2 TAWARIKH 35:20-27
2 TAWARIKH 35:20-27 Alkitab Berita Baik (BM)
Selepas Raja Yosia melakukan segala hal itu bagi Rumah TUHAN, Raja Nekho dari Mesir memimpin tenteranya untuk bertempur di Karkemis dekat Sungai Efrat. Raja Yosia cuba menghalang Raja Nekho, tetapi Raja Nekho mengirim berita ini kepadanya, “Perang ini tidak berkaitan dengan tuanku, raja Yehuda. Beta datang bukan untuk melawan tuanku, tetapi melawan musuh beta sendiri. Allah telah menyuruh beta bertindak dengan cepat. Dia sendiri memihak beta, oleh itu jangan lawan beta. Jika tuanku melawan beta, Allah akan memusnahkan tuanku.” Tetapi Raja Yosia berkeras untuk pergi berperang. Baginda tidak menghiraukan firman Allah melalui Raja Nekho. Raja Yosia menyamar lalu bertempur di dataran rendah Megido. Dalam pertempuran itu, Raja Yosia dipanah oleh askar Mesir. Lalu baginda bertitah kepada hamba-hambanya, “Beta cedera parah! Bawalah beta keluar dari sini.” Mereka memindahkan Raja Yosia dari kereta kudanya ke kereta kuda yang lain, lalu membawanya ke Yerusalem. Raja Yosia mangkat di Yerusalem lalu dimakamkan di makam diraja. Semua penduduk Yehuda dan Yerusalem berkabung kerana kemangkatan baginda. Nabi Yeremia mengarang sebuah lagu ratapan bagi Raja Yosia. Di Israel sampai sekarang, lagu itu dinyanyikan oleh para penyanyi, baik lelaki mahupun perempuan, dalam peringatan perkabungan untuk Raja Yosia. Lagu itu dimasukkan dalam kumpulan lagu ratapan. Semua perbuatan Raja Yosia, baik kasihnya kepada TUHAN, ketaatannya kepada Taurat mahupun sejarah hidupnya dari permulaan hingga akhir, tercatat di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Israel dan Yehuda.
2 TAWARIKH 35:20-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sesudah semua itu, ketika Bait Allah telah diperlengkap oleh Yosia, majulah Nekho, raja Mesir, untuk berperang di Karkemis, di tepi Sungai Efrat. Yosia pun keluar menghadapinya. Tetapi Nekho mengirim utusan kepadanya dengan pesan, “Apakah urusanmu dengan aku, wahai raja Yehuda? Pada hari ini aku tidak bermaksud menyerang engkau, melainkan menyerang keluarga orang yang sedang kuperangi. Allah menyuruh aku bertindak cepat. Berhentilah menentang Allah yang menyertaiku, supaya jangan engkau dibinasakan-Nya.” Namun demikian, Yosia tidak mahu berpaling daripadanya, malah menyamar untuk berperang melawannya. Dia tidak mengendahkan perkataan Nekho yang berasal daripada Allah, malah pergi berperang di Lembah Megido. Raja Yosia tertembak oleh para pemanah, lalu katanya kepada para pegawainya, “Bawalah aku dari sini, kerana aku terluka parah!” Maka para pegawainya mengangkatnya dari ratanya, meletakkannya di dalam ratanya yang kedua lantas membawanya ke Yerusalem. Dia meninggal, lalu dimakamkan di permakaman leluhurnya. Yehuda dan Yerusalem berkabung kerana Yosia. Yeremia mengarang sebuah syair ratapan tentang Yosia. Sampai hari ini semua penyanyi lelaki dan perempuan menyebut-nyebut Yosia dalam syair ratapan mereka. Hal itu menjadi adat di Israel. Sesungguhnya, semua itu tertulis dalam nyanyian ratapan. Riwayat Yosia yang selebihnya dan segala perbuatan baiknya, selaras dengan yang tertulis dalam hukum TUHAN, iaitu riwayatnya dari awal sampai akhir, sesungguhnya semua itu tertulis dalam kitab raja-raja Israel dan Yehuda.