2 TAWARIKH 24:13-16
2 TAWARIKH 24:13-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Semua tukang itu bekerja keras, dan mereka membaiki Rumah TUHAN sehingga menjadi kukuh dan baik seperti dahulu. Setelah pekerjaan itu selesai, lebihan emas, dan perak itu diberikan kepada raja dan Yoyada. Emas dan perak itu digunakan untuk membuat perkakas-perkakas bagi Rumah TUHAN: alat-alat untuk upacara ibadat dan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan juga mangkuk-mangkuk, serta alat-alat lain. Selama Yoyada hidup, korban untuk menyenangkan hati TUHAN selalu dipersembahkan di Rumah TUHAN. Yoyada mencapai umur yang sangat lanjut dan meninggal ketika dia berumur 130 tahun. Dia dikebumikan di makam diraja di Kota Daud, sebagai penghargaan bagi jasanya kepada Allah, Rumah TUHAN, dan umat Israel.
2 TAWARIKH 24:13-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Para pekerja itu pun bekerja, dan pekerjaan perbaikan itu maju dalam tangan mereka. Mereka membangunkan Rumah Allah menurut keadaannya semula dan mengukuhkannya. Setelah selesai, mereka membawa wang sisanya kepada raja dan Yoyada. Wang itu kemudian digunakan untuk membuat kelengkapan Bait TUHAN, iaitu kelengkapan-kelengkapan untuk ibadat dan persembahan korban, juga pedupaan-pedupaan serta kelengkapan-kelengkapan emas dan perak. Sepanjang hayat Yoyada korban bakaran sentiasa dipersembahkan di dalam Bait TUHAN. Yoyada menjadi tua dan lanjut usia, lalu meninggal. Umurnya seratus tiga puluh tahun pada waktu kematiannya. Dia dikebumikan di Kota Daud bersama-sama para raja kerana dia telah berbuat baik di Israel terhadap Allah dan Bait-Nya.