1 TIMOTIUS 6:11-20

1 TIMOTIUS 6:11-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Tetapi engkau, hai orang yang melakukan kehendak Allah, jauhkanlah dirimu daripada segala perkara itu. Berusahalah supaya sentiasa melakukan kehendak Allah, hidup beribadat, sentiasa percaya kepada Kristus, mengasihi saudara seiman, tabah menghadapi penderitaan, dan bersikap lemah-lembut. Berjuanglah sungguh-sungguh untuk hidup sebagai orang Kristian yang setia, supaya engkau merebut hadiah hidup sejati dan kekal, kerana untuk hidup itulah Allah memanggil engkau apabila engkau mengaku percaya kepada Kristus di hadapan banyak orang. Di hadapan Allah yang memberikan nyawa kepada semua makhluk, dan juga di hadapan Kristus Yesus yang memberikan kesaksian yang benar kepada Pontius Pilatus, aku menggesa engkau: Taatilah semua perintah itu dengan saksama supaya orang tidak dapat mencelamu, sehingga pada hari Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali. Kedatangan-Nya akan ditentukan pada waktu yang tepat oleh Allah sendiri. Dialah Penguasa Satu-satunya, Raja Yang Terutama dan Tuhan Yang Agung. Dialah satu-satunya yang hidup selama-lamanya. Dia hidup dalam cahaya yang tidak dapat didekati oleh sesiapa pun. Tiada seorang pun pernah melihat Dia atau dapat melihat-Nya. Hendaklah Dia selalu dihormati dan berkuasa selama-lamanya! Amin. Nasihatilah orang yang kaya dengan harta dunia, supaya jangan sombong dan jangan bergantung kepada barang-barang yang tidak tetap, seperti kekayaan. Berharaplah kepada Allah yang mengurniai kita segala sesuatu dengan berlimpah-limpah untuk dinikmati. Nasihatilah mereka supaya berbuat baik, supaya rajin berbuat kebajikan, murah hati, dan suka memberi. Dengan jalan ini mereka mengumpulkan harta yang akan menjadi asas yang kukuh untuk masa depan. Dengan demikian mereka akan mendapat hidup kekal iaitu hidup sejati. Timotius, jagalah baik-baik apa yang telah dipercayakan kepadamu. Jauhkanlah dirimu daripada percakapan yang tidak berguna dan perdebatan yang sia-sia tentang hal-hal yang disebut orang sebagai “Pengetahuan”.

1 TIMOTIUS 6:11-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Akan tŭtapi angkau, hie kaum Allah, jauhkanlah sagala pŭrkara itu; turotlah akan kabŭnaran, dan ibadat, dan iman, dan pŭngasihan, dan sabar, dan hati yang lŭmah lŭmbut. Bŭrpranglah akan prang yang baik deri hal iman, dan chapiekanlah akan slamat kŭkal itu, maka dalam hal yang dŭmkianlah angkau tŭlah dipileh, dan tŭlah mŭngaku akan pŭngakuan yang baik dihadapan bŭbrapa saksi. Maka aku amanatkanlah kapadamu dihadapan Allah, yang mŭnghidopkan sagala sŭsuatu, dan dihadapan Isa Almasih, yang tŭlah bŭrsaksi dihadapan Pontius Pilatus itu, dŭngan pŭngakuan yang baik. Supaya angkau mŭmliharakan pŭsanan ini, dŭngan tiada bŭrchachat, dan tiada dapat ditŭgorkan sampie kapada kanyataan Tuhan kami Isa Almasih, Yang kŭlak pada masanya akan ditunjokkan ulih Allah, maka iyalah sa’orang bŭrbahgia, dan hanya Soltan dan Raja sagala raja, dan Tuhan sagala tuan. Mŭlainkan iyalah yang mŭmpunyai pri yang tiada bŭrkamatian, dan mŭndudokki dalam trang yang tiada dapat dihampiri; maka iya itu bŭlom pŭrnah dilihat orang, atau bulih dilihat: maka kapadanyalah kiranya kamulian dan kwasa yang kŭkal, Amin. Amanatkanlah baik baik pada orang orang kaya dalam dunia ini, supaya jangan iya mŭmbŭsarkan dirinya, atau janganlah diharapkannya akan kŭkayaan yang tiada tŭntu itu, mŭlainkan kapada Allah yang hidop, yang tŭlah mŭmbri kapada kami dŭngan kŭkayaan sagala sŭsuatu akan mŭnjadi kasukaan. Supaya marika itu bŭrbuat baik, sŭrta mŭnjadi kaya dalam pŭkŭrjaan yang baik, dan sŭdia handak mŭmbahgi, dan suka bŭrjinak jinak. Sŭrta bŭrbŭkal bagie dirinya suatu alas yang baik, pada masa yang akan datang, supaya marika itu bulih mŭnchapie akan slamat kŭkal itu. Hie Timothius, pliharakanlah sagala pŭrkara yang tŭlah disŭrahkan kapadamu, dan mŭnyempanglah angkau deripada pŭrkataan yang sia sia, dan yang kosong, dan deripada sagala pŭrbantahan ilmu yang dusta.

1 TIMOTIUS 6:11-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Tetapi kamu, wahai hamba Allah, jauhilah segala ini. Amalkanlah perbenaran, kesalihan, iman, kasih, kesabaran dan sikap lemah lembut. Berjuanglah dalam perjuangan iman yang benar. Berpegang teguhlah kepada hidup kekal; kepada hidup itulah kamu telah dipanggil ketika kamu membuat pengakuan yang benar di hadapan saksi yang ramai. Di hadirat Allah yang memberi nyawa kepada segala sesuatu, dan di hadapan Kristus Yesus yang memberikan kesaksian akan pengakuan yang benar kepada Pontius Pilatus, aku berpesan kepadamu, taatilah perintah ini dengan sempurna tanpa cela hingga hari Yesus Kristus, Tuhan kita, datang kembali, yang akan ditunjukkan Tuhan pada masa yang ditentukan oleh-Nya sendiri. Dia Pemerintah Yang Terpuji dan satu-satunya Raja segala raja dan Tuan segala tuan. Hanya Dia yang hidup selama-lamanya, wujud dalam cahaya yang tidak dapat didekati, tidak pernah dan tidak dapat dilihat manusia. Bagi-Nya penghormatan dan kuasa selama-lamanya. Amin. Perintahkan orang yang kaya pada masa ini supaya jangan angkuh, jangan berharapkan kekayaan yang sebenarnya tidak kekal, tetapi bergantunglah kepada Allah yang hidup, yang melimpahkan segala sesuatu kepada kita untuk dinikmati. Hendaklah mereka berbuat baik, supaya mereka kaya dengan amal kebajikan, sedia memberi, rela berkongsi. Dengan demikian mereka meletakkan asas yang teguh bagi diri mereka untuk hari kemudian supaya mereka dapat hidup kekal kelak. Wahai Timotius, jagalah apa yang telah diamanahkan kepadamu. Jauhi bebelan dan pertengkaran yang bercorak duniawi serta sia-sia, kononnya atas nama ilmu pengetahuan

1 TIMOTIUS 6:11-20

1 TIMOTIUS 6:11-20 BM1 TIMOTIUS 6:11-20 BM1 TIMOTIUS 6:11-20 BM