2 KORINTUS 1:12-24

2 KORINTUS 1:12-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Kami merasa bangga kerana hati nurani kami meyakinkan kami bahawa hidup kami di dunia ini, terutama sekali hubungan kami dengan kamu, dikuasai oleh keikhlasan dan ketulusan yang dikurniakan oleh Allah. Kami melakukannya bukan dengan kebijaksanaan manusia, tetapi dengan kebolehan yang diberikan oleh Allah. Kami menulis kepada kamu hanya tentang perkara yang dapat kamu baca dan fahami. Aku berharap kamu akan betul-betul memahami kami kelak, walaupun sekarang kamu kurang memahami kami. Dengan demikian pada hari Tuhan Yesus datang kelak, kamu akan bangga dengan kami, seperti kami pun akan bangga dengan kamu. Aku begitu yakin akan semua itu, sehingga pada mulanya aku bercadang hendak melawat kamu, supaya kamu boleh menerima berkat dua kali ganda. Aku bercadang hendak melawat kamu dalam perjalananku ke Makedonia dan juga dalam perjalanan kembali supaya kamu dapat membantu aku meneruskan perjalanan ke Yudea. Tetapi aku mengubah rancanganku. Adakah hal itu bererti bahawa pendirianku tidak tetap? Semasa aku mencadangkan sesuatu, adakah aku mementingkan diri sendiri sahaja, kerana sebentar berkata “Ya” dan sebentar “Tidak”? Demi Allah yang dapat dipercayai, janjiku kepada kamu bukanlah “Ya” dan “Tidak.” Hal itu demikian kerana Yesus Kristus, Anak Allah yang diisytiharkan kepada kamu oleh Silas, Timotius dan aku sendiri bukanlah “Ya” dan “Tidak.” Sebaliknya Dia itu jawapan “Ya” daripada Allah, kerana melalui Dia, Allah sudah mengatakan “Ya” kepada semua janji-Nya. Itulah sebabnya melalui Yesus Kristus, kata “Amin” kita ucapkan untuk memuliakan Allah. Allah sendirilah yang menjadikan kami dan kamu teguh bersatu dengan Kristus. Dia juga sudah memilih kita khas untuk diri-Nya sendiri. Untuk mengesahkan kita sebagai milik Allah, Allah mengurniai kita Roh Allah di dalam hati kita. Roh itu jaminan bahawa Allah akan mengurniakan semua yang sudah dijanjikan-Nya kepada kita. Allah saksiku; Dia tahu akan isi hatiku! Sebenarnya aku membatalkan lawatan ke Korintus, kerana aku tidak mahu menyedihkan hati kamu. Kami tidak mahu memaksa kamu tentang apa yang harus kamu percayai, kerana kamu sungguh-sungguh percaya kepada Kristus. Kami hanya bekerjasama dengan kamu, supaya kamu semakin berbahagia.

2 KORINTUS 1:12-24 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Kŭrna kasukaan kami dŭmkianlah, bahwa angan angan kami mŭnjadi saksi, ada pun dŭngan tulos dan ekhlas, kŭrna Allah bukannya dŭngan hikmat manusia, mŭlainkan dŭngan hikmat Allah juga, kami tŭlah bŭrlakukan diri kita dalam dunia, maka tŭrutama pula diantara kamu skalian. Kŭrna tiadalah kami tuliskan barang apa yang lain pada kamu, mŭlainkan barang yang kamu bacha atau yang kamu akui; bahwa haraplah aku pula kamu akan mŭngakui, iya itu sampie kapada kasudahannya. Adapun spŭrti kamu pun sudah mŭngaku akan kami sparoh, iya itu kami mŭnjadi kasukaan kamu, dŭmkian lagi kamu pun mŭnjadi kasukaan kami pada hari Tuhan Isa. Maka dŭngan harap dŭmkianlah niatku dahulu handak datang mŭndapatkan kamu supaya kamu bŭrulih fiedah yang kadua; Dan handak mŭlalui nŭgri kamu mŭnuju kaMakadonia, dan balik pula deri Makadonia handak datang kapada kamu, supaya kamu mŭnghantarkan aku kapada pŭrjalananku katanah Yahuda. Maka apabila aku mŭnaroh ingatan yang dŭmkian itu, adakah aku buat buat sahja? atau pŭrkara pŭrkara yang kuniatkan adakah aku niatkan itu munurot hawa nafsu, spŭrti kata aku iya iya, kumdian tidak tidak. Maka adapun bagimana Allah itu bŭnar adanya, bahwa pŭrkataan kami yang datang kapada kamu itupun bukannya iya, bukannya tidak. Kŭrna deri hal Anak Allah, Isa Almasih itu, yang kami mashorkan antara kamu, maskipun ulih aku, dan Silvanus, dan Timothius, bukannya iya, dan bukannya tidak, mŭlainkan dalamnya itu iya adanya. Kŭrna sagala pŭrjanjian Allah dalamnya itu iya adanya, dan dalamnya itu Amin, kapada kamulian Allah deripada kami. Adapun skarang iya itu yang tŭlah mŭnŭtapkan kami bŭsŭrta dŭngan kamu dalam Almasih, dan lagi pun yang tŭlah mŭlantekkan kami, iya itulah Allah adanya. Dan iyalah yang tŭlah mŭmutriekan kami, dan tŭlah mŭngurniakan haluan Roh dalam hati kami. Tambahan pula, aku mŭngaku kapada Allah mŭnjadi saksi atas jiwaku, bahwa sŭbab aku tŭlah sayang akan kamu, aku tada datang kaKorinthus. Bukannya kami mŭmŭgang prentah atas iman kamu, mŭlainkan adalah kami mŭnulong akan mŭlakukan kasukaan kamu, kŭrna dŭngan imanlah kamu ada bŭrdiri.

2 KORINTUS 1:12-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Inilah kebanggaan kami, dan hati nurani kami bersaksi demikian, iaitu dalam kalangan semua orang, terutamanya dalam kalanganmu, kami hidup di dunia dengan kesucian dan keikhlasan yang datang daripada Allah. Kami melakukan ini bukan dengan kebijaksanaan kami sebagai manusia, tetapi dengan kasih kurnia Allah. Segala yang kami tuliskan kepadamu dalam surat ini tidak mengandungi erti yang lain daripada yang kamu baca dan fahami. Aku berharap bahawa walaupun kamu baru memahami sebahagian tentang diri kami, kamu akan memahami kami sepenuhnya nanti, dan kamu akan berbangga dengan kami sebagaimana kami berbangga dengan kamu pada hari kedatangan Tuhan kita Yesus. Oleh sebab keyakinan itulah maka aku pernah berniat ke tempatmu lebih dahulu, supaya kamu mendapat berkat dua kali. Niatku dahulu ialah singgah di tempatmu dalam perjalanan ke Makedonia, dan dari Makedonia datang ke tempatmu lagi untuk meminta kamu menolongku meneruskan perjalanan ke Yudea. Jika aku merancang begitu, adakah ini menunjukkan aku tidak berpendirian tetap? Atau adakah aku merancang seperti orang duniawi, demikian mudah berkata “ya” dan “tidak” pada saat yang sama? Demi Allah Yang Maha Setia, apa yang kami katakan kepadamu bukanlah “ya” atau “tidak.” Sebabnya Yesus Kristus, Anak Allah yang telah disampaikan berita-Nya kepadamu oleh aku, Silwanus dan Timotius, bukanlah “ya” dan “tidak,” tetapi pada-Nya ada “ya” semata-mata. Yesus adalah “ya” bagi semua janji Allah. Oleh itulah melalui-Nya kita menyebut “Amin” demi kemuliaan Allah. Allah telah menentukan kami bersama kamu dalam Kristus. Dia telah melantik kita, menandakan kita dengan materai-Nya, dan mengurniakan Roh-Nya untuk masuk ke hati kita sebagai jaminan. Aku berseru kepada Allah untuk menjadi saksi terhadap jiwaku, bahawa sebabnya aku belum juga ke Korintus ialah kerana kasihku kepadamu. Kami bukanlah berhasrat memberikan perintah tentang apa yang harus kamu percayai; kamu sudah berdiri teguh dalam keyakinanmu. Kami mahu bekerja bersama kamu demi kebahagiaanmu.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami