Salomo berdiri menghadap mazbah TUHAN, di hadapan seluruh jemaah Israel, lalu menadahkan tangannya. Memang Salomo telah membuat mimbar gangsa yang sepanjang lima hasta, selebar lima hasta, dan setinggi tiga hasta. Dia meletakkan mimbar itu di tengah-tengah halaman, berdiri di atasnya, lalu berlutut di hadapan seluruh jemaah Israel sambil menadahkan tangannya ke langit. Katanya, “Ya TUHAN, Allah Israel, tidak ada Allah yang seperti Engkau, baik di langit mahupun di bumi. Engkau berpegang teguh pada perjanjian dan kasih abadi bagi hamba-hamba-Mu yang hidup di hadapan-Mu dengan segenap hati mereka. Engkau yang berpegang teguh pada apa yang Kaujanjikan kepada hamba-Mu Daud, ayahku. Engkau sendiri telah berfirman lalu mengotakannya dengan kuasa-Mu, seperti yang terjadi pada hari ini. Sekarang, ya TUHAN, Allah Israel, peganglah apa yang telah Kaujanjikan kepada hamba-Mu Daud, ayahku, dengan berfirman, ‘Di hadapan-Ku, tidak akan terputus keturunanmu yang akan duduk di atas takhta kerajaan Israel, asalkan anak-anakmu tetap hidup menurut hukum Taurat, sebagaimana engkau telah hidup di hadapan-Ku.’ Sekarang, ya TUHAN, Allah Israel, biarlah terbukti firman yang Kausampaikan kepada hamba-Mu Daud.
Akan tetapi, sungguhkah Allah mahu tinggal bersama-sama manusia di atas bumi? Sesungguhnya, langit bahkan langit di atas segala langit pun tidak dapat memuat Engkau, apa lagi bait yang kubangunkan ini! Tiliklah doa dan permohonan hamba-Mu ini, ya TUHAN, Allahku. Dengarlah seruan dan doa yang hamba-Mu panjatkan di hadirat-Mu ini. Semoga siang dan malam mata-Mu terbuka terhadap bait ini, terhadap tempat yang Kaufirmankan bahawa Engkau akan menegakkan nama-Mu di sini. Dengarlah doa yang dipanjatkan hamba-Mu dengan menghadap ke tempat ini. Dengarlah kiranya permohonan hamba-Mu dan umat-Mu Israel ketika mereka berdoa dengan menghadap ke tempat ini. Dengarlah dari tempat tinggal-Mu di syurga, dan ampunilah kami ketika Engkau mendengarkannya.