2 TAWARIKH 6:12-21
2 TAWARIKH 6:12-21 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian di hadapan rakyat, Raja Salomo berdiri menghadap mazbah. Baginda mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdoa. ( Raja Salomo telah membina sebuah pentas daripada gangsa dan meletakkannya di tengah-tengah halaman itu. Ukurannya 2.2 meter persegi, dan tingginya 1.3 meter. Di hadapan semua orang yang hadir, baginda naik ke atas pentas itu lalu berlutut. Kemudian baginda mengangkat kedua-dua tangannya ke langit.) Baginda berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, tiada yang seperti Engkau di langit atau di bumi. Engkau menepati perjanjian-Mu dengan umat-Mu, dan Engkau menunjukkan kasih-Mu kepada mereka apabila mereka taat kepada-Mu dengan segenap hati. Engkau telah menepati janji-Mu kepada bapaku Daud. Pada hari ini, Engkau menepati apa yang telah Engkau janjikan. Oleh itu, ya TUHAN, Allah Israel, tepatilah juga janji yang satu lagi kepada bapaku. Engkau berfirman kepadanya bahawa daripada keturunannya, akan sentiasa ada seorang untuk memerintah sebagai raja Israel, asalkan mereka taat kepada Taurat-Mu seperti Raja Daud. Oleh itu, ya TUHAN, Allah Israel, tepatilah semua yang telah Engkau janjikan kepada bapaku Raja Daud, hamba-Mu itu. Tetapi, ya Allah, sungguhkah Engkau sudi tinggal di bumi ini, di kalangan manusia? Bahkan seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu, apalagi Rumah yang telah aku bina! Ya TUHAN, Allahku, aku hamba-Mu. Dengarkanlah doaku, dan kabulkanlah permohonanku. Lindungilah Rumah ini siang dan malam. Engkau telah berjanji bahawa inilah tempat orang beribadat kepada-Mu. Dengarkanlah aku apabila aku menghadap Rumah ini dan berdoa kepada-Mu. Dengarkanlah doaku dan doa umat-Mu Israel apabila mereka menghadap tempat ini dan berdoa. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah kami dan ampunilah kami.
2 TAWARIKH 6:12-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Salomo berdiri menghadap mazbah TUHAN, di hadapan seluruh jemaah Israel, lalu menadahkan tangannya. Memang Salomo telah membuat mimbar gangsa yang sepanjang lima hasta, selebar lima hasta, dan setinggi tiga hasta. Dia meletakkan mimbar itu di tengah-tengah halaman, berdiri di atasnya, lalu berlutut di hadapan seluruh jemaah Israel sambil menadahkan tangannya ke langit. Katanya, “Ya TUHAN, Allah Israel, tidak ada Allah yang seperti Engkau, baik di langit mahupun di bumi. Engkau berpegang teguh pada perjanjian dan kasih abadi bagi hamba-hamba-Mu yang hidup di hadapan-Mu dengan segenap hati mereka. Engkau yang berpegang teguh pada apa yang Kaujanjikan kepada hamba-Mu Daud, ayahku. Engkau sendiri telah berfirman lalu mengotakannya dengan kuasa-Mu, seperti yang terjadi pada hari ini. Sekarang, ya TUHAN, Allah Israel, peganglah apa yang telah Kaujanjikan kepada hamba-Mu Daud, ayahku, dengan berfirman, ‘Di hadapan-Ku, tidak akan terputus keturunanmu yang akan duduk di atas takhta kerajaan Israel, asalkan anak-anakmu tetap hidup menurut hukum Taurat, sebagaimana engkau telah hidup di hadapan-Ku.’ Sekarang, ya TUHAN, Allah Israel, biarlah terbukti firman yang Kausampaikan kepada hamba-Mu Daud. Akan tetapi, sungguhkah Allah mahu tinggal bersama-sama manusia di atas bumi? Sesungguhnya, langit bahkan langit di atas segala langit pun tidak dapat memuat Engkau, apa lagi bait yang kubangunkan ini! Tiliklah doa dan permohonan hamba-Mu ini, ya TUHAN, Allahku. Dengarlah seruan dan doa yang hamba-Mu panjatkan di hadirat-Mu ini. Semoga siang dan malam mata-Mu terbuka terhadap bait ini, terhadap tempat yang Kaufirmankan bahawa Engkau akan menegakkan nama-Mu di sini. Dengarlah doa yang dipanjatkan hamba-Mu dengan menghadap ke tempat ini. Dengarlah kiranya permohonan hamba-Mu dan umat-Mu Israel ketika mereka berdoa dengan menghadap ke tempat ini. Dengarlah dari tempat tinggal-Mu di syurga, dan ampunilah kami ketika Engkau mendengarkannya.