2 Korintus 1:12-24

2 Korintus 1:12-24 AVB

Inilah kebanggaan kami, dan hati nurani kami bersaksi demikian, iaitu dalam kalangan semua orang, terutamanya dalam kalanganmu, kami hidup di dunia dengan kesucian dan keikhlasan yang datang daripada Allah. Kami melakukan ini bukan dengan kebijaksanaan kami sebagai manusia, tetapi dengan kasih kurnia Allah. Segala yang kami tuliskan kepadamu dalam surat ini tidak mengandungi erti yang lain daripada yang kamu baca dan fahami. Aku berharap bahawa walaupun kamu baru memahami sebahagian tentang diri kami, kamu akan memahami kami sepenuhnya nanti, dan kamu akan berbangga dengan kami sebagaimana kami berbangga dengan kamu pada hari kedatangan Tuhan kita Yesus. Oleh sebab keyakinan itulah maka aku pernah berniat ke tempatmu lebih dahulu, supaya kamu mendapat berkat dua kali. Niatku dahulu ialah singgah di tempatmu dalam perjalanan ke Makedonia, dan dari Makedonia datang ke tempatmu lagi untuk meminta kamu menolongku meneruskan perjalanan ke Yudea. Jika aku merancang begitu, adakah ini menunjukkan aku tidak berpendirian tetap? Atau adakah aku merancang seperti orang duniawi, demikian mudah berkata “ya” dan “tidak” pada saat yang sama? Demi Allah Yang Maha Setia, apa yang kami katakan kepadamu bukanlah “ya” atau “tidak.” Sebabnya Yesus Kristus, Anak Allah yang telah disampaikan berita-Nya kepadamu oleh aku, Silwanus dan Timotius, bukanlah “ya” dan “tidak,” tetapi pada-Nya ada “ya” semata-mata. Yesus adalah “ya” bagi semua janji Allah. Oleh itulah melalui-Nya kita menyebut “Amin” demi kemuliaan Allah. Allah telah menentukan kami bersama kamu dalam Kristus. Dia telah melantik kita, menandakan kita dengan materai-Nya, dan mengurniakan Roh-Nya untuk masuk ke hati kita sebagai jaminan. Aku berseru kepada Allah untuk menjadi saksi terhadap jiwaku, bahawa sebabnya aku belum juga ke Korintus ialah kerana kasihku kepadamu. Kami bukanlah berhasrat memberikan perintah tentang apa yang harus kamu percayai; kamu sudah berdiri teguh dalam keyakinanmu. Kami mahu bekerja bersama kamu demi kebahagiaanmu.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan 2 Korintus 1:12-24