2 Tawarikh 35:20-27

2 Tawarikh 35:20-27 AVB

Sesudah semua itu, ketika Bait Allah telah diperlengkap oleh Yosia, majulah Nekho, raja Mesir, untuk berperang di Karkemis, di tepi Sungai Efrat. Yosia pun keluar menghadapinya. Tetapi Nekho mengirim utusan kepadanya dengan pesan, “Apakah urusanmu dengan aku, wahai raja Yehuda? Pada hari ini aku tidak bermaksud menyerang engkau, melainkan menyerang keluarga orang yang sedang kuperangi. Allah menyuruh aku bertindak cepat. Berhentilah menentang Allah yang menyertaiku, supaya jangan engkau dibinasakan-Nya.” Namun demikian, Yosia tidak mahu berpaling daripadanya, malah menyamar untuk berperang melawannya. Dia tidak mengendahkan perkataan Nekho yang berasal daripada Allah, malah pergi berperang di Lembah Megido. Raja Yosia tertembak oleh para pemanah, lalu katanya kepada para pegawainya, “Bawalah aku dari sini, kerana aku terluka parah!” Maka para pegawainya mengangkatnya dari ratanya, meletakkannya di dalam ratanya yang kedua lantas membawanya ke Yerusalem. Dia meninggal, lalu dimakamkan di permakaman leluhurnya. Yehuda dan Yerusalem berkabung kerana Yosia. Yeremia mengarang sebuah syair ratapan tentang Yosia. Sampai hari ini semua penyanyi lelaki dan perempuan menyebut-nyebut Yosia dalam syair ratapan mereka. Hal itu menjadi adat di Israel. Sesungguhnya, semua itu tertulis dalam nyanyian ratapan. Riwayat Yosia yang selebihnya dan segala perbuatan baiknya, selaras dengan yang tertulis dalam hukum TUHAN, iaitu riwayatnya dari awal sampai akhir, sesungguhnya semua itu tertulis dalam kitab raja-raja Israel dan Yehuda.