2 Tawarikh 20:20-30

2 Tawarikh 20:20-30 AVB

Keesokan harinya mereka bangun pagi-pagi lalu pergi ke kawasan gersang Tekoa. Ketika mereka hendak pergi, berdirilah Yosafat dan berkata, “Dengarlah aku, wahai orang Yehuda dan penduduk Yerusalem! Percayalah kepada TUHAN, Allahmu, maka kamu akan tetap teguh. Percayalah kepada para nabi-Nya, maka kamu akan berjaya.” Setelah berunding dengan rakyat, dia mengangkat kalangan yang akan menyanyi bagi TUHAN dan memuji Dia dengan pakaian suci sambil berjalan di depan kalangan yang bersenjata; demikianlah nyanyian mereka, “Mengucap syukurlah kepada TUHAN, kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya.” Pada waktu mereka mulai bersorak-sorai dan menyanyikan puji-pujian, TUHAN mengadakan pengadangan terhadap bani Amon, bani Moab, dan orang Pergunungan Seir yang datang menyerang Yehuda, sehingga mereka semua dikalahkan. Bani Amon dan Moab bangkit melawan penduduk Pergunungan Seir lalu menumpas dan membinasakan mereka. Setelah memusnahkan penduduk Seir, mereka saling membinasakan sesama sendiri. Ketika orang Yehuda sampai ke tempat peninjauan di gurun dan memandang ke arah pasukan itu, tampaklah mayat bergelimpangan di tanah. Tidak ada yang terselamat. Kemudian Yosafat dan pasukannya datang untuk menjarah barang-barang musuh. Mereka mendapati banyak harta benda di situ, juga barang-barang berharga. Semuanya diambil mereka bagi diri mereka sendiri sampai mereka tidak dapat membawanya lagi. Tiga hari lamanya mereka menjarah barang-barang itu kerana begitu banyaknya. Pada hari keempat mereka berkumpul di Lembah Berkat, lalu di sana mereka memuji-muji TUHAN. Itulah sebabnya tempat itu dinamai Lembah Berkat sampai hari ini. Setelah itu, kembalilah semua orang Yehuda dan Yerusalem di bawah pimpinan Yosafat. Mereka kembali ke Yerusalem dengan sukacita, kerana TUHAN telah membuat mereka bersukacita atas kekalahan musuh-musuh mereka. Mereka memasuki Yerusalem dengan diiringi bunyi gambus, kecapi, dan nafiri, lalu menuju Bait TUHAN. Rasa takut daripada Allah melanda semua kerajaan negeri-negeri lain ketika mereka mendengar bahawa TUHAN telah memerangi musuh-musuh Israel. Maka sentosalah kerajaan Yosafat, kerana Allahnya mengurniainya ketenteraman di segala penjuru.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan 2 Tawarikh 20:20-30