2 Tawarikh 24
24
Raja Yoas
1Yoas berumur tujuh tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama empat puluh tahun di Yerusalem. Nama ibunya ialah Zibya, dari Bersyeba. 2Yoas melakukan apa yang benar di mata TUHAN selama Imam Yoyada hidup. 3Yoyada memilih dua orang isteri baginya, lalu Yoas pun dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan.
4Beberapa waktu kemudian Yoas berniat memulihkan Bait TUHAN. 5Maka dikumpulkannyalah para imam dan bani Lewi, lalu katanya kepada mereka, “Pergilah ke kota-kota Yehuda dan pungutlah wang daripada semua orang Israel untuk keperluan pembaikan Bait Allahmu setiap tahun. Lakukanlah hal itu dengan segera!” Akan tetapi, bani Lewi tidak segera melaksanakannya. 6#Kel 30:11-16.Oleh sebab itu raja memanggil Ketua Imam, Yoyada dan berkata kepadanya, “Mengapakah engkau tidak menuntut bani Lewi agar mereka membawa dari Yehuda dan dari Yerusalem cukai yang dikenakan Musa, hamba TUHAN itu, kepada jemaah Israel untuk khemah tempat loh hukum?
7Kerana anak-anak Atalya, perempuan fasiq itu, telah membongkar Rumah Allah, bahkan menggunakan semua barang suci Bait TUHAN untuk para Baal.”
8Maka atas perintah raja dibuatlah sebuah peti lalu ditempatkan di luar pintu gerbang Bait TUHAN. 9Setelah itu, disebarkanlah pengumuman di Yehuda dan Yerusalem bahawa mereka harus mempersembahkan kepada TUHAN cukai yang dikenakan Musa, hamba Allah itu, terhadap orang Israel di gurun. 10Semua pembesar dan seluruh rakyat bergembira. Mereka pun membawa cukai masing-masing dan memasukkannya ke dalam peti itu sampai penuh. 11Setiap kali, bani Lewi membawa peti itu kepada petugas raja, dan ketika mereka melihat bahawa wang di dalamnya sudah banyak, maka datanglah jurutulis raja serta petugas daripada ketua imam untuk mengosongkan peti itu. Selanjutnya mereka membawa peti itu kembali ke tempatnya. Demikianlah dilakukan mereka setiap hari, dan banyaklah wang yang terkumpul.
12Raja dan Yoyada menyerahkan wang itu kepada para pekerja yang melaksanakan pekerjaan di Bait TUHAN. Mereka ini mengupah tukang batu dan tukang pahat untuk memulihkan Bait TUHAN, juga tukang besi dan tukang gangsa untuk memperbaik Bait TUHAN. 13Para pekerja itu pun bekerja, dan pekerjaan perbaikan itu maju dalam tangan mereka. Mereka membangunkan Rumah Allah menurut keadaannya semula dan mengukuhkannya. 14Setelah selesai, mereka membawa wang sisanya kepada raja dan Yoyada. Wang itu kemudian digunakan untuk membuat kelengkapan Bait TUHAN, iaitu kelengkapan-kelengkapan untuk ibadat dan persembahan korban, juga pedupaan-pedupaan serta kelengkapan-kelengkapan emas dan perak. Sepanjang hayat Yoyada korban bakaran sentiasa dipersembahkan di dalam Bait TUHAN.
Yoas melupakan jasa Yoyada
15Yoyada menjadi tua dan lanjut usia, lalu meninggal. Umurnya seratus tiga puluh tahun pada waktu kematiannya. 16Dia dikebumikan di Kota Daud bersama-sama para raja kerana dia telah berbuat baik di Israel terhadap Allah dan Bait-Nya.
17Setelah kematian Yoyada, para pembesar Yehuda datang dan sujud memberi hormat kepada raja. Sejak saat itu, raja mendengar mereka. 18Mereka mengabaikan Bait TUHAN, Allah nenek moyang mereka, lalu beribadat kepada patung-patung Asyera dan berhala-berhala. Yehuda dan Yerusalem pun ditimpa murka kerana kesalahan mereka itu. 19Bagaimanapun, TUHAN mengutus para nabi kepada mereka supaya mereka kembali kepada-Nya. Nabi-nabi itu mengingatkan mereka, tetapi mereka tidak mahu mendengar. 20#Mat 23:35; Luk 11:51.Kemudian Roh Allah menguasai Zakharia, anak Imam Yoyada. Dia tampil di depan rakyat dan berkata kepada mereka, “Beginilah firman Allah, ‘Mengapakah kamu melanggar perintah-perintah TUHAN sehingga kamu tidak beruntung? Kerana kamu meninggalkan TUHAN, maka Dia pun meninggalkan kamu.’ ” 21Akan tetapi, mereka bersekongkol melawannya, dan atas perintah raja mereka melempari dia dengan batu di pelataran Bait TUHAN. 22Raja Yoas tidak mengingat kebaikan yang ditunjukkan Yoyada, ayah Zakharia, kepadanya. Malah dia membunuh anak Yoyada itu. Menjelang kematiannya Zakharia berseru, “Semoga TUHAN melihatnya dan menuntut balas!”
Kematian Yoas
23Pada pergantian tahun, pasukan Aram maju menyerang Yoas. Mereka memasuki Yehuda dan Yerusalem lalu membunuh semua pemimpin bangsa di antara rakyat. Lalu mereka mengirimkan semua jarahan mereka kepada raja Damsyik. 24Meskipun pasukan Aram datang dengan orang yang tidak banyak bilangannya, TUHAN menyerahkan pasukan yang sangat besar ke tangan mereka, kerana orang Yehuda telah meninggalkan TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Demikianlah orang Aram menjalankan hukuman terhadap Yoas. 25Ketika mereka pergi, mereka meninggalkan Yoas dalam keadaan terluka parah. Pegawai-pegawainya pun kemudian bersekongkol melawannya kerana penumpahan darah anak Imam Yoyada itu, lalu membunuhnya di atas tempat tidurnya. Yoas mati dan dimakamkan di Kota Daud, tetapi tidak di permakaman raja. 26Orang yang bersekongkol melawannya ialah Zabad, anak Simeat perempuan Amon, dan Yozabad, anak Simrit perempuan Moab. 27Tentang anak-anaknya, pernyataan ilahi yang banyak menentang dia, dan pemulihan Rumah Allah, sesungguhnya semua itu tertulis dalam tafsiran kitab raja-raja. Maka Amazia, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.
Terpilih Sekarang Ini:
2 Tawarikh 24: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited