2 TAWARIKH 20:20-30

2 TAWARIKH 20:20-30 Alkitab Berita Baik (BM)

Keesokan paginya mereka semua pergi ke padang gurun dekat Tekoa. Ketika mereka berangkat, Raja Yosafat bertitah kepada mereka, “Hai penduduk Yehuda dan Yerusalem, percayalah kepada TUHAN, Allah kamu, maka kamu akan sanggup bertahan! Percayalah kepada nasihat nabi-nabi-Nya, maka kamu akan berjaya.” Setelah berunding dengan rakyat, raja memerintah beberapa orang penyanyi supaya memakai pakaian yang biasanya dipakai pada upacara-upacara agama. Para penyanyi itu mesti berjalan di hadapan tentera sambil menyanyi, “Pujilah TUHAN! Kasih-Nya kekal abadi!” Apabila mereka mula menyanyi, TUHAN menimbulkan kekacauan di tengah-tengah musuh yang hendak menyerang mereka. Tentera Amon dan Moab menyerang tentera Edom dan memusnahkannya sama sekali. Kemudian mereka pula menyerang satu sama lain dengan sengit. Apabila tentera Yehuda sampai di sebuah menara di padang gurun, mereka memandang ke arah musuh dan nampak semua musuh mati terlentang di tanah. Tiada seorang pun daripada tentera musuh yang hidup. Raja Yosafat dan tenteranya pergi menjarah harta barang-barang musuh. Mereka mendapat banyak ternakan, bekalan, pakaian, dan barang-barang berharga. Selama tiga hari mereka mengumpulkan barang jarahan itu, tetapi mereka tidak dapat mengambil semuanya kerana barang-barang itu terlalu banyak. Pada hari keempat, mereka berkumpul di Lembah Beraka, lalu memuji TUHAN bagi segala yang telah dilakukan-Nya. Itulah sebabnya lembah itu dinamakan Lembah Beraka. Demikianlah Raja Yosafat memimpin tenteranya kembali ke Yerusalem dengan kemenangan, kerana TUHAN telah mengalahkan musuh mereka. Ketika mereka sampai di kota, mereka pergi ke Rumah TUHAN, dengan iringan kecapi dan trompet. Tiap-tiap bangsa menjadi takut apabila mendengar tentang cara TUHAN mengalahkan musuh Israel. Dengan demikian Raja Yosafat dapat memerintah dengan aman, dan Allah memberi Raja Yosafat ketenteraman di seluruh negeri.

2 TAWARIKH 20:20-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Keesokan harinya mereka bangun pagi-pagi lalu pergi ke kawasan gersang Tekoa. Ketika mereka hendak pergi, berdirilah Yosafat dan berkata, “Dengarlah aku, wahai orang Yehuda dan penduduk Yerusalem! Percayalah kepada TUHAN, Allahmu, maka kamu akan tetap teguh. Percayalah kepada para nabi-Nya, maka kamu akan berjaya.” Setelah berunding dengan rakyat, dia mengangkat kalangan yang akan menyanyi bagi TUHAN dan memuji Dia dengan pakaian suci sambil berjalan di depan kalangan yang bersenjata; demikianlah nyanyian mereka, “Mengucap syukurlah kepada TUHAN, kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya.” Pada waktu mereka mulai bersorak-sorai dan menyanyikan puji-pujian, TUHAN mengadakan pengadangan terhadap bani Amon, bani Moab, dan orang Pergunungan Seir yang datang menyerang Yehuda, sehingga mereka semua dikalahkan. Bani Amon dan Moab bangkit melawan penduduk Pergunungan Seir lalu menumpas dan membinasakan mereka. Setelah memusnahkan penduduk Seir, mereka saling membinasakan sesama sendiri. Ketika orang Yehuda sampai ke tempat peninjauan di gurun dan memandang ke arah pasukan itu, tampaklah mayat bergelimpangan di tanah. Tidak ada yang terselamat. Kemudian Yosafat dan pasukannya datang untuk menjarah barang-barang musuh. Mereka mendapati banyak harta benda di situ, juga barang-barang berharga. Semuanya diambil mereka bagi diri mereka sendiri sampai mereka tidak dapat membawanya lagi. Tiga hari lamanya mereka menjarah barang-barang itu kerana begitu banyaknya. Pada hari keempat mereka berkumpul di Lembah Berkat, lalu di sana mereka memuji-muji TUHAN. Itulah sebabnya tempat itu dinamai Lembah Berkat sampai hari ini. Setelah itu, kembalilah semua orang Yehuda dan Yerusalem di bawah pimpinan Yosafat. Mereka kembali ke Yerusalem dengan sukacita, kerana TUHAN telah membuat mereka bersukacita atas kekalahan musuh-musuh mereka. Mereka memasuki Yerusalem dengan diiringi bunyi gambus, kecapi, dan nafiri, lalu menuju Bait TUHAN. Rasa takut daripada Allah melanda semua kerajaan negeri-negeri lain ketika mereka mendengar bahawa TUHAN telah memerangi musuh-musuh Israel. Maka sentosalah kerajaan Yosafat, kerana Allahnya mengurniainya ketenteraman di segala penjuru.