1 TESALONIKA 5:1-11,16-18
1 TESALONIKA 5:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Saudara-saudara seiman, kami tidak perlu menulis tentang masa dan waktu, apabila perkara-perkara ini akan berlaku. Hal itu demikian kerana kamu sendiri tahu dengan jelas bahawa Hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti pencuri datang pada malam hari. Apabila orang berkata, “Semuanya aman dan tenteram,” pada waktu itulah mereka akan ditimpa kebinasaan dengan tiba-tiba dan tidak seorang pun dapat melepaskan diri. Hal itu akan berlaku dengan tiba-tiba seperti rasa sakit yang dialami seorang wanita semasa hendak melahirkan anak. Tetapi kamu, saudara-saudara seiman, kamu tidak hidup dalam kegelapan. Hari itu tidak seharusnya mengejutkan kamu seperti kedatangan seorang pencuri. Kamu semuanya orang yang hidup dalam cahaya, orang yang tergolong pada siang yang terang. Kita bukan orang yang hidup dalam kegelapan, atau yang tergolong pada malam yang gelap. Oleh itu kita tidak seharusnya tidur seperti orang lain. Kita harus berjaga-jaga dan berwaspada. Orang tidur pada malam hari; orang pun mabuk pada malam hari. Tetapi kita ini orang yang tergolong pada siang yang terang. Oleh itu kita harus berwaspada. Kita mesti percaya kepada Tuhan dan mengasihi orang lain, maka hal itu seperti melindungi diri dengan perisai dada. Dengan yakin kita berharap akan diselamatkan, dan hal ini seperti melindungi kepala dengan topi besi. Allah memilih kita bukannya untuk mengalami kemurkaan-Nya, tetapi untuk diselamatkan melalui Tuhan kita Yesus Kristus. Yesus mati untuk kita supaya kita boleh hidup bersama-sama Dia pada waktu Dia datang kelak, baik kita masih hidup ataupun telah mati pada waktu itu. Oleh itu, hendaklah kamu saling menggalakkan dan saling menguatkan, seperti yang kamu lakukan sekarang ini.
1 TESALONIKA 5:16-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Hendaklah kamu sentiasa bersukacita, dan berdoalah sentiasa. Hendaklah kamu bersyukur dalam segala keadaan, kerana hal inilah yang dikehendaki oleh Allah daripada kamu sebagai orang yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus.
1 TESALONIKA 5:1-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
AKAN tŭtapi, saudara saudara, adapun deri hal waktu dan masanya, ta’usahlah aku suratkan kapada kamu. Kŭrna kamu sŭndiri tŭlah malom dŭngan sampornanya, adapun hari datang Tuhan itu spŭrti pŭnchuri pada malam. Kŭrna apabila kata orang, sŭjahtra dan slamat; maka tiba tiba, datanglah kabinasaan atasnya spŭrti sa’orang pŭrampuan sakit akan branak, maka tiadalah kŭlak marika itu dapat tŭrlŭpas. Tŭtapi saudara saudara, akan hal kamu ini bukan dalam glap, supaya hari itu mŭndapati kamu spŭrti sa’orang pŭnchuri. Maka skalian kamu ini anak anak trang, dan anak anak siang: bukannya kami orang malam, atau glap. Maka sŭbab itu janganlah kami tidor spŭrti orang lain lain; mŭlainkan handaklah kami jaga sŭrta suman. Kŭrna orang tidor itu tidor malam; maka orang yang mabok itu mabok malam. Tŭtapi kami ini yang ada siang, biarlah suman, dŭngan mŭmakie barot iman dan kasih; dan kŭtopongnya itu harap akan slamat. Kŭrna bukannya kami ini ditŭntukan Allah supaya kŭna morka, mŭlainkan supaya mŭndapat slamat dŭngan bŭrkat Tuhan kami Isa Almasih. Yang tŭlah mati ganti kami, supaya baik kami tidor, baik jaga, kami kŭlak hidop bŭrsama sama dŭngan dia. Maka sŭbab itu hiburkanlah dirimu bŭrsama sama, dan pŭrbaikilah sa’orang akan sa’orang, spŭrti yang kamu biasa bŭrbuat.
1 Thessalonika 5:16-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Bŭrsukachitalah kamu pada sŭdiakala. Bŭrdoalah kamu dŭngan tiada bŭrkaputusan. Mŭnguchap shukorlah pada Allah dalam sagala pŭrkara: kŭrna inilah kahandak Allah bagie Isa Almasih derihal kamu.
1 TESALONIKA 5:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Saudara-saudara, soal tentang masa dan detiknya tidaklah perlu kami tulis kepadamu. Kamu cukup mengetahui hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti datangnya pencuri pada malam hari. Ketika orang berkata, “Segalanya aman tenteram,” maka ketika itulah mereka akan ditimpa kebinasaan dalam sekelip mata, seperti seorang perempuan ditimpa rasa sakit semasa akan melahirkan anak. Tiada siapa pun dapat melepaskan diri. Tetapi, saudara-saudara, kamu tidak hidup dalam kegelapan. Hari itu tidak seharusnya mengejutkan kamu seperti datangnya pencuri. Kamu semua anak cahaya, anak siang. Kita bukanlah makhluk malam atau kegelapan. Oleh yang demikian, janganlah kita tidur seperti orang lain. Marilah kita berjaga dan berkeadaan siuman. Orang yang tidur, tidur pada waktu malam. Orang yang mabuk, mabuk pada waktu malam. Tetapi kita anak-anak siang, hendaklah sentiasa waras dan waspada. Jadikan iman dan kasih perisai dada kita, serta harapan diselamatkan sebagai ketopong pelindung kepala. Allah memilih kita bukannya untuk menanggung kemurkaan-Nya, tetapi untuk diselamatkan melalui Tuhan kita Yesus Kristus. Yesus telah mati untuk kita supaya kita dapat hidup bersama-Nya sewaktu Dia datang nanti, sama ada kita terjaga atau tertidur mati pada masa itu. Oleh yang demikian, hendaklah kamu saling menggalakkan dan meneguhkan, sebagaimana yang kamu lakukan sekarang.