akan menangis kerana banyak antara kamu yang berdosa dahulu, tidak bertaubat daripada perbuatan yang cabul, lucah, dan tidak senonoh.

2 KORINTUS 12:11-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka aku tŭlah mŭnjadi bodoh sŭbab kamŭgahan; tŭtapi kamu ini tŭlah mŭmaksa aku: kŭrna haruslah aku ini tŭlah dipuji ulih kamu: kŭrna dalam barang suatu juapun tiadalah kakoranganku deripada sagala rasul rasul yang tŭrnama itu, mŭskipun aku ini satupun tidak. Maka sŭsungguhnya sagala tanda rasul tŭlah dijalankan diantara kamu dŭngan bŭbrapa sabar, dŭngan tanda tanda, dan ajaib ajaib, dan pŭrbuatan yang amat kwasa. Kŭrna apakah kakurangannya kamu deripada sidang jŭmaah yang lain lain, hanya aku sa’orang bŭlom mŭndatangkan barang tanggongan atas kamu? maafkanlah kiranya padaku deri sŭbab kasalahan ini. Maka sŭsungguhnya pada katiga kalinya aku adalah sŭdia handak datang mŭndapatkan kamu; tŭtapi tiada aku handak mŭndatangkan barang tanggongan atas kamu: kŭrna bukannya aku mŭnchari milik kamu, hanya diri kamu: kŭrna tiada harus anak anak mŭnghimponkan barang barang bagie ibu bapanya, mŭlainkan ibu bapa juga yang harus bŭrbuat dŭmkian bagie anak anak itu. Maka dŭngan kŭrelaan hati aku handak blanja dan mŭmblanjakan diriku kŭrna kamu; maka jikalau korang kasih kamu akan daku skali pun, mŭlainkan kasihku akan kamu lempahlah juga. Tŭtapi biarlah bŭgitu, maka aku ini tiada mŭndatangkan tanggongan ka’atas kamu: kandatilah sŭbab chŭrdek, maka aku mŭnangkap kamu dŭngan tipu daya. Adakah aku mŭnchari laba deripada kamu tŭrsŭbab ulih barang sa’orang yang kusurohkan kapada kamu? Maka aku pŭsan Titus, dan tŭlah kusurohkan sa’orang saudara pŭrgi bŭrsama sama dŭngan dia. Adakah Titus mŭnchari laba deripada kamu? maka bukankah kami tŭlah mŭlakukan diri kami mŭnurot sama Roh juga? dan bukankah kami mŭnurot sama kŭsan kaki juga? Dan lagi kamu sangkakankah bahwa kami ini bŭrdalih dalih kapada kamu? maka kami bŭrkata dihadapan Allah dŭngan bŭrkat Almasih: bahwa skalian pŭrkara itu kami pŭrbuat akan mŭnjadi kŭbajikan bagie kamu juga, hie kŭkasihku. Kŭrna aku takot, apabila aku datang kŭlak kapadamu, bahwa aku tiada akan mŭndapat kamu yang spŭrti kahandakku, dan aku pun kŭlak kamu tiada dapat yang spŭrti kahandakmu: asal jangan jadi pŭrbantahan, dan kadŭngkian, dan kamarahan, dan pŭrkalahian, dan umpat, dan bisik bisik, dan hati bŭsar, dan huru hara. Lamun, jangan kŭlak apabila aku datang, Allahku mŭrŭndahkan aku diantara kamu, dan aku mŭngŭrang ulih kŭrna bŭbrapa orang yang tŭlah bŭrdosa dahulu, dan yang bŭlom bŭrtaubat deripada kachŭmarannya, dan zinah, dan pŭrchabulan yang tŭlah dipŭrbuatnya.

2 KORINTUS 12:11-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Aku telah berbangga selaku orang bodoh. Kamu telah memaksaku berbuat demikian. Sepatutnya kamu memberiku penghargaan; kerana aku tidak kurang daripada rasul-rasul terunggul itu, walaupun aku orang yang tidak penting. Tanda-tanda kerasulanku telah ditunjukkan kepadamu dengan sepenuhnya, iaitu pelbagai tanda ajaib dan mukjizat. Dari segi apakah kamu kurang daripada jemaah-jemaah lain, kecuali aku tidak membebanimu? Maafkan kesalahanku itu! Kini, bagi kali ketiga, aku bersedia mengunjungi kamu. Aku tidak akan membebani kamu, kerana aku menghendaki kamu, bukan hartamu. Tidaklah wajar anak-anak mengumpulkan harta untuk ibu bapa. Ibu bapalah yang patut mengumpulkan harta untuk anak-anak. Aku rela berbelanja malah berhabis untukmu. Oleh itu, jika kasihku semakin kulimpahkan kepadamu, wajarkah aku semakin kurang dikasihi? Walau bagaimanapun, aku tidak membebanimu. Namun demikian, aku dikatakan pandai memperdaya dan menawanmu dengan tipu helah! Pernahkah aku memperdayamu melalui orang yang telah kuutus kepadamu? Aku telah meminta Titus pergi mengunjungimu, bersama seorang lagi saudara kita. Adakah Titus memperdayamu? Tidakkah kami hidup menurut roh yang sama? Tidakkah kami bertindak dengan langkah-langkah yang sama? Adakah kamu menyangka kami membela diri di hadapanmu? Kami bersuara di hadapan Allah dalam Kristus. Kami melakukan segala-galanya untuk menguatkanmu, saudara-saudara yang kukasihi. Aku takut kalau-kalau ketika aku datang nanti, aku mendapatimu tidak seperti yang kuharapkan dan kamu mendapatiku tidak seperti yang kamu harapkan. Janganlah hendaknya ketika itu aku menemui pertengkaran, hasad dengki, kemarahan, sikap mementingkan diri, umpat-mengumpat, desas-desus, keangkuhan, dan huru-hara. Aku harap, ketika aku datang kelak, janganlah aku dipermalu oleh Allahku di hadapanmu dan bersedih kerana ramai yang dahulu berbuat dosa tetap tidak bertaubat daripada kekejian, pencabulan dan keliaran hawa nafsu dalam kehidupan mereka.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami