2 Korintus 12:11-21

2 Korintus 12:11-21 AVB

Aku telah berbangga selaku orang bodoh. Kamu telah memaksaku berbuat demikian. Sepatutnya kamu memberiku penghargaan; kerana aku tidak kurang daripada rasul-rasul terunggul itu, walaupun aku orang yang tidak penting. Tanda-tanda kerasulanku telah ditunjukkan kepadamu dengan sepenuhnya, iaitu pelbagai tanda ajaib dan mukjizat. Dari segi apakah kamu kurang daripada jemaah-jemaah lain, kecuali aku tidak membebanimu? Maafkan kesalahanku itu! Kini, bagi kali ketiga, aku bersedia mengunjungi kamu. Aku tidak akan membebani kamu, kerana aku menghendaki kamu, bukan hartamu. Tidaklah wajar anak-anak mengumpulkan harta untuk ibu bapa. Ibu bapalah yang patut mengumpulkan harta untuk anak-anak. Aku rela berbelanja malah berhabis untukmu. Oleh itu, jika kasihku semakin kulimpahkan kepadamu, wajarkah aku semakin kurang dikasihi? Walau bagaimanapun, aku tidak membebanimu. Namun demikian, aku dikatakan pandai memperdaya dan menawanmu dengan tipu helah! Pernahkah aku memperdayamu melalui orang yang telah kuutus kepadamu? Aku telah meminta Titus pergi mengunjungimu, bersama seorang lagi saudara kita. Adakah Titus memperdayamu? Tidakkah kami hidup menurut roh yang sama? Tidakkah kami bertindak dengan langkah-langkah yang sama? Adakah kamu menyangka kami membela diri di hadapanmu? Kami bersuara di hadapan Allah dalam Kristus. Kami melakukan segala-galanya untuk menguatkanmu, saudara-saudara yang kukasihi. Aku takut kalau-kalau ketika aku datang nanti, aku mendapatimu tidak seperti yang kuharapkan dan kamu mendapatiku tidak seperti yang kamu harapkan. Janganlah hendaknya ketika itu aku menemui pertengkaran, hasad dengki, kemarahan, sikap mementingkan diri, umpat-mengumpat, desas-desus, keangkuhan, dan huru-hara. Aku harap, ketika aku datang kelak, janganlah aku dipermalu oleh Allahku di hadapanmu dan bersedih kerana ramai yang dahulu berbuat dosa tetap tidak bertaubat daripada kekejian, pencabulan dan keliaran hawa nafsu dalam kehidupan mereka.